Wednesday 22 June 2016

Din Ayam Kata KWSP Haram Dan Zalim



PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zaharuddin Muhammad mempertikaikan peraturan mewajibkan majikan dan pekerja menyumbang ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sambil mendakwa ia sistem yang zalim dan haram di sisi Islam.

Beliau membuat perbandingan caruman KWSP dengan perbuatan merompak di mana perompak menjadi wang rompak sebagai modal membeli barang sebelum “barang itu dijual semula kepada kita”.

“Waktu dia beli barang tu dia guna kontrak patuh syariah. Tapi waktu dia paksa kita bayar, waktu dia beli barang, waktu wang itu diberikan kepada siapa untuk dijadikan modal, untuk meniaga apa, semuanya tanpa izin kita, hatta bila dia nak bagi balik duit yang dia rompak pun pun tanpa restu kita.

“Ini bahagian besar KWSP yang tidak patuh syariah,” tulis Zaharuddin, yang juga merupakan menantu kepada presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam coretan di Facebook.

Isnin lalu, KWSP mengumumkan akaun patuh syariah, di mana ahli boleh memilih berpindah daripada akaun sedia ada kepada akaun “Simpanan Syariah” mulai Ogos ini.

Dana simpanan persaraan itu berkata kadar dividen Simpanan Syariah berdasarkan prestasi portfolio patuh syariah dengan tiada jaminan kadar dividen.

Menurutnya, lebih 45% atau RM295 bilion daripada jumlah aset pelaburanya adalah patuh syariah.

Zaharuddin mengalu-alukan langkah KWSP itu dan berkata umat Islam wajib berpindah kepada akaun patuh syariah, tetapi mendakwa sistem KWSP itu sendiri bercanggah dengan Islam kerana ia umpama cukai yang dipaksa.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan penjelasan lanjut, sekadar berkata: “Insyallah anda akan faham bagaimana KWSP boleh meranapkan ekonomi rakyat bawahan seterusnya menjerumuskan kita dalam hutang dalam siri penerangan saya akan datang,” tulisnya.

KWSP, dengan keahlian hampir 15 juta, ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 bagi menyediakan faedah persaraan kepada ahlinya melalui pengurusan simpanan cekap.

Undang-undang mewajibkan potongan gaji pekerja sebanyak 11% setiap bulan, manakala majikan diwajibkan mencarum 13% daripada gaji pekerja.

Dana itu memberikan dividen tahunan kepada ahli melalui keuntungan pelaburan. Sejak 2011, ia mengumumkan dividen melebihi 6%, dengan keuntungan kasar RM44.23 bilion dicatatkan pada 2015.

- fmt




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP