Friday 17 June 2016

Isu Wang Tebusan RM12 Juta: Warga Internet Marah Zahid Hamidi

Mengapa sebahagian RM12j tidak dipulangkan kepada keluarga?



PETALING JAYA: Empat warga Sarawak yang menjadi tebusan pengganas Abu Sayyaf dibebaskan sebelum atau selepas wang disalurkan kepada pertubuhan kebajikan di Filipina?

Itu soalan yang diajukan bekas pengarang kumpulan New Straits Times Mustapha Kamil yang mempertikaikan logik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika sebelum, mengapa kita perlu bayar sedangkan sebahagian wang itu milik ahli keluarga tebusan yang telah menjual aset-aset mereka untuk mendapatkan wang?

“Kita boleh pulangkan wang itu kepada mereka.

“Jika selepas, mengapa badan-badan bukan kerajaan itu dilibatkan dalam hal ini? Bagaimana kita tahu kepada NGO mana wang itu perlu disalurkan?

“Bolehkah kita enggan bayar? Pada saya, bunyinya seperti wang tebusan,” tulisnya dalam catatan di Facebook.

Catatan itu menyusuli kenyataan Zahid bahawa RM12 juta yang dikumpulkan oleh keluarga empat tebusan disalurkan ke sebuah badan kebajikan di Filipina kerana kerajaan tidak akui sebarang tuntutan wang tebusan.

Pengarah Eksekutif Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel melahirkan rasa bimbang akan perkembangan ini kerana ia seolah dirahsiakan daripada pengetahuan rakyat Malaysia.

“C4 rasa bimbang kerana tiada ketelusan dalam hal RM12 juta yang dikaitkan dengan pembebasan empat warga Sarawak yang dijadikan tebusan.

“Oleh kerana ancaman pengganas dan penculikan semakin menjadi-jadi, kerahsiaan yang menyelubungi RM12 juta itu amat membimbangkan.”

Cynthia menggesa Zahid, yang juga menteri dalam negeri, untuk mendedahkan butiran pembayaran itu supaya rakyat Malaysia tahu kejadian seperti ini tidak akan berulang.

Netizen turut membangkitkan persoalan dan mempertikaikan kenyataan Zahid.

“Mengapa badan kebajikan itu perlu dirahsiakan sehingga butiran tidak boleh didedahkan?” soal Chandran Thangavelu di Facebook.

Seorang lagi pengguna Facebook AunMin Chee berkata: “Seolah-olah keizinan untuk ambil lebih banyak tebusan.”

Malah ada yang berang dengan kenyataan itu krana tidak boleh terima wang yang dikumpulkan oleh keluarga disalurkan kepada badan kebajikan yang tidak boleh didedahkan.

“Saya tak tahu nak kata apa. Mengapa tebusan diberikan kepada badan kebajikan di Filipina. Kau sepatutnya pulangkan wang itu kepada penderma. Wang itu hasil keringat mereka,” tulis Novie Liauw di Facebook.

Seorang lagi pengguna Facebook, Trinilation Shu berkata: “Orang jual aset untuk dapatkan sejumlah wang yang besar. Kemudian, mereka diberitahu wang telah diberi kepada orang-orang yang tidak boleh didedahkan.”

Empat warga Sarawak yang diculik – Wong Teng Kang, 31; Wong Teck Chii, 29; Johnny Lau Jung Hien, 21; dan Wong Hung Sing, 34 – diculik pada 1 April dan dibebaskan Selasa lepas selepas beberapa rundingan diadakan antara kumpulan pengganas dan pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.

Bapa saudara kepada salah seorang tebusan memberitahu media bahawa mereka telah membayar RM12 juta kepada pegawai-pegawai Cawangan Khas di Sandakan untuk digunakan seabgai wang tebusan untuk pembebasan empat mangsa culik itu.

-FMT




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP