Friday 10 June 2016

Najib Umum RM43.5 Juta Bina Jambatan Di Kuala Kangsar



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM43.5 juta bagi pembinaan Jambatan Manong, Kuala Kangsar bagi memudahkan penduduk menyeberangi Sungai Perak.

Najib berkata Jambatan Manong ini akan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong di daerah itu.

“Jambatan Manong ini dah lama menjadi bualan tapi belum ada lagi majlis pecah tanah atau letak batu asas jadi saya nak umumkan mengikut standard JKR (Jabatan Kerja Raya).

"Saya dengan ini meluluskan pembinaan Jambatan Manong dengan peruntukan RM43.5 juta,” kata Najib dalam majlis berbuka puasa bersama perdana menteri di Masjid Nurul Huda, Manong, Kuala Kangsar sebentar tadi.

Pembinaan jambatan itu akan disertakan dengan pembinaan jalan sepanjang tiga kilometer di sekitar kawasan tersebut.

Dalam majlis berkenaan, Najib turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan anak yatim, asnaf dan ibu tunggal serta air zam zam dan kurma kepada wakil 25 masjid dan 53 surau di kawasan tersebut.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin.

Najib kemudian menyertai solat Maghrib berjemaah di masjid berkenaan.

Sementara itu menurut laporanBernama semalam, pembinaan jambatan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk daripada 100 keluarga yang terdiri daripada kalangan pekebun getah dan kelapa sawit untuk berurusan di Pekan Manong atau untuk ke bandar Kuala Kangsar.

Mereka sebelum ini menggunakan bot penambang yang beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 6 petang yang mengenakan kadar bayaran untuk pergi dan balik sebanyak RM1 seorang dan RM2 sekiranya membawa motosikal.

Laluan darat untuk ke Pekan Manong adalah sejauh 45km.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP