Wednesday 29 June 2016

'PAS Tak Keberatan Bantu BN Rampas Selangor Jika Terus Sendirian'

Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa matlamat PAS pada pilihan raya umum akan datang adalah memastikan DAP dan Pakatan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan negeri Selangor.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, PAS akan dengan sengaja membantu BN untuk merampas kembali Selangor jika ia tetap berkeras untuk terus bersendirian pada pilihan raya umum akan datang dan tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan.


Beliau berkata berdasarkan pilihan raya kecil berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah jelas bahawa sekiranya PAS dan Pakatan Harapan bertanding dalam pertandingan tiga penjuru, ia hanya menguntungkan BN.

“PAS tidak begitu kisah samada BN jatuh atau tidak. Yang penting bagi PAS sekarang adalah DAP dan Pakatan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan.

“Kalau PAS inginkan kemenangan sekalipun, ia bukan untuk menjatuhkan BN. Kalau menang sekalipun tidak semestinya PAS akan bersama Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan.

“Mungkin sekiranya terpaksa, PAS juga tidak keberatan untuk membentuk kerajaan dengan BN,” katanya dalam satu kenyataan media.

Melihat kepada kemenangan BN pada pilihan raya kecil berkembar itu, Khalid berkata, PAS sepatutnya berunding dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan sekiranya mereka menganggap BN sebagai sebuah parti lawan dan ingin menjatuhkan parti berkenaan.

"PAS mengambil keputusan untuk bersendirian dan oleh itu amat jelas PAS yang berpecah dari Pakatan Rakyat asalnya dan Pakatan Harapan ketika ini.

"Walau apa pun hujah dan alasan, hakikatnya apabila PAS bersendirian dan Pakatan Harapan terdiri dari tiga (parti), PAS yang berpecah dan berasingan.

"Oleh itu, sekiranya PAS melihat BN sebagai lawannya dan menjatuhkan BN penting demi kepentingan rakyat dan negara, sudah pasti paling tidak PAS akan berunding dan berkerjasama dengan Harapan atau pun menyertainya seperti sebelum ini di dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, BN berjaya mengekalkan kerusi di kedua-dua parlimen itu.

Di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menewaskan tiga calon lain daripada AMANAH, PAS dan Bebas dengan majoriti 6,969 undi.

Manakala di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi menewaskan calon PAS dan AMANAH dengan majoriti yang meningkat sebanyak 9,191 undi.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP