Thursday, 30 June 2016

Pemimpin BN Meroyan Desak Guan Eng Letak Jawatan



Umno Pulau Pinang mendesak Lim Guan Eng supaya segera melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan jawatan lain yang disandang selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Tinggi hari ini atas dua pertuduhan rasuah.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata tindakan itu adalah perlu bagi menjamin integriti jawatan ketua menteri Pulau Pinang tidak dipertikaikan.

Katanya, belum pernah ada ketua menteri di negeri itu yang disiasat dan didakwa di mahkamah atas pertuduhan salah laku rasuah.

“Ini bukan pendakwaan politik (political persecution) kerana yang didakwa adalah seorang pemimpin parti pembangkang.

“Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat setelah siasatan yang teliti, rapi dan professional dilaksanakan oleh SPRM," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Zainal, undang-undang dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengira pangkat, bangsa, agama atau pegangan politik.

“Tertuduh diberi peluang seluas-luasnya untuk membela diri di mahkamah. Begitu jugalah Lim Guan Eng akan berpeluang untuk membela dirinya di mahkamah nanti," katanya.

Lim hari ini didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial dan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mengambil pendirian yang lebih lembut dengan mencadangkan Lim suapaya bercuti.

Menurutnya, kegagalan Lim untuk mengambil cuti sementara menunggu keputusan perbicaraan akan membuktikan bahawa beliau ‘cakap tak serupa bikin’.

"Adakah DAP akan buat pengecualian untuk (Guan Eng) terus menjadi KM Pulau Pinang walaupun tuduhan rasuah di mahkamah? Dwi-standard?" soalnya di Twitter.

Beliau juga ‘tag’ bapa Guan Eng yang juga adalah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dalam tweetnya.

Kit Siang sebelum ini menggesa Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil cuti sementara menunggu siasatan berhubung wang RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Kit Siang juga menggesa Najib supaya bercuti panjang sementara menunggu sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat 1MDB.

"Masa untuk melihat sama ada DAP akan amalkan apa yang mereka katakan," kata Tan.

Bendahari MIC S Vell Paari juga bersetuju supaya Lim mengosongkan jawatannya sementara prosiding terhadapnya masih berjalan.

"Ini supaya tidak akan ada gangguan dari Pejabat Ketua Menteri dengan kes itu," katanya dalam satu kenyataan.

Vell Paari, juga mengucapkan tahniah kepada SPRM berhubung tangkapan itu dan berkata pendedahan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan ada kebenarannya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang membersihkan Najib pada Januari lalu daripada sebarang salah laku berhubung skandal 1MDB dan juga isu sumbangan RM2.6 bilion, mengetuai pendakwaan terhadap Guan Eng.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

1 comments:

pendita muda 1 July 2016 at 10:17  

Si pemakan dedah bertaliarus riuh sekampong menyalak Dan berkokok,.ia dilakukan atas kehendak si pemberi dedek,.benar juga kata Che set, ada satu Ide Amin diMalaysia ni, lingkup satu negara
,...Malaysia masih tidak selamat,.

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP