Saturday 25 June 2016

Puasa Punca Seluar Ku Nan Terlondeh..



Apabila imej memaparkan seluar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terlondeh ketika BN meraikan kemenangan pilihan raya kecil Sungai Besar baru-baru ini tersebar, ada pihal mendakwa ia adalah bikinan ubah suai digital.

Namun hari ini setiausaha agung Umno itu secara terbuka - dan berseloroh - mengakui ia bukan kali pertama berlaku.

Sebaliknya, kata Tengku Adnan, dia pernah melaluinya dua kali sebelum ini.

Laman sesawang mStar Online melaporkan Tengku Adnan bersyukur kerana memakai seluar dalam ketika itu.

"Nasib baik saya pakai seluar dalam, kalau tak pakai langsung macam mana?

"Tapi tak apa, saya OK. Nak buat macam mana," katanya dilaporkan portal berita itu.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menjelaskan insiden berkenaan terjadi kerana badannya sedikit susut disebabkan berpuasa dan terlupa memakai tali pinggang.

"Tapi saya tahu ada yang suka," katanya bergurau kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum itu Tengku Adnan dilaporkan bertanya apabila wartawan tersenyum melihat kehadirannya memasuki tempat sidang media diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ketika itu Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak belum tiba.

"Kenapa anda senyum-senyum? Anda asyik fikir mengenai seluar dalam saya? Tapi nasib baik saya pakai seluar dalam warna putih, kalau pakai yang bercorak atau polkadot lagi susah," katanya.

'Semua salah Hisham'

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu tidak ada apa yang perlu dimalukannya kerana ia terjadi tanpa dirancang.

"Saya tak malu. Benda nak jadi. Ada juga suruh saya nafi kata itu gambar edit.

"Tapi saya katakan tak perlu buat demikian kerana ia memang berlaku," katanya.

Menurut mStar Online ketika beliau bercakap mengenai kejadian itu beberapa pemimpin Umno termasuk naib presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein; ketua penerangan, Tan Sri Annuar Musa dan ketua pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar memasuki bilik berkenaan.

"Ni semua salah Datuk Hishammuddin, seluar saya terlondeh...tapi dia tetap genggam tangan saya tak nak lepas. Saya nak cepat-cepat tarik seluar.

"Sudahlah tak nak lepas, beliau pula yang tengok seluar saya ketika itu," kata Tengku Adnan sambil ketawa.

Hishammuddin kemudian menjawab, dia terkejut kerana seluar Tengku Adnan boleh terlondeh.

"Nasib baik beliau pakai seluar dalam," katanya.




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP