Saturday 4 June 2016

Rafizi: Kuala Kangsar Kami Datang Untuk AMANAH



Jumpa malam ini di Kuala Kangsar. Saya, Saifuddin Abdullah, Dr Mohd Hatta Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Akmal Nasir adalah alumni Koleh Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kuala Kangsar adalah kampung kedua. Seronok sakan nak jumpa orang Kuale.

Ada yang serang saya kerana sebut nama Allahyaram Datuk Fadzil Noor; kononnya mahu menipu rakyat. Maksud saya itu jelas dan ditujukan khusus kepada ahli PKR dan reformis kerana Allahyarham ada tempat istimewa dalam hati kami.

Semasa Anwar Ibrahim dipecat dan dizalimi dalam tahun 1998 dahulu; sebahagian besar ahli Pas dan penyokong Pas tidak suka kepada beliau. Tidak sukar difahami kerana beliau Timbalan Presiden Umno yang banyak bertarung di medan politik dengan Pas.

Pemecatan beliau mencetuskan gelombang reformasi. Ramai rakyat biasa yang tidak pernah ambil tahu mengenai politik turun ke jalan raya menuntut keadilan dan ketelusan. Saya salah seorang aktivis yang dilahirkan gelombang reformasi itu.

Sudah tentu cara yang paling menguntungkan pada ketika itu kepada Pas ialah memastikan rakyat yang secara tiba-tiba menentang Umno ini semuanya masuk Pas.

Ini boleh dicapai dengan memastikan reformis dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kalangan bekas Umno tidak membuat parti baru. Secara logiknya lebih mudah masuk sahaja Pas dan ia situasi menang-menang kepada Pas dan reformis.

Saya dimaklumkan bahawa itu juga pendapat yang dominan di kalangan penggerak dan pemimpin reformasi ketika itu.

Namun Allahyarham Fadzil Noor pandangannya berlainan. Saya diceritakan bagaimana beliau berpandangan jauh ke hadapan - hujah Allahyarham begini:

Jika kemarahan dan kebangkitan rakyat ketika itu dicedok oleh Pas semata-mata, bagaimana dengan mereka yang marah tetapi tidak selesa dengan Pas?

Ada orang Cina, India, Melayu, professional, liberal dan pelbagai rencam lagi yang sebelum ini tidak berminat politik tetapi menjadi aktivis. Jika mereka serasi dengan Pas, sudah tentuk mereka menyertai Pas dari awal.

Maka demi kelangsungan sebuah gerakan rakyat anti Barisan Nasional yang lebih luas dan terangkum, Allahyarham Fadzil Noor antara yang paling kuat menyokong penubuhan Keadilan walaupun ia nampak merugikan Pas pada ketika itu.

Bukan sahaja menyokong, Allahyarham memberi laluan kepada PKR yang baru berumur 6 bulan bertanding di 59 kerusi parlimen dalam pilihanraya 1999; setara dengan kerusi ditandingi Pas (63 kerusi) dan DAP (46 kerusi). Pilihanraya Umum 1999 menyaksikan prestasi terbaik Pas dalam sejarah Malaysia - menang kerusi terbanyak 27 kerusi parlimen, Allahyarham menjadi Ketua Pembangkang dari Pas yang pertama dan Pas menjadi kerajaan negeri Terengganu.

Pada masa yang sama, gelombang reformasi terus subur apabila PKR menang lima kerusi parlimen untuk membuka ruang kepada politik pelbagai kaum yang kini ditunjangi PKR. 10 tahun selepas itu, sahabat baik beliau Anwar membina kejayaan itu dan menafikan kemenangan dua pertiga Barisan Nasional dalam PRU12 2008.

Oleh kerana BN tiada lagi kuasa dua pertiga itu, maka kerusi-kerusi baru tidak boleh diwujudkan yang menyebabkan Barisan Nasional terus lemah sehingga hari ini.

Itu kebijaksanaan Allahyarham beliau nampak kemenangan di masa hadapan bukan kemenangan singkat di depan. Beliau tahu keterbatasan sesuatu parti dan tidak cuba menunggang gelombang reformasi sebaliknya memberi ruang kepada PKR bertapak. Beliau tidak lupa persahabatan dan setiakawan dengan Anwar walaupun mereka di dalam parti berbeza.

Ramai dari kalangan pimpinan Amanah sekarang adalah anak didik Allahyarham kerana Allahyarham bertungkus lumus membawa masuk dan mendidik golongan profesional agar berjuang melalui Pas.

Dalam tahun 2000, saya berpeluang mengaturkan rombongan pembangkang Malaysia diketuai oleh Allahyaram, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kedua-duanya Ahli Parlimen) dan Dr Hatta Ramli (ketika itu Setiausaha kepada Allahyarham) berjumpa dengan Ahli Parlimen dan menteri kerajaan British.

Saya menyokong Amanah dari awal. Saya tidak pernah menyembunyikan rasa terhutang budi saya kepada Allahyarham bagi pihak PKR dan secara peribadi. Saya ingat jasa-jasa sahabat dan setiakawan mereka mempertahankan PKR semasa mereka di dalam Pas dahulu.

Saya juga menyokong Amanah kerana saya percaya masyarakat memerlukan persaingan sihat dalam pembawaan dakwah Islam melalui jalan politik kepada masyarakat Malaysia yang pelbagai rencam. Saya tidak melihat Amanah sebagai musuh PAS atau sebaliknya - saya melihat Amanah dan Pas saling bersaing dan satu ketika nanti saling melengkapi.

Maka saya tidaklah berniat untuk menyalahgunakan nama Allahyarham untuk meraih undi. Saya sayang kepada beliau seperti mana saya sayang kepada Anwar kerana saya tahu sumbangan Allahyarham kepada PKR dan pakatan pembangkang yang ada.

Saya hanya berharap sahabat-sahabat saya yang lain di dalam PKR tidak melupakan jasa dan setiakawan Allahyarham Fadzil Noor, lalu saya menyeru mereka untuk turun membantu calon Amanah kerana kedudukan Amanah itu mengingatkan saya kepada kedudukan PKR semasa kami mula-mula wujud dahulu.




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP