Tuesday 5 July 2016

Anwar Ramal Selepas Guan Eng, Ramai Lagi Akan Ditangkap Dan Didakwa



Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan lebih ramai tokoh politik - termasuk bekas pemimpin Umno dan BN - akan didakwa selepas ini.

Kata bekas timbalan perdana menteri itu beliau melihat tindakan yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng adalah suatu pendakwaan "keji dan bersifat politik".

Menurut Anwar tindakan berkenaan bertujuan menggugat pembangkang dengan menjadikan pimpinan parti sebagai sasaran.

"Berdasarkan siasatan dan pendakwaan sehingga kini, saya yakin serangan-serangan seperti ini tidak akan berhenti dengan Lim Guan Eng saja, tetapi akan diperluas kepada pimpinan lain, malah mungkin juga dari kalangan bekas pimpinan Umno - BN yang bangkit untuk berjuang demi menyelamatkan Malaysia," katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Pada 30 Jun lalu Lim dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas dua pertuduhan iaitu salah guna kuasa, dan perolehan harta di bawah nilai pasaran bagi seunit kediaman di Jalan Pinhorn.

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 (berkaitan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran).

Lim mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Turut ditahan penjual banglo di Jalan Pinhorn itu, Phang Li Koon.

Tak akan diamkan pembangkang

Anwar yang juga bekas ketua pembangkang berkata penangkapan dan pendakwaan -diketuai sendiri peguam negara - ke atas Lim memang amat mengejutkannya.

Bagaimanapun Anwar yakin Lim dan DAP akan tabah menghadapi 'serangan' berkenaan.

Katanya penahanan dan pendakwaan itu bukan pengalalaman pertama Lim kerana sebelum ini beliau pernah "berkorban untuk menegakkan keadilan" buat pihak yang dizalimi.

"Saya juga berdoa agar isteri beliau, Betty, serta anak-anak dan keluarga akan tabah mengharungi dugaan ini, seperti juga keluarga saya," kata ketua umum PKR itu.

Pada masa sama Anwar menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan tersalah anggap jika tindakan ke atas Lim itu akan "mendiamkan" pembangkang.

Pemimpin seperti Lim dan ramai lagi tidak akan sesekali berundur; malah mereka akan bangkit untuk berjuang dengan lebih kuat demi demokrasi, keadilan dan urus tadbir kerajaan yang baik.

Parti dalam Pakatan Harapan serta pihak lain termasuklah parti politik, badan-badan bukan kerajaan dan individu yang mempunyai niat dan tujuan yang serupa demi demokrasi dan keadilan di Malaysia mestilah bersatu menuju matlamat yang sama - mengalahkan rejim korup Umno-BN," katanya.

- mkini



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP