Sunday 24 July 2016

Awas FBI dan Peguam Negara AS!



JENDELA segera dunia bagi saya ialah CNN, BBC, Aljazeera dan CCTV, masing-masing bertapak di AS, UK, Qatar dan China. Pada hampir jam 6.30 pagi Jumaat 22 Julai 2016, dua hari lalu, CNN memberitakan AS$1 bilion telah dirampas oleh Kerajaan AS daripada pemilikan 1MDB di AS, sedangkan BBC pula lantang mengatakan sebanyak AS$177 juta dirampas oleh pihak berkuasa Singapura ekoran daripada penyiasatan salah laku kewangan dalam 1MDB di Singapura.

Pada 21 Julai sebelumnya, media sosial bertemasya dengan siaran TV terhadap persidangan akhbar berkenaan salah laku kewangan dalam 1MDB oleh pihak-pihak tertentu yang diberikan oleh Loretta Lynch, Peguam Negara AS, di Jabatan Keadilan AS, Washington DC. Bersama beliau ialah seorang pegawai kanan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri AS (IRS), Timbalan Pengarah FBI, Penolong Peguam Negara AS dan seorang pegawai tinggi di Pejabat Peguam Negeri, California. Apabila semuanya dikaupkan, maka ia menerbitkan satu gambaran yang bizarre, atau amat luar biasa.

Sesuai dengan tajuk berita CNN, ‘Kerajaan AS: Bilion-bilion dicuri daripada rakyat Malaysia’, Lynch memerikan bagaimana wang begitu banyak bergerak dari Kuala Lumpur ke Timur Tengah, Switzerland, British Virgin Island dan tempat-tempat tertentu sebelum memasuki sistem kewangan AS. Nama penuh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri DS Najib, dan Jho Low dinamakan sebagai pihak-pihak terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Disebutkan bahawa wang yang tiba di AS digunakan untuk membuat filem ‘The Wolf of Wall Street’ yang mengaup kutipan kira-kira AS$550 juta di seluruh dunia, membeli apartmen mahal-mewah di kota New York dan London, sebuah mansion (sedang didirikan di Los Angeles), karya seni lukis Monet yang mahal. Dikatakan juga pembayaran hutang perjudian di Las Vegas.

Secara pasti Lynch dan mereka yang bersama beliau itu menamakan ‘Pegawai Malaysia 1’, ‘Pegawai Malaysia 2’, ‘Pegawai Malaysia 3’ dan seterusnya yang dikatakan terlibat dalam salah laku kewangan 1MDB di Kuala Lumpur. Di AS, memberikan nama samaran untuk maksud orang yang sudah dikenal pasti sebelum tuduhan rasmi dibuat adalah amalan biasa. Tujuannya ialah untuk memastikan tumpuan kepada kes yang dikendalikan tidak berpindah kepada orang yang akan dituduh. Ini adalah proses kematangan tindakan undang-undang dari negara demokrasi terulung di dunia.

Paling rapat pemerian siapa ‘Pegawai Malaysia 1’ itu ialah frasa ini dalam laporan rasmi AS di sisi Peguam Negara AS itu:  1. Beliau ialah seorang yang berkuasa ke atas 1MDB. 2. Beliau ialah bersaudara (relative) dengan Riza Aziz.

Rakyat Malaysia tentunya kagum dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Malaysia bahawa ‘kita akan memberikan kerjasama’ kepada mana-mana pihak yang bertauliah dalam perkara 1MDB yang dirujukkan oleh Peguam Negara AS Lynch itu.

Bagaimanapun, apabila AS dan Singapura masing-masing sudah diumumkan bertindak merampas wang begitu banyak, ia dengan sendirinya berupa satu pengakuan bahawa segala maklumat yang relevan sudah didapati dan, berdasarkan maklumat itu, keputusan sudah dicapai. AS dan Singapura dengan itu bagaikan berkata: “Semua maklumat relevan sudah kami dapati. Kerjasama seterusnya dihargai. Namun maklumat yang ada sudah mencukupi.”

Perlu ditegaskan bahawa Peguam Negara AS ialah pegawai tertinggi penguat kuasa undang-undang AS di samping bertindak sebagai peguam nombor 1 AS. Pelantikan beliau dibuat melalui proses pencalonan oleh Presiden AS dan Senat menentukan secara mutlak sama ada beliau disahkan sebagai Peguam Negara atau tidak. Selepas mengikuti politik AS begitu lama, saya amat menghayati betapa seru dan ketatnya untuk seseorang penjawat tinggi Kerajaan AS disahkan oleh Senat.

Bila AS melalui Peguam Negara, FBI dan IRS (badan kutipan hasil negara) bertindak, tidak siapa yang boleh bersikap enteng. Bila tak ada, tak ada; bila ada, macam tsunami. Negara lain boleh diserang. Ketua negara lain, seperti Presiden Panama Manuel Noriega, boleh ditangkap dan dipenjara seumur hidup atas gara-gara wang kotor di AS. Penyangak wang dan peniaga karut AS seperti Marc Rich diburu, lari keluar negeri hingga mati. Bekas Presiden Chile Augusto Pinochet ditangkap di London pada tahun 1998 kerana salah laku hak asasi manusia, dan mati lima tahun kemudian. Kesemua mereka ialah rakan AS pada satu masa dulu. Mereka  menjadi musuh AS dan ditangkap apabila keadaan memaksa.  

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet

- sinarharian



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP