Monday 11 July 2016

Bas Ada 63 Saman Tertunggak



Ipoh: Bas persiaran yang merempuh 10 kenderaan di Kilometer 265.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan selepas Terowong Menora di sini, semalam, mempunyai 63 saman tertunggak kerana pelbagai kesalahan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata pemandu bas berkenaan yang berumur 51 tahun pula memiliki sembilan saman tertunggak kerana pelbagai kesalahan termasuk memandu laju antara 2011 hingga 2015.

"Hasil ujian air kencing mendapati pemandu kedua itu negatif dadah. Polis sudah mengambil keterangannya," katanya di perkarangan Mahkamah Ipoh hari ini, selepas pemandu itu dibawa ke mahkamah untuk direman.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ipoh, Ng Geok Nee membenarkan permohonan polis agar pemandu berasal dari Johor Baharu itu direman empat hari mulai hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pemandu pertama bas berkenaan Zakaria Ahmad, 50, ketika ditemui di perkarangan mahkamah itu berkata sebelum memulakan perjalanan beliau dan rakannya sudah memastikan bas berada dalam keadaan baik.

"Ketika kejadian saya yang sedang tidur terkejut apabila mendengar jeritan penumpang dan pemandu cuba memperlahankan kenderaan serta merendahkan gear tetapi tidak boleh," katanya yang ditemui di perkarangan mahkamah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong menerusi kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, bas yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dipercayai mengalami masalah brek.

"Bas itu bergerak laju ketika menuruni bukit menyebabkan pelanggaran membabitkan 10 kenderaan lain.

"Semua 28 penumpang bas selamat, pemandu dan penumpang kenderaan lain juga selamat kecuali hanya seorang wanita berumur 21 tahun yang kesakitan
di bahagian perut," katanya.







PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP