Saturday, 9 July 2016

Besut Sesak Sejauh 30 KM



BESUT: Jalan dari Kota Bharu menuju ke Kuala Terengganu sesak teruk lebih 30 kilometer dari bandar Setiu hingga ke persimpangan Tol Gemuruh apabila anak perantauan yang pulang ke kampung berhari raya mula kembali ke ibu kota.

Tinjauan mendapati sejak semalam kenderaan bergerak perlahan dari awal pagi hingga lewat petang dan jalan menjadi sesak apabila pengguna dari Kota Bharu, Kelantan turut menggunakan laluan tersebut untuk melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Kesesakan teruk turut dialami di jalan sekitar Kampung Chalok dan susur masuk di Tol Gemuruh, bagaimanapun aliran trafik dari Kuala Terengganu ke Besut berjalan lancar.

Seorang pengguna jalan raya, Ahmad Sabri Hasan, 35 yang berasal dari Kota Bharu berkata, beliau mengambil masa lebih enam jam dari Kota Bharu ke Tol Gemuruh disebabkan berlaku kesesakan jalan raya di beberapa tempat.

"Biasanya saya hanya ambil masa dua jam dari kampung ke tol ini, tapi hari ni sampai lima jam lebih... memang banyak kenderaan yang gunakan laluan ini terutamanya pada musim perayaan ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi pengguna, Ahmad Naufal Mustakin Ahmad Radzi, 27, dari Besut berkata, beliau mengambil masa hampir tiga jam dari kampungnya ke Kampung Gemuruh untuk menggunakan laluan LPT2.

"Biasa tak sampai dua jam pun dari rumah, tapi hari ni memang banyak kenderaan sebab pengguna dari Kelantan pun guna laluan ni untuk naik ke LPT2.

"Laluan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu berjalan lancar sebab tak banyak sangat kenderaan... tapi dari Kota Bharu ke Terengganu, memang sesak teruk," katanya.

Sementara itu Norhafiza Ismail, 30, mencadangkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya meneruskan projek pembinaan LPT3 yang menghubungkan Gemuruh hingga ke Tumpat, Kelantan bagi memastikan kesesakan jalan dapat diatasi.

"Saya pernah dengar kerajaan negeri dan pusat sedang kaji pembinaan LPT3... memang sangat bertepatanlah kalau LPT3 dibina sebab setiap kali musim cuti sekolah dan perayaan beginilah keadaan jalan raya... memang sesak!

"Kalau LPT3 dibina sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan ini dan pengguna boleh pulang ke kampung dan kembali ke ibu kota dengan selesa," katanya yang bertugas sebagai guru di Pontian, Johor.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP