Thursday, 11 August 2016

Ahmad Said Simpan 'Senjata Rahsia'



Selepas spekulasi mendakwa akan ada usul undi tak percaya dibuat di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu
Isnin lalu, bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kini mengambil pendekatan untuk 'berahsia' berhubung
tindakan yang akan dilakukannya selepas ini.

Malah, ketika ditanya apakah perancangannya selepas ini, Ahmad Said menyerahkan perkara itu kepada Allah kerana
beliau tidak tahu apakah perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.

"Saya tak tahu (apa akan terjadi selepas ini). Saya tak tahu, saya bukan pakar strategi. Saya seorang je. Tapi kena ingat,
walaupun seorang ia boleh berikan kesan, apa-apa pun boleh terjadi walaupun saya seorang.

"Bila rahsia, beritahu lebih dari sorang, bukan rahsia lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kemaman, Terengganu.

Selain itu, ditanya tentang masa depan politiknya sama ada akan terus bertanding dalam pilihan raya, Ahmad Said hanya
tersenyum dan berkata beliau tidak diberikan kelebihan oleh Allah untuk meramal masa depan.

"Saya tak tahu. Mana boleh kita baca masa depan kita. Mana tau mati esok. Saya tak tahu. Tak boleh tengok. Saya tak
diberi kasyaf oleh Allah untuk lihat masa depan," katanya.

Dalam temubual selama kira-kira hampir dua jam, Ahmad Said agak beremosi apabila menceritakan kembali kisah bagaimana beliau 'diminta' untuk melepaskan jawatan sebagai menteri besar serta usul undi tak percaya yang dibawa pada sidang DUN Mac lalu.

Malah, ADUN Kijal itu turut memberitahu, selepas meletakkan jawatan menteri besar, hubungannya bersama Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak masih belum baik ekoran beberapa 'isu' yang terjadi sebelum ini.

Lima sebab 'disingkir'

Beliau turut mendedahkan terdapat lima perkara yang didakwa menjadi isu utama antara beliau dan Najib sehingga
'disingkirkan'.

Lima perkara yang didakwa Ahmad Said ialah isu berkaitan penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), pembinaan
Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang menggunakan duit kerajaan negeri, gesaan supaya kerajaan Pusat membayar semula
wang dana khas royalti minyak sebanyak RM8 bilion, isu berkaitan penubuhan jawatankuasa khas Petroleum, serta isu
penemuan telaga minyak Bertam 307 yang didakwa dimiliki Pahang.

"Isu ini ketika saya menjadi menteri besar. Saya tak sehaluan dengan Najib.

"Kalau saya pentingkan diri, saya selama dua tahun selepas lepaskan jawatan macam-macam perkara yang saya boleh
lakukan," kata Ahmad Said sambil menegaskan bahawa beliau sayangkan Umno kerana telah menjadi ahli parti itu sejak
berumur 18 tahun.

Selain itu, Ahmad Said turut memberitahu beliau mendakwa telah mendapatkan nasihat seorang pakar perlembagaan- seorang bekas peguam negara - sebelum usul undi tak percaya dibuat pada Mac lalu.

Katanya, isu usul undi tak percaya yang ditolak di DUN Terengganu didakwa sebagai tindakan yang memalukan kerana
tidak menghormati Undang-undang Tubuh kerajaan negeri Terengganu.

"Saya nak tanya, mana (undang-undang yang) lebih tinggi? Peraturan Persidangan Dewan Undangan Negeri atau
Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu?

"Paling tinggi ialah Undang-undang Tubuh dan kalau Malaysia, Perlembagaan. Saya rujuk pada pakar undang-undang.
Saya tak mahu sebut nama tapi dia seorang bekas peguam negara yang terkenal.

"Penolakan (usul undi tak percaya) adalah sesuatu yang memalukan dan ia akan tercatat dalam sejarah kerana mereka
lakukan perkara yang tak betul," katanya.

Ditanya mengapa tiada usul undi tak percaya dibuat pada Isnin lalu, beliau hanya tersenyum dan berkata:

"Kita... adalah..." katanya sambil ketawa.

'Gali kubur sendiri'

Selain itu, menceritakan tentang terdapat usul yang dibawa Umno Terengganu kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno supaya
memecatnya daripada menjadi ahli parti itu, Ahmad Said, 59, berkata sekiranya tindakan itu dibuat, ia umpama menggali
kubur Umno sendiri.

"Bawa usul ke MT, usul nak pecat saya. Saya nak tanya, itu cerdik ke bodoh? MT tak berani pecat saya sebab (kerusi akan
jadi) 16-16. Apa implikasinya? Kalau cerdik fikir pasal politik, takkan (Umno) nak gali kubur sendiri.

"Bila 16-16, dia (Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman) kena menghadap tuanku bahawa ia kerajaan
yang tergantung, dan tak boleh buat keputusan. Dia kena menghadap tuanku untuk minta supaya (DUN) bubar," jelasnya.

Kemelut berlaku apabila Ahmad Said digantikan secara kontroversi oleh Ahmad Razif pada 2013.

Ahmad pernah membawa usul undi tidak percaya sebelum ini.

Beliau turut dilaporkansebelum ini akan meninggalkan
parti dan bekerjasama dengan PAS.

Bagaimanapun, Ahmad Saidmenafikan laporan tersebut,

BN Terengganu hanya mempunyai 17 kerusi DUN dan pembangkang 15 kerusi.

Jika Ahmad Said berjaya menarik hanya seorang lagi wakil BN dalam DUN, BN boleh hilang kerajaan di negeri pantai timur
itu.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP