Tuesday 16 August 2016

Datuk Seri' Direman Tujuh Hari Berhubung Kes Rasuah, Pengubahan Wang Haram




PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki yang bergelar 'Datuk Seri' itu selama tujuh hari sehingga 22 Ogos.

Suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.30 pagi Selasa, diiringi oleh pegawai-pegawai SPRM dengan mukanya ditutup menggunakan baju kot.

Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili lelaki berumur 54 tahun itu memberitahu media anak guamnya itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23, Akta SPRM 2009 bagi kesalahan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata anak guamnya ditahan di pejabat di bangunan DBKL pada 3.07 petang Isnin.

"Rumahnya digeledah, sebuah kereta BMW dirampas, semua dokumen juga dirampas di pejabat dan di rumahnya," katanya.

Beliau berkata SPRM telah memohon tahanan reman selama tujuh hari untuk menjalankan carian selanjutnya di rumah suspek.

"Saya telah meminta anak guam saya dibebaskan hari ini kerana beliau akan bekerjasama terhadap siasatan, tetapi hakim membenarkan reman," kata Azizzul Shariman.

Lelaki itu ditahan susulan operasi SPRM yang diadakan serentak pada Isnin di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Operasi itu dibuat selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, kepada Bernama baru-baru ini yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP