Wednesday 31 August 2016

Dewan Pemuda PAS Perak Kecam Tindakan Hina Harussani



IPOH: Dewan Pemuda Pas Perak mengecam tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) kerana menghina Mufti negeri itu, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria dalam sebuah majlis anugerah 'Aiyoh Wat Lah' di Petaling Jaya, dua hari lepas.

Ketuanya, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, tindakan pertubuhan berkenaan yang menamakan Harussani sebagai pemenang anugerah kategori 'menghina intelektual' adalah perbuatan biadab dan menghina keilmuan serta keintelektualan beliau yang dilantik Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai mufti.

"Tan Sri Harussani berhujah atas dasar ilmu dan kebenaran. Hujah yang dikeluarkan dalam isu tiada konsep rogol dalam perkahwinan adalah bertepatan dengan perihal munakahat berlandaskan syarak," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, sebagai contoh, pada April tahun lalu, Harussani berdasarkan sebuah hadis menjelaskan konsep rogol dalam perkahwinan tidak wujud kerana isteri tidak boleh menolak kehendak seks suami kecuali datang bulan, sakit dan melahirkan anak.

Pada Ahad lepas, NGO berkenaan memilih Harussani memenangi kategori itu kerana kenyataan-kenyataannya dianggap tidak logik dan tidak rasional.

Mohd. Akmal berkata, pihaknya memandang serius kekerapan penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa NGO dan individu atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.

"Tindakan mereka jelas menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap Islam malahan lebih parah apabila ada yang mula menentang agama ini secara terang-terangan," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan agar dapat menangani isu sebegini dengan segera supaya tidak menular sehingga menjadi perkara biasa dalam masyarakat.

"Ini mesti dibendung segera demi kedaulatan undang-undang dalam Perlembagaan Malaysia Fasal 3(1) yang menyatakan Islam agama persekutuan juga agama rasmi negara. Tambahan pula penyebaran fikrah songsang semakin parah dan membawa kesan buruk kepada umat Islam di Malaysia khususnya di Perak," katanya.

Pihaknya juga menyatakan kesediaan untuk berdialog, berdiskusi dan bertemu mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan tentang isu ini mahupun agama Islam.

"Dalam masa yang sama, seluruh umat Islam diingatkan untuk bersatu dalam perjuangan memartabatkan Islam dan menerapkan cara hidup berlandaskan Islam baik dalam pentadbiran, politik, perundangan, ekonomi, munakahat dan muamalat demi membina Malaysia yang sejahtera," katanya.

- BERNAMA

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP