Tuesday, 9 August 2016

‘Jika Betul Amerika Mahu Bunuh Melayu, Kita Harus Isytihar Perang’



Seorang ahli parlimen pembangkang membidas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa Amerika Syarikat merancang untuk "membunuh" orang Melayu selepas melakukan perkara yang sama terhadap rakyat Iraq pada masa lalu.

Lim Lip Eng berkata jika dakwaan itu benar, maka Putrajaya perlu bertindak dan bukannya mendiamkan diri.

“Sekiranya demikian, bukankah kita sepatutnya menghantar pulang Duta Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap negara tersebut?” soalnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kata ahli parlimen DAP itu, Idris mesti menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kerana telah memalukan Malaysia di mata dunia.

Beliau juga mempersoalkan menteri kabinet yang hanya membisu berhubung dakwaan itu.

“Adakah ini bermakna BN dan seluruh kabinet bersetuju bahawa Amerika sedang merancang untuk menghapuskan orang Melayu menggunakan Jabatan Keadilan (DOJ)?” katanya.

Sebaliknya, Lim berkata Malaysia harus berterima kasih kepada Amerika yang cuba untuk mengembalikan jumlah yang amat besar wang yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

“Sebenarnya Malaysia perlu berterima kasih kepada Amerika Syarikat kerana sedang cuba mengembalikan apa yang boleh daripada sejumlah AS$4 bilion yang didakwa telah dicuri daripada dana berdaulat negara, syarikat 1MDB.

“Siapa yang menerima dana berbilion ringgit daripada 1MDB ini dalam akaun peribadi mereka? Anak tiri siapa yang telah berjoli berjuta-juta ringgit dan membeli rumah mewah di Amerika?

“Adakah semua itu hasil kerja Amerika Syarikat?” soal pemimpin DAP itu.

Idris mempersoalkan kredibiliti DOJ berbuat demikian dengan merujuk pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan bahawa presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

"Kita nak beritahu Amerika, ini Asia Tenggara, ini Malaysia. Negara kita tanggungjawab kita. Apa kredibiliti Department of Justice itu?

"Serangan ke atas Iraq, (Amerika) kata apa? Ada senjata kimia besar-besaran; senjata kimia yang boleh memusnah dan sebagainya. Sampai mati Saddam Hussein, hari ini satu inci laras senjata kimia pun tak jumpa di Iraq.

"Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh pula orang Melayu di Malaysia,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang pada Ahad lalu.

DOJ mendakwa dana 1MDB telah diselewengkan untuk membeli hartanah mewah, menyelesaikan hutang judi, mendapatkan karya seni mahal dan juga membeli kapal terbang dan kapal layar.

Di dalam pemfailan mahkamah di Amerika, DOJ menamakan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan ahli perniagaan Malaysia Jho Low, yang rapat dengan keluarga perdana menteri.

Najib telah menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan menuduh ada pihak yang berkomplot untuk menggulingkannya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

- mkini


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

2 comments:

pok amid littor 9 August 2016 at 17:29  

Hinanya mereka krn pertahan penjenayah berskala besar .... dan kini penjenayah disanjung!!?
Chit!!!!

ayah 9 August 2016 at 22:31  

Hang Tuah Melaka kurun ke 21 sudah menyalakan api. Bil nak istihar perang.

Ni la hantaq anak Melayu pi belajaq kat luar negeri, balik jadi pemimpin Melayu tapi otak bawah pada budak darjah satu. Malulah aku ni.

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP