Friday, 12 August 2016

Jom Dengar Najib Patahkan Satu Persatu Hujah Dr M



Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menyahut cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat di televisyen.

Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan paru-paru baru-baru ini, dilaporkan beransur sembuh dengan baik.

"Mengapa Najib takut untuk berdebat Tun M ( Mahathir)?" tanya Zaid lagi.

"Saya fikir beliau sentiasa tenang dan yakin atas kesnya. Itulah yang beliau beritahu (bekas Timbalan Perdana Menteri) Tun Musa (Hitam) dan mereka lain yang rapat dengannya.

"Oleh itu, berilah kami rakyat biasa mendengar PM patahkan hujah Tun M satu demi satu," katanya dalam laman sosial.

Dua hari lalu, Mahathir mencabar Najib untuk berdebat di kaca televisyen yang harus disiarkan secara langsung.

Cabaran dari katil IJN

Menulis dari katil hospital, Mahathir berkata, debat tersebut perlu menjurus kepada isu tadbir urus negara.

"Saya dah tua sekarang. Tetapi Alhamdulillah, saya belum lagi nyanyuk. Saya dengan senang hati akan menerima debat terbuka dengan Najib dan penonton mengikutinya menerusi siaran langsung.

"Debat itu hendaklah mengenai pentadbiran negara.

"Saya mungkin kalah. Wang boleh menang. Biar rakyat Malaysia menilai, tidak TV3 atau NST atau penyokong saya sendiri," kata Mahathir dalam blognya.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Najib dalam satu temu bual dengan media Indonesia, baru-baru ini.

Dalam temu bual itu Najib menyatakan jika terpaksa memilih antara kepentingan negara dan bekas perdana menteri itu, beliau memilih kepentingan negara.

Mengulas lanjut, Zaid turut mengulas serang balas terbaru oleh Najib terhadap Mahathir yang dikatakan turut menerima pelbagai tombahan selama menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

"Tanpa perdebatan, Najib boleh kata apa-apa mengenai Mahathir, tetapi beliau akan sentiasa dikenang sebagai PM dengan berbilion-bilion dalam akaunnya," ujar Zaid.

Sama-sama ditohmah

Hari ini, Najib menzahirkan pendapatnya mengenai apa yang dilalui beliau dan Mahathir sebenarnya sama, terutamanya dalam membangunkan negara ketika berdepan “tohmahan”.

“Adakah beliau tidak terkecuali daripada tohmahan yang beliau lemparkan ke atas saya ketika zaman beliau memegang kuasa?

“Walau apapun tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dahulu, bangunan serta infrastruktur tetap dibangunkan, negara tetap dapat melalui proses transformasi walaupun musuh politik dahulu yang kini beliau bersubahat dengan, menuduh beliau sebagai pemberi rasuah, salah guna kuasa dan kepala perompak.

“Tiada bezanya apa yang dilalui oleh saya dan beliau.

“Saya tetap akan meneruskan kerja saya untuk membangunkan agama, bangsa dan negara tercinta ini walaupun perlu menempuhi segala tohmahan yang dilemparkan olehnya,” kata Najib.

Menulis dalam blognya hari ini, Najib bagaimanapun tidak menyebut secara langsung nama Mahathir tetapi hanya merujuknya sebagai “seorang pemimpin lama”.

- mkini

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP