Friday 5 August 2016

Khairuddin Tak Sertai Parti Baru Muhyiddin



Bekas Naib Pengerusi Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, beliau tidak berminat untuk menyertai parti baru yang bakal dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, ujar Khairuddin, beliau tetap meneruskan perjuangan melawan amalan rasuah secara habis-habisan di negara ini tanpa perlu berada dalam parti politik baru.

"Sebelum Muhyiddin bercakap tentang isu 1MDB, saya secara bersendirian telah mengambil langkah proaktif memerangi skandal tersebut bersama dengan beberapa pemimpin pembangkang.

"Sekiranya kita ikhlas untuk berjuang, tanpa sebarang jawatan politik pun kita boleh berjuang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk A Kadir Jasin hari ini mengesahkan bahawa parti politik baru yang akan didaftarkan oleh Muhyiddin adalah parti Melayu/Bumiputera (peribumi).

“Ia bermatlamat mewarisi, meneruskan dan memperbaharui perjuangan Melayu/Bumiputera dalam era globalisasi, reformasi, ketelusan dan keterbukaan.

“Ia akan bekerjasama secara terangkum (inclusive) dengan parti-parti politik yang kini menentang BN. Perbincangan awal telah pun dimulakan,” katanya di blog.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan beliau akan mendaftarkan sebuah parti politik baru dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sama-samalah kita berdoa semoga permohonan ini akan diluluskan, Insya-Allah, kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.

Jawatankuasa penaja parti itu terdiri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, manakala Tan Sri Muhyiddin, Kamarul Azman Habibur Rahman dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai presiden, setiausaha dan bendahari.

Ahli jawatankuasa terdiri daripada bekas ketua wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, bekas ketua Pemuda Umno, Bendang Baru Akhramsyah Sanusi dan pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, hubungan peribadi beliau dengan Mahathir tetap terjalin erat kerana bekas perdana menteri itu adalah 'segala-gala' baginya.

"Tidak ada sesiapapun yang boleh pisahkan saya dengan Mahathir selain Allah Taala.

"Dalam apa jua situasi, saya akan tetap setia, taat kepada Mahathir atas dasar peribadi," tambah beliau.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP