Tuesday, 2 August 2016

Lagi Pegawai Era Gani Tinggalkan Pejabat Peguam Negara



Pelantikan bekas Timbalan Peguam Cara Negara I Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah
sebagai pesuruhjaya kehakiman semalam menandakan seorang lagi pegawai kanan yang dikatakan rapat dengan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail meninggalkan pejabat peguam negara.

Sebelum ini, pada April lalu, Peguam Cara Negara Datuk Azailiza Mohd Ahad memilih persaraan awal manakala bekas ketua divisyen pendakwaan, Datuk Abdul Wahab Mohamed meninggalkan pejabat peguam negara pada Disember lalu.

Pergerakan itu dilaporkan berlaku selepas Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggantikan Gani sebagai peguam negara pada 28 Julai tahun lalu.

Apandi hadir semalam apabila Tun Abdul Majid dan peguam Azmi Abdullah, 49, mengangkat sumpah sebagai pesuruhjaya kehakiman di hadapan Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Kedua-dua mereka akan berkhidmat di mahkamah tinggi di Semenanjung Malaysia.

Tun Majid, 55, adalah bekas ketua pendakwa di pejabat peguam negara sebelum jawatan terakhir sebagai timbalan peguam cara negara I.

Beliau telah mengendali dan mengetuai pihak pendakwaan dalam beberapa kes berprofil tinggi, termasuk perbicaraan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu hingga kes itu berakhir di mahkamah persekutuan.

Beliau juga mengendalikan perbicaraan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang membabitkan bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Awal tahun ini, Tan Sri Ali Hamsa, selaku Ketua Setiausaha Negara, mengesahkan bahawa bekas Peguam Cara Negara, Azailiza memilih untuk bersara awal daripada pejabat peguam negara.

Ini berlaku walaupun terdapatspekulasi bahawa beliau memilih untuk persaraan awal selepas dikatakan akan dipindahkan ke jabatan kerajaan lain.

Azailiza, dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada 1 Nov 2014 dan meninggalkan jawatannya itu pada 8 April ini.

Tempat beliau digantikan oleh Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.

Sementara itu, bekas ketua divisyen pendakwaan, jabatan peguam negara, Abdul Wahab kini berkhidmat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, selepas dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 15 Disember lalu.

Penggantinya adalah Datuk Zauyah Be Loth Khan, bekas penasihat undang-undang negeri Selangor.

Tidak lama selepas Apandi mengangkat sumpah sebagai peguam negara pada tahun lalu, Jessica Gurmeet Kaur, seorang pegawai di pejabat peguam negara, menyaksikan kontraknya ditamatkan dan diancam dengan pengusiran.

Beliau adalah sebahagian daripada pasukan petugas khas bagi menyiasat 1MDB - terdiri daripada pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara.

Pasukan itu kemudiannya dibubarkan.

Beliau, bersama dengan bekas penasihat SPRM Rashpal Singh, telah disiasat berhubung kebocoran kertas pertuduhan yang dikatakan untuk mendakwa perdana menteri.

Jessica kemudiannya digantikan oleh Datuk Dzulkifli Ahmad, dalam sekretariat pasukan petugas khas itu. Dzulkifli sekarang adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM.

- malaysiakini




PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP