Wednesday 10 August 2016

'PAS Sedia Saman Sarawak Report, Najib Bila Lagi?'



Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar tertanya-tanya bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memfailkan saman terhadap portal pemberi maklumat,Sarawak Report.

Ini kerana katanya, PAS kini bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap portal itu kerana mendakwa pemimpin atasannya menerima wang sebanyak RM90 juta daripada perdana menteri.

Bagaimanapun, Mahfuz tidak menangkis tuduhan bahawa pimpinan partinya menerima wang berkenaan, sebaliknya mensasarkan Najib dengan menyifatkan ia sebagai tuduhan berat.

"Tuduhan berat ini menggambarkan permainan dan percaturan politik jijik Najib bagi terus mencengkam kuasa dengan pemberian wang yang berunsur rasuah untuk membeli lawan politiknya.

"Tuduhan ini akan menjejaskan nama baik negara dan akan menghilangkan kepercayaan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia serta menjunamkan indeks rasuah Malaysia," kata Mahfuz dalam kenyataan media.

Katanya lagi, Najib tidak boleh membiarkan tuduhan itu berlalu tanpa membersihkan namanya dan negara dengan mengheret Sarawak Report ke muka pengadilan.

"Rakyat menanti tindakan Najib menyaman Sarawak Report sebagai tanda usaha membersihkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"PAS sudah bersedia untuk saman Sarawak Report. Najib bila lagi. Rakyat tak mahu mendengar pengakuan Najib bahawa RM90 juta itu sebagai derma politik peribadi pahlawan Bugis kepada peribadi orang atasan PAS," kata Mahfuz.

Terdahulu Mahfuz hari ini meminta Sarawak Report menamakan pemimpin PAS yang menerima wang berkenaan bagi menjauhkan parti itu daripada pembangkang.

PAS semalam menyangkal laporan tersebut dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal itu.

Berikutan itu, pengarangnya Clare Rewcastle Brown menjelaskan dakwaan itu dibuat berdasarkan "kecurigaan yang meluas".

- mkini



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP