Sunday 14 August 2016

Riza, Jho Low Dan Arak RM100k Sebotol Untuk DiCaprio



PETALING JAYA: Lebih AS$1 juta (RM4 juta) dibelanjakan untuk arak, kebanyakannya wain putih champagne AS$25,000 (RM100,000) sebotol, disebut dalam satu tuntutan tindakan kelas terhadap Red Granite Pictures, Riza Shahril Abdul Aziz dan Low Taek Jho (Jho Low).

Tuntutan dibuat bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang dan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa di mahkamah daerah Amerika Syarikat di New York pada Khamis.

Dibuat bagi pihak rakyat Malaysia, mereka menuntut ganti rugi dan pengembalian hartanah dan aset lain yang menurut mereka dibeli menggunakan wang yang dilesapkan daripada syarikat milik kerajaan, 1MDB.

Tuntutan itu mendakwa wang yang dipungut melalui tawaran bon oleh 1MDB digunakan untuk membiayai Red Granite, yang membiaya filem Wolf of Wall Street. Penghargaan diberikan kepada Jho Low dalam penutup cerita itu.

Red Granite diasaskan Riza, yang juga anak tiri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 2010 bersama kawan, Joey McFarland.

Tuntutan itu mendakwa Red Granite dilancarkan dengan suatu sambutan tepian pantai mencecah juta dolar di Festival Filem Cannes di Perancis pada 2011, siap dengan bunga api dan persembahan oleh artis hip-hop Kanye West dan Pharrell Williams.

Lebih AS$150 juta (RM602 juta) wang 1MDB dipercayai disalurkan ke usaha niaga Red Granite, dakwa tuntutan itu.

Ia mendakwa Riza, Jho Low dan McFarland tahu Red Granite tidak dibiayai pelabur yang sah, sebaliknya dengan wang yang diperoleh secara gelap.

Antara lain, tuntutan mendakwa mereka membelanjakan wang untuk:

* poster wayang Metropolis tahun 1972, bernilai lebih AS$1 juta (RM4 juta);sambutan hari lahir Leonardo DiCaprio pada Ogos 2012, dengan lebih AS$1 juta dibelanjakan untuk arak, kebanyakannya wain putih champagne berharga AS$25,000 (RM100,000) sebotol.

* trofi Anugerah Akademi 1955 milik Marlon Brando untuk kategori Pelakon Terbaik, dilaporkan bernilai AS$600,000 (RM2.4 juta);

* sambutan malam tahun baru di Australia dan Las Vegas pada 31 Disember 2012, termasuk penyewaan sebuah jet peribadi untuk kegunaan eksklusif; 

* Riza, Jho Low dan DiCaprio pergi makan angin ke Brazil sempena Piala Dunia 2014, dan tinggal di kapal pesiar sewaan sepanjang 482 kaki bernama Topaz.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 20 Julai berkata lebih AS$3.5 bilion (RM14 bilion) dilencongkan daripada dana 1MDB yang diasaskan Najib pada 2009 selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.

Tuntutan sivil AS itu mahu merampas AS$1 bilion (RM4 bilion) aset yang didakwa digelapkan itu dan dipindahkan ke Amerika Syarikat melalui syarikat kosong (shell companies). Aset termasuk rumah-rumah agam di Beverly Hills, hotel, emper-emper di New York, pesawat jet peribadi, beberapa hasil seni, dan aset-aset lain.

DoJ juga mahu merampas perolehan masa depan filem Wolf of Wall Street, yang dilaporkan meraih AS$390 juta (RM1.5 bilion) di filem terlaris (box office), dan masih menerima royalti daripada televisyen dan sumber lain.

DoJ turut mendakwa kesalahan dilakukan sepanjang tempoh empat tahun dan melibatkan beberapa individu, termasuk pegawai warga Malaysia dan rakan-rakan mereka, yang bersekongkol untuk melencongkan berbilion dolar daripada 1MDB secara tipuan.

Ia menamakan Riza, Jho Low dan pegawai kerajaan Abu Dhabi Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

- FMT


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP