Tuesday 23 August 2016

‘Satu Dunia Tahu Kita Dirompak, Kenapa Kita Masih Rileks?’



Jurucakap himpunan #TangkapMalaysianOfficial1, Anis Syafiqah Md Yusof pelik dengan sikap rakyat yang tidak mempeduli sedangkan 'seluruh dunia tahu bahawa negara ini telah dirompak’.

Dalam sebuah rakaman video yang dimuat-naikkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan hari ini, Anis dipaparkan dikelilingi oleh rakan-rakan aktivis pelajar dan anggota polis di luar kampus UiTM Seri Iskandar berhampiran Ipoh, Perak.

Memulakan ucapannya, Anis berkata, beliau dan rakan-rakannya mahu ke kampus berkenaan untuk menyampaikan maklumat berhubung Malaysian Official 1 (MO1) tetapi tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Katanya, kempen kumpulan itu yang adalah untuk menggesa pihak berkuasa menangkap MO1, sedangkan polis tidak melakukan apa-apa apabila adalah jelas bahawa wang negara telah dirompak.

“Kenapa polis tak nak tangkap perompak yang terang-terang merompak duit rakyat Malaysia. Duit mahasiswa, duit polis, polis juga rakyat Malaysia.

“Kenapa tak mahu fokus kepada perompak yang besar itu, kenapa nak fokus kepada kami yang kecil ini. Kami ini kecil, bukan siapa-siapa (pun), tak berbahaya

“Saya tak bawa apa-apa senjata pun, hanya bawa sekeping kertas untuk bagi tahu kawan-kawan di dalam (kampus),” kata Anis seperti yang dilihat dalam klip video yang dirakamkan Sabtu lalu.

Apa yang bermula sebagai ucapan jinak bertukar menjadi berapi-api apabila Anis mendakwa bagaimana wang berbilion-bilion ringgit disalahgunakan sedangkan wang berkenaan boleh digunakan untuk membiayai biasiswa untuk pelajar.

“Berapa orang boleh dapat manfaat itu. Takkan kita nak biar? Sampai bila kita nak biar perompak ini bersenang-lenang guna duit kita?

“Bayangkan kalau rumah kita masuk perompak lepas itu kita buat laporan polis (tetapi) polis tak boleh nak buat apa-apa. Apa yang kita rasa?” katanya.

Aktivis pelajar itu menjelaskan bahawa beliau bukannya datang untuk sengaja menimbulkan kekecohan mahupun memalukan dirinya tetapi atas kesedaran sebagai seorang rakyat.

“Saya nak bagi tahu kawan-kawan supaya kita kena sedar. Satu dunia dah tahu kita dah kena rompak, kenapa kita boleh relaks lagi,” katanya.

Himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 dijadualkan pada 27 Ogos ini yang bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya menangkap dan mendakwa ‘MalaysiaOfficial 1'.

Individu yang dirujuk sebagai 'Malaysian Official 1' itu dinamakan dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB.

DOJ percaya dana AS$3.5 bilion diseleweng dari 1MDB dan sekurang-kurangnya AS$ 731 juta berada di akaun bank 'Malaysian Official 1'.

- mkini


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP