Friday 5 August 2016

Semua 200 Dompet ‘Murah’ Isteri PM Singapura Habis Dijual



Dompet berharga RM45 dengan ukiran dinasaur yang menjadi terkenal serta-merta selepas ia dibawa isteri perdana menteri Singapura ketika lawatan rasmi ke Amerika Syarikat minggu ini habis dijual.

The Straits Times melaporkan kesemua 200 dompet itu habis dijual pada 3 Ogos, sehari selepas Ho Ching, yang menemani suaminya Lee Hsien Loong ketika dialu-alukan ke White House oleh Presiden Barack Obama dan isteri Michelle Obama, dilihat mengepit dompet itu.

See Toh Sheng Jie, anak seorang pemandu teksi dan pelajar berusia 19 tahun di sebalik reka bentuk dompet itu, teruja dengan populariti hasil rekaannya.

“Reaksi pertama ialah, kami terkejut. Ia sungguh menakjubkan,” kata bapanya See Toh.

Ibu Sheng Jie, Wendy Chua, 52, mencelah, “Dan sekarang kami sangat bangga!”

Puan Lee, yang merupakan penaung Persatuan Autisme Singapura, membeli dompet bernama “Denim Pouch-Dino Blue Black” itu ketika menghadiri pertunjukan konsert amal Sabtu lalu bagi mengutip derma membantu perkhidmatan sokongan golongan autistik.

Selepas latar belakang dompet itu dilaporkan, ia terus menjadi popular, malah berita mengenainya dikongsi ramai di media sosial dengan ramai yang memujinya kerana memilih fesyen yang sederhana.

Dompet itu dijual The Art Faculty, sebuah kedai online yang menjual hasil seni pelajar kurang upaya dan autistik di Sekolah Pathlight.

Pelajar menerima royalti hasil jualan reka seni mereka di samping mempertingkatkan kemahiran.

Ibu bapa Sheng Jie menjelaskan kepada anak mereka berita hasil ciptaannya mendapat liputan meluas.

Sheng Jie gembira, walaupun mungkin tidak betul-betul faham kepentingan di sebalik berita itu, kata bapanya kepada ST.

Menurutnya, Sheng Jie memang sudah lama berminat menghasilkan seni berkonsepkan dinasaur, dan mengkaji haiwan purba itu sejak berumur tiga tahun.

Dia merujuk pelbagai buku mengenai dinasaur, mengukir patung-patung kecil dan kemudian menterjemahkan apa yang dibacanya ke dalam bentuk lakaran, lapor ST.

Ibu bapa Sheng Jie kini tidak sabar mahu berjumpa sendiri dengan Puan Lee.

Sheng Jie merupakan pelajar Sekolah Pathlight yang terletak di Ang Mo Kio di bandar raya itu sejak sedekad, selepas menukar aliran akademik pada Tahun 4 kepada aliran vokasional.

Sekolah Pathlight menawarkan kelas seni mingguan bagi membantu golongan seperti Sheng Jie, dan kini mempunyai 36 pelajar.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP