Sunday 21 August 2016

Umno Bimbang Puteri Termakan Pujukan Pembangkang



KUANTAN: Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan bahawa terdapat cubaan pihak tertentu memujuk anggota sayap parti itu untuk menyertai sebuah parti yang baharu ditubuhkan.

Beliau berkata pujukan itu turut melibatkan seorang bekas pemimpin Puteri UMNO dan mereka dijanjikan akan dinamakan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

"Bekas pemimpin Puteri ini beritahu saya beliau tidak mahu bersama dengan mereka (parti baharu) dan beliau juga tidak faham mengapa dalam banyak-banyak orang, parti itu memilih beliau.

"Mungkin mereka kekurangan orang. Ramai lagi orang di luar sana, jadi mengapa perlu mencari orang UMNO?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Paya Besar di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail, Ketua Puteri bahagian Faridah Mat Firu dan Ketua Pemuda Mohd Shahar Abdullah, yang juga Ketua Pemuda UMNO Pahang.

Walaupun tiada anggota Puteri UMNO termakan dengan ajakan itu, Mas Ermieyati berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana bimbang terdapat anggota yang baharu berjinak-jinak dalam politik akan termakan dengan pujukan mereka. 

"Puteri melihat perkara ini sebagai cabaran dan akan melipatgandakan usaha supaya tiada anggota terpengaruh. Ini satu cabaran kepada anggota untuk melihat di mana pendirian dan kesetiaan terhadap parti," katanya. 

Mas Ermieyati berkata beliau telah memberi ingatan kepada pemimpin Puteri di seluruh negara untuk melaporkan segera jika ada ajakan daripada parti baharu kepada pucuk pimpinan sayap parti.

Beliau berharap semua anggota Puteri dapat menghayati konsep kesetiaan kepada pemimpin, mempunyai jati diri yang kukuh dan yakin bahawa hanya UMNO parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam. 

Sementara itu, dalam ucapannya Mas Ermieyati menekankan kepentingan Puteri menarik lebih ramai golongan muda khususnya pengundi kali pertama bagi menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.  

"Usaha menarik pengundi muda tidak boleh dilakukan secara bermusim. Mesti berjalan sepanjang masa. Namun, tidak adil jika tanggungjawab ini hanya diletakkan di bahu Puteri kerana ia perlu dilakukan sebagai sebuah keluarga," katanya.

Sementara itu, Abdul Manan mengingatkan anggota Puteri untuk saling bersatu agar jentera parti kukuh bagi menghadapi pilihan raya akan datang supaya mereka tidak leka dengan kemenangan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Paya Besar.

"Jika kita bekerja keras, tidak mustahil kawasan pembangkang boleh kita pecahkan, namun dalam masa sama kita juga perlu beringat bahawa mereka juga boleh melakukan perkara sama jika kita berpecah," katanya. 

Abdul Manan seterusnya mengingatkan ketua Puteri cawangan supaya sentiasa peka dengan kehendak dan mengambil berat akan keperluan serta luahan anggota di peringkat akar umbi.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP