Monday 19 September 2016

Berita Ahmad Bashah 'tenat' satu tindakan terancang, berniat jahat



KUALA LUMPUR: Khabar angin mengenai tahap kesihatan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang semakin buruk merupakan serangan peribadi terancang dan berniat jahat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ia spekulasi yang ingin memperlihatkan bahawa Menteri Besar Kedah itu sudah tidak berupaya menjalankan tugasnya sebagai ketua negeri.

"Hakikatnya seperti yang telah diperlihatkan, Ahmad Bashah pada ketika ini sihat dan sedang memberi tumpuan terhadap usaha-usaha pembangunan negeri.

"Seperti yang dimaklumkannya sendiri kunjungan ke hospital hanyalah memenuhi janji temu rawatan dan pemeriksaan susulan selepas pembedahan usus baru-baru ini.

"Ahmad Bashah sama sekali tidak rebah seperti yang digambarkan, namun masih mampu memenuhi jemputan dan mempengerusikan beberapa siri mesyuarat di peringkat parti dan negeri.

"Malah, Ahmad Bashah dijadualkan mempengerusikan mesyuarat mingguan exco pada 21 September ini," katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Shaiful mengulas khabar angin yang disebar pihak tertentu, terutama di media sosial, bahawa Ahmad Bashah kini dirawat di hospital kerana masalah kesihatan.

Dalam pada itu, jelas Shaiful yang juga Setiausaha Politik Ahmad Bashah, tindakan memenuhi janji temu susulan oleh Menteri Besar Kedah itu jelas menunjukkan keazaman tingginya yang mahu cepat kembali cergas demi memenuhi tuntutan rakyat dan parti di peringkat negeri.

"Kita mohon agar ruang ini diberikan sepenuhnya oleh semua pihak bagi melihat agenda negeri dan parti dapat dipenuhi dengan kadar segera tanpa perlu melayan fitnah murahan pihak-pihak tertentu.

"Hakikatnya, walaupun Ahmad Bashah sering menjalani pemeriksaan susulan secara berkala di hospital, Menteri Besar dibantu sepenuhnya pasukan Muafakat Kedah yang terus menerus memastikan jentera Kerajaan dan parti terus terjaga dengan baik.

"Beberapa agenda besar, jangka masa sederhana telah dirangka dan jentera parti dalam proses untuk disiapsiagakan dengan sepenuhnya dan ada yang telah dilaksanakan dengan baik," ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Shaiful memberitahu agak 'terusik' dengan beberapa andaian kononnya perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat beberapa rombakan pimpinan di beberapa buah negeri termasuk Kedah.

"Mengenali Ahmad Bashah, kita yakin beliau tidak terkesan dengan andaian liar ini berdasarkan beberapa siri pengorbanan atas nama kesetiaan kepada parti dan pemimpin sebelum ini.

"Namun, kita yakin, Datuk Seri Najib berpuas hati dengan prestasi Pasukan Muafakat Kedah yang dipimpin Ahmad Bashah dan akan terus diberi kepercayaan mengepalai negeri dan parti.

"Kita juga menggesa jentera parti dan kerajaan tidak mudah hilang fokus dgn andaian-andaian liar ini. Kita anggap ia sekadar permainan kumpulan-kumpulan yang masih terguris dan sememangnya sudah terbiasa dengan mainan fitnah dan adu domba," jelasnya.

Shaiful turut menyatakan kesetiaan serta keyakinan terhadap jentera parti dan kerajaan selain memberitahu tidak mudah menyerah kalah pada taktik dan pendekatan keji pihak-pihak tertentu.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP