Sunday 18 September 2016

DAP Kesal Dengan Kebiadapan Jeff Ooi



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut melahirkan rasa kesal dengan kenyataan tidak sensitif Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang dikatakan mempersenda kematian allahyarham Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din semalam.

"Saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap ahli keluarga sekiranya tersinggung dengan apa yang berlaku berkaitan tweet Jeff Ooi kerana ini tidak mewakili pendirian parti.

"Meski kami sering berbeza pendapat dalam banyak hal politik, DAP yakin dan percaya bahawa allahyarham telah menyumbang kepada agama Islam," kata beliau yang juga anggota parlimen Bagan dalam kenyataannya.

Ekoran tulisan dalam twitternya yang tertera catatan 'Adios Harun Din. Let there be peace'mengenai kematian arwah Haron Din semalam, Jeff Ooi mengundang pelbagai reaksi dan kritikan negatif pelbagai pihak.

Jeff Ooi kemudian menjelaskan di twitter itu bahawa maksud 'Adios' dalam bahasa Sepanyol ialah 'farewell' dan dalam Bahasa Malaysia sebagai 'selamat jalan'.

Antara yang mengkritik ialah Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman yang menyelar sikap biadap dan tidak bertanggungjawab Jeff Ooi sebagai bebal dengan pihaknya tidak bersekongkol dan akan menjarakkan diri dengan tindakannya itu.

"PKR sentiasa percaya bahawa manusia itu dilahirkan mulia dan kita seharusnya meletakan kemuliaan insan sebagai satu asas penting dalam etika kita berpolitik.

"Perbezaan politik tidak seharusnya menjadikan kita hilang sifat kemanusiaan dengan mempersenda-sendakan kematian sesiapa pun," katanya dalam kenyataan.

Pada masa yang sama, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata antara 'politik bodoh' pemimpin DAP tertentu ialah membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan sesuatu kaum tanpa sebarang faedah kepada politik dan negara.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, beliau dilihat jelas merujuk kepada tweet Jeff Ooi berhubung kematian Dr Haron Din.

Turut membidas ialah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang mahu Jeff Ooi memohon maaf kepada keluarga allahyarham Dr Haron Din di atas kenyataan biadapnya di Twitter berhubung kematian mursyidul am PAS itu semalam.

DPPM menyifatkan Jeff Ooi sebagai seorang ahli Parlimen yang "paling kurang ajar di negara ini" apabila sanggup mengeluarkan perkataan tersebut pada waktu sangat tidak sesuai dan mendakwa ia sekaligus membayangkan wajah DAP.

Mengulas lanjut, Lim berkata, beliau juga dimaklumkan Jeff telah memadamkan catatan twitter terbabit.

"Sesungguhnya, DAP turut mengucapkan takziah dan simpati atas kesedihan yang ditanggung ahli keluarga serta rakan-rakannya.

"Sekali lagi saya menitipkan belasungkawa buat arwah sekeluarga bagi pihak seluruh keluarga besar DAP dan berharap agar rohnya ditempatkan bersama para orang soleh," tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Abdul Ghani Samsuddin berkata, parti itu ingin melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir individu yang bertindak biadap mengulas berkaitan pemergian arwah Haron hingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

"AMANAH menolak sekeras-kerasnya tindakan seperti ini yang tidak mencerminkan sifat yang sepatutnya ditunjukkan oleh semua orang tanpa mengira agama, bangsa mahupun parti politik.

"Perbezaan pendapat dan idealogi tidak sewajarnya menjadi punca untuk tidak menghormati pemergian tokoh tersebut," kata beliau dalam kenyataan.

Justeru, AMANAH menasihatkan semua pihak khususnya ahli parti dan ahli rakan komponen Pakatan Harapan agar menghormati akan pemergian Almarhum, tambahnya.

- mkini


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP