Saturday 24 September 2016

Datuk Curi Lamborghini..

Lip Eng (dua, kanan) meminta polis memberi penjelasan sebenar berhubung kes kecurian Lamborghini yang dilapor hilang 26 Julai lalu.


PUCHONG – Pihak polis diminta memberi penjelasan sebenar berhubung kes kecurian kenderaan mewah jenis Lamborghini yang dilapor dilarikan sekumpulan lelaki di Taman Wawasan, awal pagi 26 Julai lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, pemilik kenderaan tersebut mendakwa tiada suspek yang ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang selepas dua bulan kejadian dilaporkan berlaku.

Menurutnya, sepupu kepada pemilik yang memandu kereta tersebut pada hari ia dilapor hilang turut kesal dengan kenyataan polis mengatakan dirinya membuat laporan palsu.

“Ini sidang media kali ketiga dibuat berhubung kes tersebut, sebelum ini saya dah buat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan selepas dapati ada sesuatu yang tidak kena mengenainya.

“Ia termasuk persoalan mengapa polis ambil masa lebih dua bulan untuk pulangkan kembali kereta kepada pemilik selain kenyataan yang mengatakan sepupu pemilik buat laporan palsu berhubung kecurian kereta mewah itu,” katanya.

Katanya, beliau kesal sehingga kini pihak suruhanjaya memaklumkan belum mendapat sebarang penjelasan daripada pihak polis berhubung aduan dibuat pihaknya.

“Saya juga hairan tiada suspek ditahan dan didakwa di mahkamah selepas polis kata sudah tahan dua suspek bergelar ‘Datuk’,” katanya pada sidang media di Kompleks Suria Kinrara, di sini semalam.

Justeru Lip Eng berkata, beliau memberi tempoh seminggu kepada polis dan suruhanjaya untuk memberi kenyataan berhubung kes itu dan akan membawa perkara itu ke Parlimen jika pihak itu gagal beri maklum balas.

Beliau katanya, turut membuat aduan di Jabatan Integriti Bukit Aman namun dimaklumkan ia masih dalam siasatan.

Terdahulu, beliau memberitahu sepupu kepada pemilik kenderaan itu membuat laporan polis mendakwa kereta mewah tersebut dilarikan ketika memandunya di Taman Wawasan, Puchong.

Dalam laporan dibuat, pengadu memberitahu ketika kejadian dia memandu kereta tersebut dan turut memaklumkan pemilik sebenar adalah kakak saudaranya.

Dua hari selepas kehilangannya, pihak polis mengeluarkan kenyataan kenderaan itu berjaya ditemui semula dan menahan dua lelaki bergelar Datuk.

Seminggu selepas itu, beliau berkata, polis mengeluarkan kenyataan mendakwa pengadu membuat laporan polis palsu dan memaklumkan pemilik kenderaan adalah orang lain.

Katanya, pemilik datang bertemunya apabila polis pada mulanya enggan memulangkan kenderaan tersebut.

Lip Eng berkata, beberapa hari selepas itu polis kemudian membuat kenyataan mengatakan suspek bergelar 'Datuk' tidak terlibat dengan kes kecurian kereta tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah memberi penjelasan berhubung kes tersebut kepada pihak suruhanjaya.

Beliau berkata, kertas siasatan kes juga telah dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

- sharian

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP