Saturday 3 September 2016

Hadi: Husam Jahil Agama Dan Pas Kelantan Tidak Akan Tergugat



MARANG - Pas ‘tidak kisah’ malah tidak terkesan dengan penyertaan bekas Naib Presiden Pas yang juga merupakan Adun Salor, Datuk Husam Musa ke dalam Amanah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tidak boleh menghalang  keputusan Husam untuk menyertai Amanah kerana ia adalah keputusannya sendiri.

“Itu terpulang (kepada keputusan) masing-masing, dia nak masuk parti apa, negara kita (negara) demokrasi. Tidak mahu masuk parti…masuk parti, atas pagar…terpulang pada dia (Husam), kita tidak boleh paksa.

“(Pas Kelantan) tidak akan tergugat. Insya-ALLAH makin teguh,” katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Asrama Baharu Banin (Putera) di Kompleks Maahad Darul Quran, di Rusila di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar Husam kerana menggunakan nama Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menggangap lebih ramai akan mengikuti jejaknya menyertai Amanah jika Allahyarham masih hidup.

“Yang tahu benda akan datang ini Tuhan sahaja, dia (Tok Guru) dah meninggal dunia, orang meninggal dunia ini dengan karamahnya yang terdahulu, akan datang orang lain pula. Itu kenyataan yang jahil agama,” katanya.  

Abdul Hadi berkata, Allahyarham Nik Aziz sudah meninggal dunia dan berharap ALLAH menerima semua amalan dan mengampuni segala dosanya kerana setiap manusia ada amalan baik dan ada dosa kecuali nabi-nabi.

“(Semoga) Semua amalan-amalan Tok Guru diterima dengan sempurna, semua kesilapannya diampunkan ALLAH Taala, (dan) ALLAH  tinggikan martabat dia di sisi ALLAH Taala,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa hubungan beliau lebih rapat dengan Allahyarham Nik Aziz berbanding Husam.  

“Saya lebih rapat daripada Tok Guru daripada dia (Husam)… kalau tidak percaya dengar kaset Tok Guru, apa Tok Guru komen tentang saya. (Hubungan) saya lebih rapat dan lebih lama daripada dia (Husam) lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan setakat hari ini tiada ahli Pas yang mengikuti jejak langkah Husam namun meminta mereka yang mempunyai masalah dengan Pas agar meninggalkan parti itu.

“Ahli Pas tetap dengan Pas. Setakat ini tiada (ikut Husam). Semua mereka yang ada masalah dengan Pas biar dia keluar daripada Pas, senang sahaja...Keluar (Pas) dan masuk parti lain. Tinggal yang tiada masalah,” katanya.

- sinar harian

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP