Wednesday 14 September 2016

Hanya Satu Cara Bebaskan Anwar



KUALA LUMPUR: Satu-satunya cara Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dibebaskan dari penjara ialah dengan dakwaan liwat terhadapnya dibatalkan panel baharu Mahkamah Persekutuan, menurut seorang peguam jenayah.

Bagaimanapun, Datuk N. Sivananthan berkata peguam bekas ketua pembangkang itu perlu terlebih dulu meyakinkan mahkamah yang sabitan terhadap dakwaan itu tahun lalu adalah tidak adil.

“Peguamnya perlu membuktikan keputusan itu tidak sah, berat sebelah atau prejudis,” kata Sivananthan yang merupakan peguam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Katanya, mahkamah hanya akan mengetepikan keputusan sebelum ini jika ia berpuas hati syarat ketat dipenuhi di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Susulan itu, katanya mahkamah akan mendengar rayuan dan pada peringkat inilah peguam Anwar dapat memberikan hujah mereka berdasarkan fakta dan undang-undang.

Anwar memfailkan semakan kehakiman tahun lalu dan Mahkamah Persekutuan dijangka mendengarnya pada 12 Oktober.

“Beliau boleh dibebaskan hanya jika panel hakim baharu membenarkan rayuannya dan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan,” kata Sivananthan yang bagaimanapun berkata setahunya, perkara seumpama itu belum pernah berlaku dalam sesuatu kes jenayah.

“Ia tugas yang berat tetapi tidak ada apa-apa yang mustahil,” katanya.

Semalam, peguam hak asasi dari Amerika Syarikat Kimberley Motley dilaporkan berkata Anwar tidak melakukan sebarang jenayah.

Motley, yang mendakwa beliau dipilih mewakili Anwar tanpa apa-apa bayaran guaman, turut berkata akan bercakap di seluruh dunia tentang layanan yang diberikan terhadap Anwar di bawah sistem perundangan Malaysia.

Motley sebelum ini dilarang bertemu pemimpin PKR itu, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Peguam, K. Ramu mengingatkan Motley yang Anwar didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi di Malaysia dan ia bukan rayuan terhadap keputusan yang dijatuhkan mahkamah lebih rendah.

“Perjuangan terakhir Anwar ialah di dalam Mahkamah Persekutuan. Sia-sia membuat kenyataan dia tidak bersalah atau mahu melancarkan kempen antarabangsa,” katanya kepada FMT.

Ramu berkata Motley bukan peguam berdaftar di Malaysia dan bukan juga sebahagian barisan peguam Anwar.

Katanya, pihak penjara mempunyai kuasa sama ada membenarkan atau tidak sesiapa pun melawat Anwar, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan pihak luar.

Anwar, 68, dibebaskan daripada tuduhan liwat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari, 2012.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun pada 7 Mac, 2014. Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, mendapati Saiful seorang saksi yang boleh dipercayai.

Mahkamah juga menerima bukti sampel DNA oleh pihak pendakwa, dan menolak hujah peguam Anwar yang sampel itu dimanipulasikan. 



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP