Wednesday 7 September 2016

Kenapa Lihat helang Di Langkawi, Patung Lain Macam Mana?

Tugu helang di Langkawi menjadi fokus debat halal-haram selepas timbalan mufti Perak dilaporkan berkata ia haram. Semalam Zamri Hashim mendakwa kenyataannya disalah tafsir. ― Paparan skrin Google



LANGKAWI, 7 Sept ― Pihak berkuasa agama Islam tidak boleh mengambil sikap memilih berhubung isu replika awam yang dianggap haram dan tidak mengkhususkan kepada patung raksaksa helang yang ada di Langkawi sahaja, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Katanya, apa-apa keputusan atau tindakan yang hendak dilaksanakan ke atas patung helang yang menjadi ikon Langkawi itu perlu juga diguna pakai ke atas replika seumpamanya yang ada di tempat-tempat lain di negara ini.

“Janganlah (tindakan) dibuat di Langkawi sahaja. Pihak berkenaan patut melihat tugu-tugu dan patung-patung di tempat-tempat lain,” katanya semasa berucap merasmikan program Konvoi Kemerdekaan anjuran Persatuan Tuan Empunya dan Pemandu Teksi Langkawi semalam.

Beliau merujuk laporan media baru-baru ini yang memetik kenyataan timbalan mufti Perak Zamri Hashim sebagai berkata memasang replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup.

Laporan itu menyebut Zamri menjelaskan perkara itu selepas menerima surat rasmi daripada sebuah pihak berkuasa tempatan, yang tidak dinamakannya, yang bertanyakan hukum membuat replika burung helang untuk tempat berkaitan binatang itu.

Nor Saidi berkata isu patung helang ini merupakan antara perkara berbangkit semasa yang dilihatnya mencalar imej Langkawi untuk dipromosikan sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Biarpun berhadapan dengan cabaran ini, beliau meminta semua pihak berkepentingan di Langkawi untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong yang datang.

Beliau turut mengumumkan pembukaan kaunter teksi di Adya Hotel Langkawi untuk memudahkan pengusaha teksi berurusan dengan pelanggan mereka dan meminta pengusaha tapak pelancongan lain di pulau ini untuk mengambil langkah serupa untuk meningkatkan lagi imej dan mutu perkhidmatan teksi.

“Persatuan Teksi Langkawi juga boleh menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk mencari jalan meningkatkan mutu dan imej perkhidmatan ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya.

Sebanyak 200 buah teksi mengambil bahagian dalam konvoi sejauh 30 kilometer itu yang bermula dari sebuah hotel terkemuka di Pantai Tengah dan berakhir di perkarangan parkir Lembaga Pembangunan Langkawi. ― Bernama


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP