Wednesday 7 September 2016

Rais Yatim: Salam Mahathir-Anwar Salam Silaturahim



Pemimpin veteran Umno Tan Sri Rais Yatim berpendapat, 'pertemuan' antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah pertemuan antara bekas timbalan perdana menteri dan bekas ketuanya.

Malah, Rais berkata, tindakan kedua-dua pemimpin itu bukan perkara luar biasa memandangkan Islam menggalakkan umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim.

"Tiada salah bagi seorang bekas timbalan perdana menteri bersalaman semula dengan bekas ketuanya waima (walaupun) di mahkamah.

"Islam membenarkan silaturahim dan dalam jaringan ukhuwah islamiyah, kita beri ia pengiktirafan.

"Jadi kenapa kita persoal banyak sangat dalam hal ini," kata Rais yang juga adalah bekas menteri Umno.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri majlis 'Sepetang bersama CiTRA' di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata salam antara Anwar dan bekas perdana menteri itu bukannya suatu kesalahan lebih-lebih lagi mereka sudah lama tidak berjumpa.

"Umno dan bukan Islam pun bersalaman dan kadang-kala berpeluk cium. Apatah lagi Anwar dan Mahathir, tak ada salah. Dah lama mereka tak jumpa.

Malah, kata penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan itu, bahawa walaupun perubahan politik sentiasa berlaku namun silaturrahim sesama manusia tidak harus dilupakan.

Minum teh bersama pembangkang

Beliau turut memberi cadangan supaya pada masa akan datang, pihak kerajaan dan pembangkang dapat mengetepikan politik dan duduk ‘minum teh bersama’ untuk eratkan silaturrahim.

"Politik boleh berubah dari masa ke semasa. Yang penting perasaan silaturrahim yang mengiktiraf nilai personaliti atau sahsiah seseorang.

"Dalam bermusuhan dalam politik jangan lupa silaturrahim.

"Misalnya hari raya haji nanti, pembangkang dan kerajaan harus minum teh, makan lemang bersama," katanya lagi.

Semalam, Mahathir yang juga bekas perdana menteri ke-empat hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Langkah itu dilihat sebagai sokongan moral terhadap Anwar kerana kedua-dua pemimpin itu kini senada menentang akta itu dan menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Pertemuan itu dipercayai yang pertama dirakam sejak pemecatan Anwar pada 18 tahun lalu.

Mahathir memecat Anwar pada September 1998 atas dakwaan penglibatan dalam kes liwat, yang kemudian membawa kepada kes mahkamah.

Rais pula pernah meninggalkan Umno pada 1987 dan menyertai Semangat 46 sebagai pembangkang ketika Dr Mahathir adalah perdana menteri.

Beliau bagaimanapun seperti kebanyakan pemimpin Umno lain kembali ke parti itu pada 1999 dan menganggotai kabinet semula bersama Anwar di bawah Dr Mahathir.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP