Tuesday, 13 September 2016

WSJ Dakwa Rosmah Belanja AS$6 Juta Beli Baju, Kasut, Barang Kemas



Akhbar Wall Street Journal(WSJ) mendakwa isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor membelanjakan AS$ 6 juta membeli pakaian, kasut dan barangan kemas.

Menurut laporan itu, perbelanjaan dibuat antara 2008 dan 2015 dan adalah berdasar kepada dokumen-dokumen baru yang diteliti oleh WSJ.

"Dokumen-dokumen baru mendedahkan (Rosmah) membelanjakan sekurang-kurangnya AS$ 6 juta melalui caj kad kredit pada tahun-tahun kebelakangan ini - walaupun tidak mempunyai sumber pendapatan kecuali gaji suaminya.

"Beliau adalah satu-satunya anak guru sekolah, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan suaminya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah seorang birokrat dengan gaji tahunan sebanyak AS$ 100,000," kata laporan itu.

Lapor WSJ, perbelanjaan dibuat di gedung membeli-belah Harrods di London, Saks Fifth Avenue di New York dan di beberapa tempat lain.

Menurut akhbar itu, perbelanjaan terbaru AS$ 6 juta itu termasuk perbelanjaan AS$ 1 juta oleh Rosmah yang dilaporkan sebelum ini.

Pada Mac lalu, WSJmelaporkan Rosmah membelanjakan € 750,000 di gedung barangan kemas De Grisogono milik Swiss di cawangan Itali dan AS$ 130,635 di Chanel di Honolulu, Hawaii.

Dalam laporan itu, WSJ mendakwa perbelanjaan berkenaan juga dicaj kepada kad kredit suami Rosmah, Najib.

Ia mendakwa kad kredit itu berkaitan dengan dana 1MDB.

Laporan terbaru itu juga memaparkan biografi Rosmah mengenai sumber dananya untuk membeli-belah.

"Saya membeli barangan kemas dan pakaian dengan wang sendiri. Apa yang salah?" petik Rosmah dalam biografi itu.

Menurut WSJ, Najib tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya.

Malaysiakini telah menghubungi pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor bagi mendapatkan ulasannya mengenai laporan itu dan sedang menunggu jawapannya.

-  malaysiakini


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

BlogList 3

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP