Saturday 19 November 2016

Jamal Ditangkap Polis Malam Tadi



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berikrar menghalang perhimpunan Bersih 5 menerusi Gerakan Baju Merah yang dipimpinnya ditangkap polis awal pagi ini dalam operasi polis yang berjalan sejak semalam.

Jamal ditahan di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan ringkasnya, ketua Umno Sungai Besar it berkata dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam jam 1.30 pagi tadi.

“Saya berharap penahanan saya tidak mematahkan semangat para penyokong Baju Merah,” katanya.

Penasihat undang-undang gerakan itu, Mohd Imran Tamrin ketika dihubungi jam 2.00 pagi tadi berkata pihaknya menuju ke ibu pejabat polis untuk maklumat lanjut.

Adalah dipercayai penangkapan Jamal dibuat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kerana merusuh.

Jamal merancang perhimpunan balas hari ini sejak beberapa bulan lalu, sebagai membantah Bersih 5 yang antara lain mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Polis mengisytiharkan kedua-dua perhimpunan Bersih 5 dan Baju Merah tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman walaupun menerima notis 10 hari.

Sementara itu, aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim turut disoal polis.

Adam melalui akaun Twitter berkata polis datang ke bilik hotelnya berhampiran KL Sentral jam 1.30 pagi.

“Mereka datang, tanya soalan, ambil butiran diri termasuk nombor kad pengenalan.”

“Kemudian mereka beredar,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Sebelum ini Ronnie Liu ditangkap atas tuduhan merusuh, dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke berhubung ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan Sabtu lepas.

Polis turut menangkap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan urusetia Mandeep Singh selepas pejabat mereka di Petaling Jaya diserbu polis petang semalam.

Setakat berita ini ditulis, difahamkan 14 orang termasuk Jamal ditahan pihak berkuasa.

Berikut senarai mereka yang ditahan:

1. Maria Chin Abdullah
2. Mandeep Singh
3. Anthony Loke
4. Ronnie Liu
5. Luqman Nul Hakim Zul Razali
6. S. Artuchelvan
7. Jimmy Wong
8. Lee Khai Ming
9. Anis Syafiqah
10. Ariffin Abu Bakar
11. Razali Zakaria
12. Muhammad Safwan Anang
13. Adam Adli
14. Datuk Seri Jamal Yunos

- fmt






PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP