Sunday 13 November 2016

Jamal: Polis Tumbuk Saya...




PETALING JAYA: Datuk Jamal Md Yunos berjanji akan membayar setiap titisan darahnya yang tertumpah hari ini kerana ditumbuk dalam satu pergelutan pada konvoi Bersih di Ampang.

Ketua gerakan Baju Merah itu mendakwa beliau ditumbuk di mukanya ketika mengetuai penyokong Baju Merah untuk mencari Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin di Pusat Beli-belah Ampang Point.

Ketika kejadian, Zuraida dan sekumpulan ahli PKR sedang melakukan publisiti untuk perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan pada 19 November ini.

“Tiba-tiba seorang lelaki berbaju kuning menumbuk saya. Hidung saya berdarah sebab itu.

“Apabila saya pergi ke sebuah klinik di Ampang selepas itu, doktor memberitahu saya untuk pergi ke hospital melakukan pemeriksaan lanjut, termasuk x-ray.

“Saya okey buat masa ini, tetapi saya berjanji setiap titisan darah saya yang mengalir hari ini, akan dibayar balik dengan darah,” kata Jamal kepada FMT.

Bagaimanapun, Malaysiakini melaporkan Jamal melaungkan “Polis tumbuk saya” dan memetik seorang ahli PKR Ampang yang mendakwa seorang anggota polis berpakaian biasa yang mengawal di pintu keluar pusat beli-belah itu, bergelut dengan Jamal.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau sudah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Laporan polis yang dilihat oleh FMT itu dibuat di Balai Polis Daerah Ampang kira-kira 5 petang tadi.

Jamal menyatakan berlaku pertembungan antara 150 pengikutnya dengan sekumpulan penyokong berbaju Bersih.

Beliau mendakwa mereka yang berbaju kuning itu bertindak ganas dan mengganggu ketenteraman awam.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah ketika dihubungi, terkejut dengan insiden terbaru hari ini apabila sekumpulan penyokong Baju Merah yang tidak terkawal mengganggu konvoi di Bangi dan Hulu Selangor.

Maria berkata, sekumpulan penyokong Baju Merah menendang dan menumbuk seorang sukarelawan keselamatan Bersih dan cuba mengugut pemandu-pemandu berbaju kuning dalam konvoi itu.

“Mereka mengganggu konvoi itu seperti samseng ganas. Ia mengejutkan mereka sanggup bertindak sampai ke tahap ini.

“Apa yang ketua polis negara, perdana menteri dan menteri-menteri persekutuan lain seperti Khairy Jamaluddin buat? Kenapa pihak berkuasa tidak melakukan apa-apa?” katanya kepada FMT.

Beliau mengaitkan insiden lain membabitkan Jamal dan menyifatkan “Dia (Jamal) tidak berperikemanusiaan” kerana didakwa mengheret seorang penyokong Bersih keluar dari keretanya di hadapan anak-anak lelaki itu.

“Bagaimana seorang individu boleh berkelakuan seperti itu di hadapan kanak-kanak?” soalnya.

Bersih dijadual mengadakan perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu depan bagi menuntut pembaharuan politik dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jamal berjanji akan mengadakan perhimpunan balas pada hari sama.

- FMT

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP