Thursday 17 November 2016

Tabiat Najib Yang Suka Meminjam Akan Jadikan Malaysia Mengemis



Tabiat kerajaan yang kerap mendapatkan pinjaman besar bagi membiayai projek negara dan ditambah pula dengan kejatuhan nilai ringgit yang berterusan, akan membankrapkan negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam tulisan terbaru di blognya hari ini, bekas perdana menteri itu berkata, rakyat perlu membantah terhadap pinjaman seumpama itu kerana ia akan menimbulkan bebanan kewangan kepada negara pada masa hadapan.

Menurutnya, Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan kereta api berkelajuan tinggi yang dicadangkan dari Kuala Lumpur ke Singapura akan menyaksikan negara terpaksa mengambil pinjaman RM100 bilion.

"Pinjaman dalam denominasi dolar Amerika atau Yuan (China). Ringgit susut nilai begitu cepat ... Malaysia akan dibebani dengan tambahan hutang yang besar ini.

"Jika pembayaran semula dibuat dengan menjual aset kerajaan, sebahagian besar tanah berharga di Malaysia akan menjadi milik asing," tulis beliau, dan berkata bahawa hutang 1MDB juga menjejaskan kewangan negara.

Memetik Greece sebagai contoh, Mahathir memberi amaran bahawa pemberi pinjaman lazimnya mempunyai pengaruh besar ke atas penghutang dan mata wang mereka akan susut nilai.

Beliau memberi amaran bahawa penurunan nilai mata wang akan menyebabkan rakyat menjadi miskin.

"Selepas 60 tahun dengan pertumbuhan yang tinggi, Malaysia akan kembali menjadi sebuah negara membangun yang miskin akibat tabiat meminjam kerajaan Malaysia.

"Lupakan Wawasan 2020. Malaysia akan mengemis untuk mendapatkan bantuan. Dan negara-negara yang bergantung kepada bantuan akan kehilangan banyak kebebasan mereka," katanya.

Mengapa bukan firma Malaysia?

Sementara itu, Mahathir juga mempersoalkan mengapa Putrajaya tidak memilih syarikat tempatan untuk projek ECRL.

Beliau berkata, penggunaan syarikat tempatan akan mengelakkan wang negara mengalir keluar.

"Malaysia mempunyai banyak syarikat yang berupaya dan berkemapuan untuk membina landasan kereta api elektrik.

"Memberi kontrak kepada syarikat asing ertinya wang yang akan mengalir keluar dari negara ini. Ini tidak sihat untuk mana-mana negara," katanya.

Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, turut mendakwa firma China lazimnya mengenakan separuh daripada bayaran bagi setiap kilometer landasan itu.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata terdapat implikasi kewangan yang besar bagi negara ini berhubung perjanjian kerajaan dengan China, baru-baru.

"Apabila rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan kunjungan Najib ke China, ini bukan kerana mereka menentang China.

“Ia adalah kerana mereka mengambil berat tentang negara ini. Mereka mengambil berat untuk masa kini dan masa depan negara ini," kata Mahathir.


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP