Saturday 4 March 2017

Duta Korea Utara Diusir Keluar Dari Malaysia


Kang Chol dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat tersebut, iaitu 6.00 petang, 4 Mac 2017. -Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kenyataan oleh Datuk Seri Anifah Aman mengenai pengisytiharan Kerajaan Malaysia bahawa Kang Chol, duta besar Republik Demokratik Rakyat Korea adalah persona non grata.

1. Susulan dari arahan saya, TYT Kang Chol, Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) telah dipanggil (summoned) ke Kementerian Luar Negeri.  Beliau dijadualkan untuk bertemu dengan YM Ambassador Raja Nushirwan bin Zainal Abidin, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri pada hari ini jam 6.00 petang.

2. Walaubagaimanapun, TYT Kang Chol mahupun pegawai kanan dari Kedutaan tidak dapat menghadirkan diri ke Kementerian Luar Negeri.

3. Oleh yang demikian, Kementerian Luar Negeri melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan DPRK telah memaklumkan bahawa TYT Kang Chol telah diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai Persona Non Grata. Beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam dari masa mesyuarat tersebut, iaitu 6.00 petang, 4 Mac 2017.

4. Sekarang boleh diumumkan bahawa pada pukul 5.00 petang, Selasa, 28 Februari 2017, pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar Negeri, telah berjumpa dengan Delegasi Peringkat Tinggi DPRK yang diketuai oleh TYT Kim Song.  Pada mesyuarat tersebut, Kerajaan Malaysia telah menuntut supaya Kerajaan DPRK mengemukakan permohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang telah dilontarkan oleh Duta Besar DPRK terhadap Malaysia.

5. Kerajaan DPRK juga telah dimaklumkan bahawa andainya jawapan tidak diterima selewat-lewatnya pukul 10.00 malam hari yang sama, maka Kerajaan Malaysia akan mengambil langkah-langkah untuk mempertahankan kepentingan negara.

6. Hampir empat hari telah berlalu selepas tamatnya tempoh tersebut.  Permohonan maaf masih belum diterima, Kerajaan DPRK juga tidak memberi isyarat yang mereka akan memohon maaf.  Oleh yang demikian, Duta Besar DPRK telah disytiharkan Persona Non Grata.

7. Persona Non Grata diterjemahkan secara kasarnya bermaksud “Orang yang Tidak Dihargai”.  Seseorang yang telah diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada disesebuah negara.  Ia merupakan bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing.

8. Ia juga seringkali digunakan untuk memberi isyarat tidak senang hati terhadap tingkahlaku atau dasar negara penghantar.

9. Mengikut artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961), negara penerima boleh, pada bila-bila masa dan tanpa memberi sebarang alasan, mengisytiharkan duta besar atau ketua perwakilan atau pegawai diplomatik sebagai Persona Non Grata.  Dalam hal sedemikian, negara penghantar akan memanggil pulang inidividu berkenaan ataupun menamatkan fungsi beliau di kedutaan atau perwakilan.  Jika negara penghantar tidak mahu berbuat demikian, maka negara penerima boleh menamatkan pengiktirafan terhadap individu tersebut sebagai ahli kedutaan atau perwakilan.

10. Ingin ditekankan – Malaysia akan mengambil tindakan keras terhadap apajua penghinaan mahupun usaha untuk memburukkan nama negara.

11. Harus diingat bahawa Duta Besar tersebut telah membuat tuduhan bahawa proses penyiasatan terhadap warganegara DPRK yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai sesuatu yang hendak disembunyikan dan Malaysia bersekongkol dengan kuasa luar untuk memburukkan negara negara beliau.  Pembebasan Encik Ri Jong Chol, seorang warganegara DPRK, dari tahanan polis disebabkan tidak mempunyai bukti yang cukup untuk didakwa, jelas menunjukkan bahawa penyiasatan tersebut tidak berat sebelah, adil dan telus, sesuai dengan sesebuah negara yang ditadbir berdasarkan undang-undang.

12. Pengusiran Duta Besar DPRK datangnya sejurus selepas keputusan Kerajaan Malaysia, seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bahawa bermula hari Isnin, 6 Mac 2017, warganegara DPRK dikenakan visa untuk masuk ke Malaysia.  Tindakan ini menunjukkan bahawa Malaysia memandang berat apajua cubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang.

13. Langkah-langkah ini merupakan sebahagian proses Kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungannya dengan DPRK.


Menteri Luar Negeri
PUTRAJAYA
4 Mac 2017





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP