Sunday 23 April 2017

Enam Ditangkap Tembak Rumah Sami Hindu


Enam lelaki termasuk seorang remaja ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penunggang motosikal melepaskan tiga das tembakan ke arah rumah seorang sami di Air Itam di George Town, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata enam lelaki berusia di antara 14 hingga 55 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar kawasan Air Itam dan Datuk Keramat di George Town malam tadi dan hari ini.

"Susulan kejadian itu, polis melancarkan operasi dan dapat menahan enam lelaki itu," katanya dalam kenyataan di George Town, hari ini.

Enam lelaki itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. .

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai dapat membantu kes berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, mangsa yang berusia 50 tahun dan merupakan sami di sebuah kuil sedang mencuci halaman rumahnya apabila seorang penunggang motosikal tiba lalu melepaskan tiga das tembakan.

Setelah tidak terkena tembakan itu, beliau terus melarikan diri masuk ke dalam rumahnya lalu menghubungi polis.

Semasa kejadian, isteri dan tiga anaknya berada di dalam kediaman teres dua tingkat itu.

Berdasarkan siasatan polis, kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang penduduk di kawasan perumahan sama berhubung kutipan wang rumah ibadat itu, selain mendakwa sami itu tidak amanah dan menyelewengkan wang kutipan berkenaan. -Bernama






PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP