Sunday 11 June 2017

Buat Kecoh Di Bazar Ramadan: Polis Tahan Geng Capang Kluang


KLUANG: Polis tengah hari tadi menahan dua lelaki yang menimbulkan kekecohan dan provokasi di Bazar Ramadan Bandar Kluang, petang semalam.

Dua lelaki berkenaan ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, jam 1.40 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata penahanan mereka bagi membantu siasatan berkenaan kes provokasi termasuk menghalau beberapa anggota parti politik pembangkang yang sedang mengedarkan sumbangan kurma kepada orang ramai di Bazar Ramadan Bandar Kluang, di sini, petang semalam.

"Hasil soal siasat, seorang daripada suspek mengaku menumbuk mangsa yang sedang mengedar kurma di bazar berkenaan manakala seorang lagi suspek mengaku menolak mangsa yang lain.

"Empat lagi suspek sedang dikesan dan akan ditahan tidak lama lagi bagi membantu siasatan kes ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Video tindakan provokasi berkenaan viral di media sosial sejak malam tadi dan mendapat kecaman ramai termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai tindakan yang perlu dikecam.

"Tindakan yang perlu dikecam, lebih-lebih lagi pada bulan puasa. Tak perlu kita bertindak seperti ini walaupun berbeza pandangan politik," kata Khairy menerusi Twitter rasminya, @Khairykj, pagi ini.

Dalam insiden berkenaan, enam lelaki dikatakan membuat provokasi termasuk menghalau beberapa anggota pembangkang yang sedang mengedarkan kurma kepada orang ramai.

Polis mula mengesan suspek selepas mangsa membuat laporan polis jam 10 malam tadi. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 akta yang sama kerana ugutan jenayah.






PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP