Sunday 22 October 2017

Mustafa Ali: Pas Sambutlah Tangan Umno



KUALA TERENGGANU: PAS wajar menyambut tangan dihulur UMNO untuk duduk semeja dan berbincang mengenai kerjasama yang boleh dijalinkan di antara kedua-dua parti itu.

Pandangan itu disuarakan veteran PAS, Datuk Mustafa Ali, yang menyifatkan pemimpin PAS tidak lagi boleh duduk berdiam selepas parti itu memutuskan kerjasama dan tahaluf siyasi dengan Pakatan Harapan.

Bekas Setiausaha Agung PAS itu berkata, perbincangan itu penting supaya kedua-dua parti boleh memahami perspektif dan kehendak masing-masing, sebelum boleh dilanjutkan kepada sebarang kerjasama yang memanfaatkan rakyat, negara dan parti.


"Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah berkali-kali menyatakan bahawa PAS memang tidak akan kembali bekerjasama dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam Pakatan Harapan.

"Jadi apa alternatif yang ada? Jadi sebab itu pandangan saya, PAS wajar menyambut tangan dihulurkan UMNO melalui Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa.

"Tetapi, bukanlah bererti PAS mesti bersama-sama Barisan Nasional (BN). Saya pun tidak fikir Annuar mahu ajak PAS masuk BN. Tetapi, bila disebut kerjasama ini untuk membangunkan negara, kita kena sambutlah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bekas Ketua Pengarah Pilihanraya PAS itu berkata, ketika ini hanya dua parti, iaitu PAS dan UMNO yang menguasai pengundi Melayu, sekaligus 'penyatuan' kedua-dua parti akan memberi kebaikan kepada negara.

Beliau juga berpendapat, kerjasama UMNO dan PAS juga akan mewujudkan suasana pilihan raya yang lebih baik apabila berlaku pertembungan satu lawan satu dan bukan tiga penjuru iaitu, PAS, BN dan Pakatan Harapan.

"Jadi sebab itu, kalau berlakunya suasana politik yang lebih kondusif dan harmoni, itu baik bagi negara.

"Saya rasa UMNO dan PAS boleh berbincang untuk kepentingan masa depan negara. Tetapi, saya tidak nampak ada satu jawapan yang serius daripada pemimpin PAS setakat ini. Jadi, apabila tidak ada satu respons yang serius itu, saya rasa ia tak kena. Jadi pada padangan saya perlu berbincang," katanya.

Ditanya mengapa beliau yang dilantik sebagai penasihat PAS tidak menyuarakan pandangan itu kepada pimpinan atasan parti, katanya, beliau tidak lagi duduk dalam mana-mana jawatankuasa.

Mustafa berkata, usaha PAS untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan hanya memperkukuhkan badan gabungan politik tidak rasmi seperti Gagasan Sejahtera, tidak memberi kelebihan kepada parti.

"Apabila hendak pilihan raya, orang akan lihat parti mana yang akan menjadi kerajaan. Jadi, PAS sudah cakap awal-awal lagi ia bukan mahu membentuk kerajaan.

"Kerjasama pun termanya ada banyak. Tahaluf siyasi, taawun, 'electoral understanding'. Saya nak tengok perbincangan antara PAS dan UMNO ini berlaku untuk kepentingan masa depan negara," katanya.



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP