Thursday 19 October 2017

Shafie Apdal Akhirnya Ditangkap SPRM


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di negeri ini.

Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna itu ditahan SPRM di pejabat Suruhanjaya itu sekitar jam 9 malam tadi.

Ahli politik berusia 60 tahun itu hadir ke pejabat SPRM kira-kira pukul 5.20 petang dengan ditemani peguamnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penahanan itu.

Sumber SPRM ketika dihubungi Astro AWANI petang tadi mendedahkan yang pihak beliau akan memanggil ahli politik terbabit melalui peguamnya sebelum mendapat persetujuan untuk hadir ke pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sabah petang tadi.

Mohd Shafie dijangka akan ditahan reman esok (Jumaat).

"Kita akan rakam percakapan dan menahan beliau bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes penyelewengan dana KKLW di Sabah," kata sumber itu lagi.

Dalam pada itu, sumber menambah, seorang jurutera awam berusia 47 tahun turut ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada pukul 2.45 petang tadi. Individu itu difahamkan ditahan untuk membantu siasatan penyelewengan dana KKLW.

Sebelum itu, pemimpin politik itu dilaporkan berlepas ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur pada pukul 12.55 tengah hari tadi. 

Sejak pembongkaran SPRM berhubung kes penyelewengan dana KKLW itu, sembilan individu ditahan termasuk dua daripadanya adik kepada pemimpin terbabit.

Hari ini, mahkamah membenarkan ikat jamin dibuat ke atas salah seorang adik pemimpin berkenaan dan seorang ahli perniagaan.

Hanya tinggal seorang lagi adik pemimpin itu yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bergelar Datuk yang masih ditahan SPRM sehingga Sabtu ini.

Pada 5 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mendedahkan pihaknya telah menyita kira-kira RM180 juta dalam akaun bank bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek luar bandar di Sabah.

Dzulkifli berkata, jumlah RM180 juta itu dipercayai sebahagian daripada RM1.5 bilion dana yang dianggarkan diseleweng dalam kementerian.

Dana awam itu adalah sebahagian peruntukan kerajaan Pusat melalui KKLW berjumlah RM7.5 bilion untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah sepanjang 2009 hingga 2015.

Sumber Astro AWANI juga mendedahkan VIP tersebut telah menaiki sebuah pesawat dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sekitar jam 12.55 tengah hari tadi.





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP