Saturday, 28 October 2017

Pas Diramal Akan Kalah Di Kelantan



KETUA Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Hazmi Hasan (tiga dari kiri) bersama dengan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Mohd Sukiman Mustafa (tiga kanan) bersama ahli-ahlinya menunjukkan kad jemputan bagi menghadiri Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan yang akan diadakan pada Sabtu ini jam 8.30 pagi di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu dalam pertemuan di sebuah kedai makan, bandar Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Pemuda Pakatan Harapan menyifatkan PAS mungkin akan mengalami kekalahan di Kelantan seandainya mereka tidak bersama dengan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Hazmi Hasan, berkata peluang untuk PAS tumbang di negeri ini amat cerah jika mengikut kepada perkembangan situasi politik masa kini.

"Kita semua tahu hakikatnya PAS sebelum ini pun sudah kalah, dan hanya bergantung harap kepada undi perantau yang pulang ke kampung untuk mengundi.

"Daripada data terkini yang kita dapat, lebih 42,000 pengundi luar menukarkan alamat mereka (kepada tempat tinggal terkini) dan jika sesuatu tidak dilakukan untuk mengambil hati mereka, sudah tentu pemerintahan PAS di negeri ini akan tumbang," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Hazmi berkata sesuatu perlu dilakukan untuk membentuk kembali pakatan pembangkang bagi memudahkan pertandingan satu lawan satu pada PRU akan datang.

"Jadi kami mengambil inisiatif untuk menjemput semua pemuda parti politik di negeri termasuk Dewan Pemuda PAS bagi sama-sama menghadiri Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan yang diadakan pada Sabtu ini jam 8.30 pagi di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa, berkata PAS dijangka tidak akan memberikan laluan mudah kepada PKR di dalam PRU14 terutama di Kelantan.

"Kita masih lagi menganggap PAS di pihak pembangkang dan akan cuba bekerjasama dengan mereka namun jika gagal, PKR tetap akan mempertahankan serta meletakkan calon di negeri ini dalam PRU kali ini," katanya.


No comments:

Post a Comment

Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.