Monday, 6 November 2017

AKHIRNYA HADI AWANG YANG BERJAYA HERET NAJIB KE MAHKAMAH


Bila jerat sudah mengena, ramai yang tido tak lena.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari,
Ku sangka ianya politik matang, rupanya ada udang di sebalik mi.

Perkara paling mungkin akan berlaku serta sukar dielakkan dalam kes saman Presiden Pas, Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clate Rewcastle-Brown ialah perlunya kehadiran Najib Razak sebagai saksi di mahkamah London.

Oleh kerana nama beliau telah dikaitkan secara langsung, bukan saja dalam isu RM90 juta yang didakwa diberikan kepada Pas, tetapi juga berkaitan RM200 juta yang dikatakan diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, keperluan Najib untuk hadir memberi keterangan tidak boleh lagi dipandang remeh.

Apatah lagi buat pertamanya kalinya, Najib semalam juga menafikan pernah memberikan wang RM90 juta itu kepada Pas.

Memandangkan kenyataan itu dibuat secara terbuka ditempat umum, maka ia perlu disahkan sekali lagi dengan Najib sendiri mesti tampil sebagai saksi di dalam mahkamah.

Jika tidak, penafian Najib itu tidak boleh diterima dan hanyalah umpama perbualan dalam sembang-sembang di kedai kopi saja.

Dengan yang demikian, untuk menentukan Najib benar-benar tidak pernah memberikan wang, sama ada dalam jumlah RM90 juta atau RM200 juta, beliau perlu mengesahkannya di mahkamah.

Dalam hal berkaitan, bukan saja peguam Clare ingin menyoal Najib dengan lebih detail, malahan tentunya peguam Hadi juga ingin berbuat perkara yang sama.

Najib pula, dalam keinginan untuk memastikan Hadi menang kes samannya terhadap Clare itu, sudah pasti sukar untuk menolak daripada menjadi saksi kerana keengganan untuk hadir secara tidak langsung memperlihatkannya tidak mahu membantu Presiden Pas itu.

Hadi sendiri tentunya amat kecewa jika Najib enggan hadir untuk memberi keterangan dan membantunya dalam perbicaraan itu.

Dah jadi kawan, adatnya tentulah Najib dan Hadi boleh saling bantu-membantu.

Apabila hadir di mahkamah London, Najib pasti bukan saja akan ditanya mengenai wang RM90 juta, tetapi juga berkenaan RM200 juta dan kaitannya dengan 1MDB.

Ini kerana sebagaimana yang didakwa sebelum ini, kesemua wang yang dikatakan pemberian Najib itu adalah dipercayai bersumberkan daripada dana 1MDB yang diselewengkan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam pendedahannya melalui akuan bersumpahnya sebelum ini, walaupun tidak menyebut jumlahnya, mengatakan Najib telah memberikan wang yang bersumberkan daripada 1MDB kepada Nasharuddin untuk disalurkan kepada pemimpin-pemimpin Pas.

Bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa pula, di sebalik tidak menyebut nama sesiapa, tetapi secara terbuka mendedahkan angka RM200 juta itu serta nama sebuah bank, Affin Bank sebagai tempat di mana wang tersebut disalurkan.

Jika Rafizi dan Husam pun ada maklumat sedemikian rupa, apakah tidak mungkin peguam Clare mempunyai lebih maklumat lagi?

Maka, mampukah Najib menafikannya dalam mahkamah nanti?

Apa yang menariknya di sini, kalau sebelum ini Najib berjaya menolak beberapa saman untuk menghadapkannya ke mahkamah berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta yang pernah diterimanya, bahkan soalan di Parlimen juga berjaya dielaknya, beliau kini sudah tiada pilihan lain lagi.

Najib kini terpaksa hadir ke mahkamah London dan seterusnya merelakan dirinya disoal oleh peguam di sana.

Akhirnya, meskipun Clare yang kena saman, dalam masa yang sama, Presiden Pas itu juga telah berjaya mengheret Perdana Menteri ke mahkamah - suatu perkara yang selama ini sedaya-upaya cuba dielakkan oleh Najib.

Tahniah buat Hadi Awang. (ShahbudinHusin 05/11/2017)


No comments:

Post a Comment

Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.