Monday, 19 November 2018

Pecat, Dakwa Dan Gugur Kerakyatan Waytha Moorthy



Pelbagai pihak menyuarakan gesaan supaya tindakan undang-undang diambil ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berikutan penularan video beliau yang berunsur fitnah dan hasutan.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, segala diungkapkan Waytha itu adalah fitnah bohong dan sangat membangkitkan sensitiviti perkauman yang boleh mencetus tindakbalas negatif.

Paling dibimbangi menurutnya, adu domba Waytha itu dalam cubaannya mencari pengaruh dan sokongan pihak luar yang mendedahkan Malaysia kepada campur tangan asing, di mana ini adalah pengkhianatan kepada negara.

“Semua yang disebut itu menunjukkan juga kebencian, memberi tekanan dan mencabar yang bersifat ancaman dan gugatan kepada kedaulatan negara. Jadi tindakan pendakwaan mesti segera diambil kerana memburukkan negara, serta dipecat daripada jawatan Menteri,” gesa beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan itu berharap agar perkara tersebut membuka mata banyak pihak bahawa sikap melampau ditunjukkan Waytha itulah yang menjadi kedegilan Menteri tersebut untuk tetap meratifikasi ICERD.

Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dasuki pula mendesak Menteri itu melepaskan jawatan kerana Waytha hingga kini tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat dikeluarkannya itu.

Beliau khuatir imej radikal dan sering membangkitkan isu sensitif oleh pemimpin tersebut akan mengundang krisis keyakinan rakyat terhadap masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini serta permusuhan.

Dr Asyraf juga membidas usaha Menteri itu untuk tetap meratifikasi ICERD sebagai menzahirkan kesombongan dan keangkuhannya walaupun sedar tindakan itu mencabar keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad berkata, terdapat tiga asas jelas membolehkan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu diambil tindakan.

Pertama ujarnya, fitnah terhadap negara dengan berbohong di peringkat antarabangsa yang menimbulkan imej tidak baik dan kedua mengkhianati negara dengan kerja jahat memburukkan sistem negara, serta ketiga menimbulkan suasana tegang.

“Antara siasatan dan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap Waytha termasuk menerusi Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. Begitu juga kerakyatan ahli Dewan Negara itu wajar dikaji semula kerana bukan warganegara yang taat,” kemuka beliau.

Nada seumpama turut disuarakan Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Mufti Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkan Waytha telah mencurah minyak ke api dan tindakannya satu pengkhianatan kepada negara.

Turut berang dan mahu tindakan diambil ke atas Waytha adalah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Selangor, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan banyak lagi.

Antara disebut Waytha dalam video itu adalah pelanggaran Hak Asasi Manusia, layanan tidak sama rata dan diskriminasi Malaysia terhadap kaum India beragama Hindu dan dipaksa menukar agama serta perobohan puluhan ribu kuil. - HARAKAHDAILY









1 comment:

  1. bicarakan.. rakyat nk dengar sgt cita beribu kuil diroboh tu.

    ReplyDelete

Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.