Saturday, 20 July 2019

PKR Johor Sokong Anwar




JOHOR BAHRU 20 Julai - Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyatakan ikrar taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikrar tersebut dinyatakan dalam kenyataan media oleh PKR Johor di sini hari ini yang turut menytakan mahu Anwar terus menjadi nakhoda menerajui barisan pimpinan negeri sedia ada dan parti keseluruhannya.

Pada masa sama, mereka turut menyatakan komitmen menyokong Ahli Parlimen Port Dickson itu menjadi Perdana Menteri Malaysia Kelapan.

“Bahawa kami menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh tanpa belah bahagi kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menjadi nakhoda menerajui parti tercinta ini dan juga barisan pimpinan negeri sedia ada.

“Bahawa kami menyatakan komitmen dengan apa jua kudrat dan sedaya upaya kami untuk menyokong dan membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyenaraikan nama-nama Ahli MPN Johor yang menyokong ikrar tersebut.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Ketua Cabang Pulai yang juga ADUN Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

Selain mereka, yang turut menyokong ikrar itu adalah Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, ADUN Bukit Naning, Ysahruddin Kusni, ADUN Semerah, Mohd. Khuzzan Abu Bakar dan ADUN Tiram, S. Gopalakrishnan.

Ketua Cabang Muar, Naim Jusri, Ketua AMK Johor, R. Yuneswaran, Ketua Cabang Kulai, Hasnizam Hussain, Ketua Cabang Sekijang, Yoong Thau, Ketua Cabang Bakri, Sanihan Mislan, Ketua Cabang Ayer Hitam, Jacqualine Neo Poi Hoo dan Ketua Cabang Parit Sulong Kusni Simoh turut menyatakan sokongan.

Selain itu, mereka yang turut berikrar adalah Ketua Cabang Simpang Renggam, Wong Yun Chin, Ketua Cabang Sembrong, Mohd. Shahrun Radzi, Ketua Cabang Kota Tinggi, Chin Lian Chun, Ketua Cabang Pengerang, Syed Abdullah Syed Abdul Mutalib, Ketua Cabang Pasir Gudang, Abdul Halim Dawan, Ketua Cabang Bandar Tenggara, Shamsuri Shahdan, Ketua Cabang Tanjung Piai, Rosman Tahir dan Penaja Cabang Mersing, Khairil Adnan.

Empat Ahli MPN negeri yang dilantik iaitu Malikfaishal Ahmad, Zabidie Abas, Haniff Osman dan Syed Hamid Ali juga menyatakan sokongan kepada Anwar.

No comments:

Post a Comment

Anda Bebas Menulis Apa Sahaja Komen, Tetapi Atas Tanggungjawab Anda Sendiri. Bloglist Malaysia Tidak Akan Bertanggungjawab Di Atas Komen Yang Menyalahi Undang-Undang Malaysia.