Azmin: Adenan tak hormat jawatan MB, ketua menteri
Datuk Seri Azmin Ali berkata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak menghormati kedudukannya sebagai menteri besar Selangor dan Lim Guan Eng selaku ketua menteri Pulau Pinang.
Ia berikutan kenyataan Adenan bahawa beliau bersedia mempertimbang untuk melanjutkan tempoh kehadiran Azmin dan Lim di Sarawak hanya jika menerima permohonan rasmi.
"Kenyataan ini amat dikesali dan menunjukkan sikap tidak hormat terang-terangan Tan Sri Adenan Satem terhadap kedudukan menteri besar dan ketua menteri.
"Saya maklum yang sekarang ini merupakan musim pilihan raya. Maka dalam politik, seorang ketua perlu melakukan apa-apa jua tindakan yang dibenarkan undang-undang bagi memastikan kemenangan partinya.
"Namun, pendirian bongkak lagi angkuh Tan Sri Adnan Satem ini melangkaui batas dan menzahirkan wajah sebenarnya sebagai pemimpin yang menggunakan kuasa eksekutifnya secara melulu," kata Azmin dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Adenan dalam kenyataannya hari ini sedia menimbangkan permintaan untuk melanjutkan tempoh tinggal mereka di negeri ini sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).
Pejabat ketua menteri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan kesediaan Adenan mempertimbangkan perkara itu sekiranya ada permohonan rasmi dibuat kedua-dua pemimpin pembangkang itu.
Namun Azmin berkata tindakan menghalang atau memendekkan tempoh kemasukan beliau dan pemimpin dari KEADILAN dan DAP tidak akan menyucikan 'noda dan salahlaku' pemimpin-pemimpin BN.
"BN Sarawak wajar menjauhi sikap hidung tinggi dalam menghalang dan mengekang kemasukan ke negeri itu atas alasan mengekalkan autonomi.
"Rakyat Sarawak layak melalui proses pilihan raya bersih dan adil. Justeru, perkara ini meliputi hak mereka memilih sesiapa yang mereka percaya, cara serta personaliti yang akan berkempen di sana - tanpa sebarang halangan mahupun rintangan," tegasnya.
- mkini