PENGARANG Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang sedang berdepan saman fitnah daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempersoalkan sumber dana yang membolehkan pemimpin parti Islam itu mengambil tindakan undang-undang di London walaupun kos guaman di United Kingdom (UK) sangat tinggi.
Wartawan berpangkalan di London itu disaman kerana rencana diterbitkan Ogos lalu yang mendakwa Hadi menerima rasuah sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak sebagai balasan memberikan sokongan kepada pentadbiran Najib.
Walaupun masa yang tinggal hanya kurang tiga minggu sebelum Rewcastle-Brown memulakan sesi pembelaan dirinya, peguam Hadi di UK masih enggan mendedahkan siapa yang menanggung kos kes itu, katanya.
“Mereka juga tidak menjelaskan mengapa anak guam mereka menyaman (saya) di London dan bukan KL, di mana ramai orang pernah mendengar (nama) Hadi Awang.
“Mungkin Hadi boleh mendedahkan sekiranya dia atau partinya yang mengeluarkan wang untuk kes yang mahal ini, yang pada peringkat ini sahaja boleh menelan belanja sekitar £100,000 atau RM600,000?” katanya dalam email menjawab persoalan yang diberikan The Malaysian Insight.
Rewcastle-Brown mengetengahkan persoalan itu selepas mahkamah di London menerima tawaran Hadi minggu lepas untuk membayar wang pendahuluan RM80,000 sebagai jaminan sekiranya Hadi kalah dalam saman itu.
Rewcastle-Brown juga berkata semasa prosiding pengurusan kes itu pada 2 Ogos, beberapa orang pegawai dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London hadir untuk mendengar dan mencatat nota tetapi tiada wakil PAS berada di situ, situasi yang membuatkan dia kehairanan.
Setiausaha Politik Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam dalam kenyataan menjelaskan kehadiran pegawai kedutaan itu dengan berkata:
“Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London juga menghantar wakil dalam prosiding ini, dan memaklumkan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pemerhati prosiding kerana banyak tuduhan politik yang dibuat terhadap perdana menteri dan kerajaan Malaysia serta badan kehakiman di Malaysia oleh CRB (Clare Rewcastle-Brown) dalam dokumen beliau yang dikemukakan ke mahkamah,” katanya.
Rewcastle-Brown berkata yang situasi ini “melegakan” beliau kerana saman Hadi ini memberikannya peluang untuk “mengeluarkan semua bukti tentang situasi kepentingan awam yang saya laporkan tentang Malaysia- termasuk apa yang saya dedahkan dan akan dedahkan dengan lebih banyak- mengenai kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan ke mana hilangnya semua duit (1MDB)”.
“Mengenai kehadiran (pegawai) Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London pula, ya saya boleh dakwa ada korupsi peringkat tertinggi di Malaysia,” katanya.
Editor Sarawak Report itu juga cuba meminta mahkamah memaksa Hadi membayar wang jaminan sekiranya Hadi kalah dalam saman itu.
Mahkamah memutuskan yang Brown perlu membayar £15,000 (RM83,700) kepada Hadi atau dua pertiga kos permohonannya, dan baki selebihnya akan dinilai mahkamah dalam masa terdekat, kerana mahkamah tidak menerima hujah Rewcastle-Brown yang dia tidak akan berjaya mengambil tindakan undang-undang kepada Hadi di Malaysia, di mana “kehakiman, kerajaan dan perdana menteri korup dan bersubahat dengannya (Hadi)”.
Hadi menawarkan membayar wang pendahuluan sebanyak RM80,000 yang diterima mahkamah.
Bagaimanapun, Rewcastle-Brown memberitahu The Malaysian Insight yang Mahkamah London tidak mengatakan yang Mahkamah Malaysia korup.
“Mahkamah (London) tidak membuat keputusan lain selain daripada, pada peringkat ini, Hadi perlu membayar wang pendahuluan sebanyak £14,400 (hampir RM80,000) sebagai jaminan untuk kos memaksa penghakiman (melaksanakan keputusan mahkamah) ke atasnya di Malaysia sekiranya dia kalah.
“Mahkamah menganugerahkan dua pertiga kos permohonan-- £15,000 – kerana Hadi sudah menawarkan diri untuk membayar £14,400 sebagai jaminan. Mahkamah mengatakan permohonan lain untuk Jaminan boleh dilakukan,” katanya.
-The Malaysian Insight.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment