SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa partinya telah diperdaya dalam isu 'penjelasan 1MDB'.
Rentetan itu, Mahfuz berkata, beliau hanya boleh menzahirkan ucapan takziah kepada partinya itu.
"Di mana rasionalnya plan rasionalisasi 1MDB yang membuatkan parti saya (Pas) berasa 'puas hati' itu?
"Dalam hal ini, tiada apa yang dapat saya katakan melainkan saya ingin mengucapkan takziah kepada Ustaz Tuan Ibrahim dan parti saya yang terang-terang diperdayakan oleh 'ahli silap mata' sedangkan hakikat sebenar skandal 1MDB ini amat jauh lagi jalan penyelesaiannya," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, pimpinan tertinggi Pas yang diketuai oleh Tuan Ibrahim bertemu dengan Arul bagi mendengar penjelasan daripadanya mengenai isu 1MDB.
Di akhir pertemuan dilaporkan Pas berpuas hati dengan hasil sesi meja bulat bagi membincangkan isu tersebut.
Tuan Ibrahim sebelum ini dipetik berkata, pihaknya menerima penjelasan oleh Arul mengenai pelan rasionalisasi yang dicadangkan beliau bagi mengatasi kemelut 1MDB.
Bagaimanapun katanya, Pas melihat ada keperluan untuk parlimen memantau aset 1MDB yang diambil alih Kementerian Kewangan.
Justeru, Mahfuz berkata, beliau turut mahu mengucapkan 'tahniah' kepada Arul Kanda Kandasamy dan 'pakar ekonomi' yang turut serta dalam pertemuan meja bulat itu kerana berjaya meyakinkan Tuan Ibrahim dan partinya sehingga rasa berpuas hati dengan langkah-langkah pemulihan 1MDB yang sedang dilaksanakan sekarang.
"Skandal 1MDB yang disimpulkan sebagai 'nasi sudah menjadi bubur' itu amat jijik dan meloyakan rakyat kerana bubur yang terhasil itu sudah basi akibat ketidaktahuan tentang selok belok peralatan yang menjadi penyebabnya," katanya.
Katanya lagi, rakyat seluruh negara termasuk beliau dan ahli-ahli Pas seluruh negara dukacita apabila pimpinan partinya sedang dilihat oleh rakyat Malaysia sebagai 'tukang cuci najis' 1MDB.
"Kenyataan 'Pas puas hati plan rasionalisasi 1MDB' bukanlah satu solusi sebaliknya menyebabkan rakyat sakit hati pada Pas dan menjadi bahan ketawa peminat lawak jenaka sampai tak kering gusi," katanya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment