Friday 31 March 2017

Kontrovesi RM1.4Juta Rumah Pandikar Amin Mulia

'Beri RM1.4 juta, saya bina banglo baru untuk Pandikar'



Ahli Parlimen DAP-Segambut, Lim Lip Eng mempertikaikan dana RM1.4 juta dibelanjakan untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf di kawasan kediaman rasmi Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin di Kuala Lumpur.

Kata Lim, peruntukan kerja naik taraf itu dilihat terlalu tinggi menyamai dengan harga sebuah banglo.

Lim berkata sekiranya kerajaan memberikan dana itu kepadanya, beliau akan membina sebuah banglo baru untuk Pandikar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan tanpa undangan di Jalan Tunku hari ini.

Menurut Lim, peruntukan itu, boleh digunakan untuk membina sepuluh rumah mampu milik di Sabah, tempat asal Pandikar, dan juga untuk membantu 100 pelajar Sabah melanjutkan pendidikan tinggi mereka.

http://www.kinitv.com/video/46560O74

Terdahulu, Lim bersama seorang lagi Ahli Parlimen DAP-Sedang, Ong Kian Meng meninjau rumah Pandikar.

Setibanya di pondok pengawal, lelaki tersebut mendakwa Pandikar tidak ada di rumah. 

Melalui perbualan ringkas dengan kedua-dua wakil rakyat itu, lelaki berkenaan berkata laluan sepanjang 100 meter yang digunakan oleh Pandikar selama ini sebenarnya adalah jalan persendirian.

"Itu jalan persendirian, bukan jalan awam. Terdapat bonggol dibina sebelum ini," katanya.









Read More...

Hadi Anggap Najib Setuju PAS Bentang RUU355


PAS langsung tidak terkesan dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen.

Malah, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, keputusan Najib itu dilihat sebagai satu persetujuan untuk beliau membentangkannya sebagai rang undang-undang persendirian.

"Mengikut Perintah Tetap Parlimen, RUU355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 ini boleh dibentang dan dibahaskan selepas urusan kerajaan, namun kerajaan boleh memberi peluang untuk ia dibentangkan pada bila-bila masa.

Pilihan Editor

Menggali semula skandal forex 25 tahun lalu

"Justeru, saya menyeru semua ahli parlimen beragama Islam untuk menyokong pindaan RUU355, manakala yang bukan beragama Islam mestilah menghormati perlembagaan negara.

"Perlembagaan mengatakan ini adalah hal berkaitan Islam sahaja," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di Marang, hari ini.

Abdul Hadi juga dilaporkan akur bahawa keputusan untuk membentang dan membahaskan RUU355 adalah hak mutlak Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata, PAS sedia menghadapi apa juga rintangan dan halangan dalam membentangkan RUU355 kerana ini adalah kewajipan.

Beliau turut mendakwa tahu dalang yang cuba menghalang pembentangan itu menjadi kenyataan.

Dewan Tertinggi BN malam Rabu lalu memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen.

Menurut perdana menteri, keputusan itu diambil selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

Usul meminda Akta 355 itu adalah untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah menjadi RM100,00 denda, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.








Read More...

Apakah Hadi bakal disingkir ala Asri tahun 1982?


PETALING JAYA: Presiden PAS mungkin tidak akan melalui jalan mudah pada muktamar yang diadakan bulan depan, menurut seorang veteran gerakan Islam tempatan yang pernah aktif dalam kepimpinan tertinggi parti itu pada era 1980-an.

Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, bekas naib presiden PAS yang melakukan kejutan dengan menyertai Umno pada 1989, berkata apa yang berlaku pada muktamar 1982 boleh kembali menghantui Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ada ahli PAS yang tidak berpuas hati dengan tindak tanduk kepimpinan tertinggi yang semakin mesra Umno.

“Saya percaya ada yang akan bangkitkan soal kecelaruan dalam PAS. Itu yang akan muncul. Ada ahli PAS yang tidak senang dengan keadaan apabila PAS ditipu, diumpan dan dipukul Umno,” kata Nakhaie, yang meninggalkan Umno pada 2014 kerana kecewa dengan arah perjuangan parti Melayu itu.

Pada 1982, presiden PAS ketika itu, Dr Mohd Asri Muda, meletak jawatan selepas Pemuda PAS memberontak secara terbuka ketika menyampaikan ucapan dasar pada muktamar yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ia selepas Asri mula berselisih dengan pimpinan PAS Kelantan ketika itu, termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, susulan kejatuhan kerajaan PAS pada pilihan raya umum 1978.

Pemberontakan terbuka pada muktamar 1982 menyaksikan laungan “Murakbar Asri”. Asri yang pernah membawa PAS ke dalam Barisan Nasional pada 1973 akhirnya berundur pada hari kedua muktamar, bersama-sama isterinya yang juga mengetuai sayap wanita PAS, Dewan Muslimat.

Nakhaie berkata, perwakilan PAS harus mengambil contoh apa yang berlaku terhadap Asri.

Tetapi ia bergantung kepada sama ada masih wujud ahli PAS yang berani mempersoalkan Hadi yang membawa PAS semakin hampir dengan Umno sejak penyingkiran beberapa pemimpin “progresif” pada muktamar 2015.

“Kepimpinan dan kebijaksanaan Hadi benar-benar dipersoal. Jika ada perwakilan berani, akan ada yang bangkit dan mempersoalkan dan kepimpinan Hadi,” kata Nakhaie dalam wawancara bersama FMT.

Nakhaie merupakan pemimpin kanan PAS yang keluar parti Islam itu pada kemuncak populariti PAS di sebalik krisis dalaman Umno, yang menyaksikan PAS menjalinkan kerjasama dengan parti serpihan Umno, Semangat 46, yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada pilihan raya umum 1990, PAS menawan semula Kelantan selepas 12 tahun di bawah pemerintahan BN.

Hadi selamat kerana Amanah

Nakhaie percaya penubuhan Amanah oleh beberapa bekas pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan 2015 hanya menjadikan Hadi lebih kuat.

“Kalaulah ada pihak yang berada di dalam Amanah tidak keluar dari PAS, masa inilah pihak itu berjaya kuasai PAS dan jatuhkan kepimpinan Hadi, tetapi mereka keluar dahulu.

“Tidak ada yang lawan, sebabnya yang lawan dia semua dah keluar. Hanya ada pengikut setia, dan yang ada pula Hadi masih dapat kuasai,” katanya.

Menurut Nakhaie, sikap dan pendakatan diambil PAS ketika ini akan melahirkan golongan baru di dalam PAS yang akan menentang Hadi.

“Tetapi belum tentu aliran baru dalam PAS ini akan menentang dan mengambil tindakan kerana mereka harus ukur kekuatan mereka.

“Mereka ada kebolehan menentang Hadi secara senyap. Kalaulah pihak yang lama itu masih ada dan ada penentang ini, maka Hadi akan terkeluar,” katanya.

Nakhaie berkata perjuangan PAS ketika ini tidak jelas, dan ahlinya juga kabur dengan matlamat dan hala tuju parti.

“Apakah matlamat PAS sekarang ini. Adakah masih berhasrat untuk menjatuhkan BN atau mempertahankan BN, kerana kalau nak jatuhkan kerajaan, perlu ada kekuatan yang seimbang atau lebih kuat dari BN.

“Tetapi kalau PAS tidak peroleh kekuatan itu sudah tentu dia (PAS) tidak boleh bersendirian sudah tentu kena berpakat dengan yang lain,” katanya.

PAS masih belum membuat keputusan secara jelas sama ada mahu meneruskan kerjasama politik dengan PKR, selepas ia menolak pelawaan menyertai parti pembangkang lain untuk memastikan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya umum yang perlu diadakan dalam setahun.









Read More...

Orang ramai jangan pukul penjenayah yang mencuri dan merogol - amaran polis


IPOH – Polis memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dan keterlaluan termasuk mencederakan atau membebaskan individu yang disyaki melakukan jenayah yang mereka ditahan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, sebaliknya orang ramai hanya perlu menyerahkan individu yang disyaki itu kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian yang membabitkan tindakan orang ramai yang menghukum atau mencederakan suspek, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka (orang ramai),” katanya memetik Berita Harian.

Hasnan berkata, berlaku dua kes baru-baru ini termasuk petang semalam di Kuala Kangsar dan Ipoh di mana orang ramai bertindak sendiri mencederakan suspek selepas disyaki melakukan jenayah.

“Dalam kejadian jam 4.30 pagi 26 Mac lalu di Kampung Kubang Panjang Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, seorang lelaki berusia 30’an tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Selepas dibawa ke hospital untuk rawatan, suspek berada dalam keadaan koma dan memerlukan rawatan intensif. Siasatan polis mendedahkan, lelaki berkenaan telah dicederakan selepas ditangkap oleh penduduk setempat kerana didapati cuba mencuri,” katanya.

Ekoran kejadian itu, empat lelaki berusia antara 19 hingga 74 tahun ditahan kerana disyaki mencederakan lelaki berkenaan sebelum kes diklasifikasi sebagai bunuh selepas suspek curi itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, kira-kira 12 jam kemudian.

“Dalam kes kedua kira-kira jam 4 petang semalam di Ipoh, seorang wanita berusia 68 tahun didatangi dua lelaki berusia lingkungan 20’an yang kemudian mengugut mangsa untuk mendapatkan wang. Mangsa menjerit dan orang ramai yang berada berhampiran datang memberi bantuan.

“Suspek telah ditangkap dan dicederakan orang ramai, namun dilepaskan tanpa diserahkan kepada polis untuk diambil tindakan lanjut.

“Bagaimanapun kedua-dua suspek berkenaan berjaya ditangkap semula dan kini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya.

Berdasarkan kedua-dua kejadian itu, Hasnan memohon dan menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri tanpa merujuk kepada polis untuk diambil tindakan lanjut. – MYNEWSHUB.CC








Read More...

Thursday 30 March 2017

Pelobi 'Tan Sri' Yang Cuba Rasuah Sultan Johor Telah Serah Diri


Menurut Azam, siasatan sedang dijalankan dan keputusan untuk menahan reman atau melepaskannya akan dibuat esok. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Individu dikaitkan dengan cubaan rasuah Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serah diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Individu berusia 54 tahun itu dipercaya menyerah di pejabat SPRM petang tadi.

"Siasatan masih berjalan. Sama ada individu ini akan direman atau dilepaskan akan ditentukan pada Jumaat," kata Azam. 

SPRM hari ini mengeluarkan arahan agar individu yang dipercayai terlibat dalam cubaan merasuah Sultan Johor dengan wang sejumlah RM2 juta untuk meneyerah diri.









Read More...

RUU355: Nik Abduh Yakin UMNO Tidak Khianati PAS

PAS dakwa Umno flip flop, Najib tertekan


Pemimpin PAS memberi reaksi berbelah bahagi mengenai keputusan Majlis Tertinggi BN bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di parlimen.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau tidak melihat ini sebagai satu pengkhianatan oleh Umno, manakala Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad menyelar Umno kerana bersikap "flip-flop".

Bagi pesuruhjaya PAS Selangor itu, usul berkenaan tetap akan dibentangkan oleh presiden parti itu, Datuk Abdul Hadi Awang kerana asalnya iadalah sebuah rang undang-undang persendirian.

Pilihan Editor

Menghitung hari Ahok

“PAS ada tanggungjawab sebagai parti Islam. Kami perlu teruskan.

“Keputusan juga menunjukkan kempimpinan Umno di dalam BN telah tercabar. Sikap flip flop Umno jelas kelihatan,” katanya dalam satu pesanan teks ringkas.

Bagi Takiyuddin pula, beliau percaya wakil rakyat Umno akan bersama PAS dalam menyokong pindaan akta itu.

"Kita percaya bahawa ahli parlimen Islam, terutama dari Umno, akan bersama," katanya kepadaMalaysiakini ketika dihubungi.

Bukan diperkudakan

Takiyuddin juga menafikan bahawa PAS telah "diperkudakan” oleh Umno, yang menghulurkan salam perdamaian bagi kerjasama politik.

"(Ini kerana) kita sedar dari awal bahawa kita adalah orang yang membawa rang undang-undang persendirian ini. Jadi, bukan isu sama ada Umno tidak menyokong kita," katanya.

Takiyuddin bagaimanapun percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan sedemikian kerana tekanan dari parti-parti komponen BN.

"Tetapi, sebagai seorang Islam, saya fikir dia bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini (Akta 355) dapat diluluskan," katanya, sambil menambah bahawa PAS akan terus memujuk wakil rakyat Islam mahupun bukan Islam untuk menyokong pindaan itu.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN semalam, Najib mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta 355.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz juga percaya tindakan itu tidak akan menjejaskan usaha parti itu dan yakin speaker Dewan Rakyat akan membenarkan rang undang-undang persendirian itu dibentang dan dibahaskan.

“Kita dua kali speaker benarkan. Kali ini sambungan dari yang lepas, maksudnya akan dibahas.

“Insya-Allah, sekarang bergantung kepada speaker. Speaker dah bagi laluan yang positif,” katanya yang ditemui Malaysiakini di parlimen hari ini.

Seperti Takiyuddin, Nik Abduh tidak menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan dan berkata beliau memahami kedudukan Najib.

“Saya cuma anggap ini kegagalan Umno meyakinkan komponen BN. Ini kerana dalam BN perlu konsensus maka PM terpaksa. Sedikit pun tidak jejaskan usaha kita.

“Rakyat sudah faham. Kita dah yakinkan dua tiga tahun. Kalau ahli parlimen sendiri tak faham saya rasa itu lebih teruk dari rakyat,” katanya.

- mkini





Read More...

RUU355: Hujah Tantawi Memang Bodoh


Bila baca jawapan Tantawi terhadap anggapan umum yang menjadi bahan ketawa ramai orang bahawa PAS sudah kena main dengan UMNO, kesimpulan pertama yang saya boleh buat ialah..... Tantawi ni tak berapa cerdik sungguh rupanya.... Padahal tinggi jawatannya dalam PAS tu.... mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, dan sekarang menduduki kerusi Ketua Penerangan PAS.

Sebahagian isi jawapannya ialah mengiyakan tanggapan umum bahawa PAS kena tipu dengan UMNO, manakala sebahagian lagi ialah seperti mengaku akan kebodohan PAS dalam isu RUU355 ini... Jawapan Tantawi itu langsung tidak membantu mempertahankan kebodohan PAS.

Cerdikkah Tantawi, bila dia tulis bahawa Hadi telah membentangkan usul pindaan RUU355 pada sidang parlimen pada tarikh sekian-sekian, dan perbahasan mengenainya ditangguhkan pada sidang yang akan datang.... Padahal semua orang tahu bahawa Hadi tidak pernah bentang pun, dia cuma baca tajuk kemudian mohon pembentangan usul itu ditangguhkan.... Lagi pun, bukan menjadi amalan parlimen Malaysia bahawa sesuatu usul dibentangkan tetapi perbahasan ditangguhkan ke sidang akan datang, kalau tak silap saya lah.

Cerdikkah Tantawi, bila dalam perenggan berikutnya dia tulis bahawa Hadi telah membentang usul pindaan RUU355 untuk bacaan kali kedua pada tarikh sekian-sekian, kemudian mengaku Hadi minta tangguh untuk memberi peluang kepada MP untuk mengkajinya terlebih dulu.... Tantawi tahu ke tak tahu, bahawa itulah benda yang menjadi bahan ketawa orang..... Sendiri minta tangguh, sendiri bagi alasan bodoh, sendiri tuduh DAP dan Amanah yang halang RUU355.

Cerdikkah Tantawi, bila dia tulis bahawa UMNO kata akan ambil alih RUU355 maka PAS bagi laluan, dan bila Najib kata UMNO tak akan bentang RUU355, maka kembali kepada format asal iaitu PAS akan bentang.... Maknanya, Tantawi nak royat, PAS bukan kena tipu dengan UMNO... O'aloh, kena tipu lah tu...! Pakchik jual apam balik kat pasar pagi lagi brutal, dia kata dalam isu RUU355, UMNO tak nak tipu PAS, tapi PAS yang paksa UMNO suruh tipu dia.

Cerdikkah Tantawi, bila dia tulis kononnya semua MP PAS sentiasa dalam mood (Tantawi tulis mode) bersiap-sedia jika perbahasan mengenai RUU355 timbul pada bila-bila masa.... Padahal semua orang tahu minggu lepas 6 orang MP pembangkang bersoal-jawab dengan Jamil Khir, mengenai RUU355, dan tidak ada seorang pun MP PAS yang mengambil bahagian, sebaliknya semua duduk sambil meriba tangan sahaja.... mood bersedia apa tu, bersedia nak berak ke...?

Ish, malaslah aku nak tulis panjang-panjang..... Pendekata, PAS memang tak ada hujah untuk mempertahankan tindakannya bermesra dan berdakap dengan UMNO.... Dulu, alasannya sebab kononnya UMNO dah kembali kepada Islam dan sokong hudud...... Sekarang macam mana...? Hudud mana...? RUU355 mana...?

fb awang





Read More...

RUU355: PAS Akhirnya Kena Kencing Dengan UMNO

BN tidak akan bentang pindaan RUU 355, kekal usul persendirian - PM Najib

PM NAJIB: BN memutuskan bahawa kerajaan tidak akan bentang RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan bahawa BN buat keputusan berdasarkan konsensus. -Bernama

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional hari ini membuat keputusan tidak akan membentangkan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 di Parlimen.

Keputusan itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn, PWTC, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata keputusan dibuat berdasarkan konsensus dalam BN.

"BN memutuskan bahawa kerajaan tidak akan bentang RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan bahawa BN buat keputusan berdasarkan konsensus," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Jelasnya, dengan pengumuman itu, RUU 355 akan kekal menjadi rang undang-undang persendirian.

"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan terserah kepada speaker untuk menentukan, mengikut pada order paper.

"Kalau speaker putuskan ia akan dibentangkan, maka ia akan dibentangkan. Dan speaker juga akan putuskan peraturan berhubung undang-undang tersebut," katanya lagi.

-astroawani





Read More...

Wednesday 29 March 2017

Rajnikanth Tolak Jumpa Najib Dan Romah

Laporan dakwa Najib, Rosmah mahu temui Rajnikanth


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya Datin Rosmah Mansor dikatakan meminta untuk bertemu legenda filem Tamil, Rajnikanth semasa lawatan mereka ke India.

Rajnikanth dikenali sebagai bintang di pawagam India dan mendapat sanjungan daripada peminatnya di seluruh dunia.

Menurut portal beritaTelegraph India, ia melihat program lawatan VVIP itu selama dua hari ke Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.

Laporan itu mendedahkan bahawa Najib dan Rosmah merupakan peminat Rajnikanth ketika pelakon itu berada Melaka untuk penggambaran filem beliau, Kabali.

"Tetapi ikon Tamil yang menjalani pengambaran di Malaysia dan filemnya mendapat sambutan box office itu, menolak. Dia masih belum bersetuju dengan permintaan Kuala Lumpur.

"Harap pengesahan dari Rajnikanth dalam tempoh dua hari lagi, diplomat Malaysia di Chennai telah mengosongkan slot dalam jadual pasangan itu pada Jumaat, berdasarkan program minit ke minit VVIP itu yang ditunjukkan kepadaTelegraph," kata laporan itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Najib dalam rangka lawatan lima hari ke India bermula Jumaat ini, atas jemputan Perdana Menteri Narendra Modi.

Lawatan itu merupakan lawatan ketiga Najib ke India sejak memegang jawatan perdana menteri pada tahun 2009.

Selain Rosmah, Najib juga akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri dijadual melawat Chennai, New Delhi dan Jaipur.

- malaysiakini





Read More...

Tuesday 28 March 2017

Ke hadapan Adinda Nik Abduh...


SEMOGA adinda dan keluarga besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berada dalam pemeliharaan ALLAH. Keluarga kami sihat belaka menjalani kehidupan fana ini yang pasti berakhir.

Adinda,

Kita berkongsi satu fakta, iaitu ayah kita adalah pemimpin parti Islam yang disegani kawan dan lawan. Ayah saya Tuan Haji Yusof Rawa pernah menjadi Presiden Pas dan Murshidul Am pertama. Beliau tak mahu dipanggil Tuan Guru dan lebih senang dengan panggilan Tuan Haji sahaja.

Ayah kita menjadi bahan kritikan dan cemuhan, ada juga pujian dan pujaan. Sepanjang hidup kami, kami lalui dengan pesanan ayah “biarkan, itu perkara biasa..” Ayah mengajar doa kepada saya apabila dipuji agar berkata: "Ya ALLAH jadikanlah pujian mereka satu kebaikan bagi ku, dan ampunilah aku atas segala sesuatu keaiban aku yang mereka tidak ketahui (tentang aku)”

Kritikan pedas kepada ayah ketika memimpin era kepimpinan ulama oleh musuh politiknya seperti tuduhan terikut pengaruh Syiah dan kritikan dari dalam Pas sendiri ketika ayah bersetuju dengan penubuhan sayap CCC (Chinese Consultative Council) semua diterima sebagai asam garam politik.

Malah ayahanda pernah berhasrat letak jawatan Presiden kerana menganggap undi tidak percaya kepadanya hanya kerana ada di kalangan AJK Pas waktu itu tidak menyokong keputusan yang sebelumnya dibuat bersama.

Walaupun Allahyarham Tan Sri Asri Muda dan rakan-rakannya menubuhkan Hamim, ayahanda saya tetap menziarahi mereka sebagai kawan. Ayahanda mengajar saya bahawa Islam mengatasi kepartian dan kekelompokan. Beliau dikenali tidak bersetuju dengan budaya takfiri ketika itu dan menyatakan pendirian Pas secara rasmi.

Di Pantai Timur, ayahanda dianggap ‘tidak keras’ malah ketika belasungkawa kematian beliau, Utusan Malaysia menyebut ” Haji Yusof Rawa, Pemimpin Sederhana dalam Pas meninggal dunia”

Adinda,

Saya cuba meneruskan prinsip dan ajarannya kerana beliau adalah murabbi saya yang pertama. Berbeza dengan adinda, saya memilih untuk bersama Amanah atas pilihan prinsip.


Orang menuduh kekanda dengan label berbagai antaranya “Iman tidak boleh diwarisi”, "Ayah hebat, anak pengkhianat” dan lain-lain yang cuba kaitkan saya dan ayah saya. Kekanda diamkan sahaja dan anggapnya sebagai asam garam perjuangan.

Adinda,

Apa yang mereka tidak tahu, beberapa hal diajar oleh ayah kekanda ialah kepartian atau istilah Jemaah bukan soal aqidah iman dan kufur, kedua, pandangan politik bukan kesalahan, ketiga, bersikap terbuka dalam semua hal adalah jalan terbaik.

Kita ditinggalkan dengan berbagai tanggapan terhadap kepimpinan ayah kita. Para ahli akademik berminat membuat kajian tentang ketokohan mereka dalam suasana politik yang mereka terpaksa harungi.

Begitu juga pihak lain termasuk parti politik, badan kerajaan dan bukan kerajaan. Ruang penulisan, seminar dan kajian ilmiah akan memberi peluang ketokohan ayahanda kita dikenali generasi kemudian.

Adinda,

Semua tokoh sama ada ulama atau politik sepanjang sejarah dibuat penulisan dan kajian antara kritikan dan kredit. Ibnu Taimiyah, Imam al Ghazali, Imam al Syatibi, semuanya dimuatkan sejarah mereka dalam bentuk kritikan dan kredit.

Apapun, ia tidak mengurangkan kehebatan ide, ilmu tokoh besar ini. Kekanda tidak dapat membayangkan jika ada pihak pada zaman pasca kematian mereka, menyekat atau menghalang kritikan dan kredit ditulis untuk mereka, nescaya hari ini tiada siapa yang mengenal tokoh besar Islam ini.

Biarlah ayahanda kita dikaji, diseminarkan kerana generasi akan datang dapat menghargai jasa besar mereka untuk politik Malaysia dan perkembangan politik Islam antarabangsa.

Ada sudut pandang ayah kita dari kasih sayang seorang bapa, kesetiaan seorang kawan dan penghayatan akhlak berkeluarga perlu juga diketengahkan berbanding dengan aspek keseriusan politik dan kepartian semata-mata. Bagaimana semua ini hendak ditonjolkan kalau kita sebagai anak menghalang sesuatu pihak mengadakan seminar tentang pemikiran dan ketokohan ayah-ayah kita?

Adinda,

Jikalau alasannya kerana parti Amanah (bukan PAN ya) yang menganjurkannya, kaedahnya tetap sama, iaitu ” kita tidak boleh menyekat mana-mana pihak membuat kajian tentang ayah kita” Dengan menyekat, apatah lagi melalui laporan polis, kita telah meletakkan kes awalan yang tidak baik seolah menjadi kesalahan sesuatu pihak mengkaji pemikiran ayah-ayah kita.

Lagipun seminar yang bakal dianjurkan belum pun lagi berlangsung, apakah adinda ada ‘kashaf’ keburukan akan berlaku?

Jika Amanah adalah masalahnya, carilah jalan lain untuk membuat laporan ke atas Amanah, contohnya buatlah laporan polis tentang kenyataan bahawa Pas menerima 90 juta dari Umno melalui laporan Sarawak Post.

Atau dakwaan Kerajaan Kelantan tidak memelihara alam sekitar, atau dakwaan Pas dah berbaik dengan Umno dan lain-lain dakwaan politik terhadap Pas. Adapun menggunakan nama ayah kita sebagai laporan polis kerana Amanah bercadang akan buat seminar pemikiran TGNA adalah di luar jangkaan kekanda terhadap adinda.

Adindaku,

Kekanda telah menyatakan bahawa, siapa sahaja yang berminat untuk mengkaji tentang ayah kami atau membuat seminar, kami tidak akan halang.

Ayahanda kami juga adalah antara penerbit dan pencetak Melayu yang awal di Pulau Pinang, antara pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang( zaman BN) dan anak Melayu Pulau Pinang terawal dalam jawatan kabinet ketika Pas bersama BN.

Kekanda yakin, sebagai anak kepada seorang tokoh besar, ada perkara yang adinda belum mengetahui tentang TGNA kerana kekanda sendiri senantiasa mendapat maklumat baru tentang ayah kekanda THYR, yang kami sendiri tidak pernah mengetahuinya.

Melalui seminar kita sebagai anak akan terus mempelajari tentang ayah kita. Melainkan adinda telah mengetahui segalanya tentang ayahanda adinda, itu kekanda tidak tahu.

Adinda,

Demikianlah warkah kekanda untuk ditatapi umum, biarlah mereka membaca celoteh kekanda. Mereka tidak memahami bagaimana menjadi anak kepada tokoh, ya kekanda pernah kecil hati pada kritikan kepada ayah tetapi kekanda belajar membesar dengan realiti ini.

Ya kekanda memilih untuk bersama Amanah, kekanda rela menerima kritikan. Adinda juga mungkin merasai perasaan yang sama dikritik hebat gaya ‘politik berhemah’ adinda.

Walaupun demikian, ketahuilah kekanda tidak akan menyekat mana-mana pihak mengkaji atau membuat seminar tentang ayah kekanda malah kekanda dengan berbesar hati mengajak adinda untuk menjadi pembentang dalam seminar anjuran Amanah untuk membetuli apa yang adinda rasa dieksploitasi oleh parti Amanah. Jika adinda bersetuju, kekanda akan meminta penganjur menjemput adinda mewakili keluarga TGNA.

Semoga ALLAH memelihara kita semua dalam kehidupan berbaki menuju alam abadi. Salam kasih pada bonda dan semua keluarga TGNA dari keluarga besar THYR. Semoga adinda menerima jemputan kekanda dengan dada yang lapang dan semoga tiada laporan polis dibuat kerana warkah ini.

MUJAHID YUSOF RAWA

28 March 2017







Read More...

Biawak Hidup: Azmin Tegur Hadi Supaya Guna Istilah Lebih Sopan




Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegur kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana memberi istilah tidak manis untuk khalayak ramai dalam satu kenyataannya pada Sabtu lalu.

"Kalau kita berhujah dengan musuh sekalipun, tidak ada keperluan menggunakan istilah-istilah yang tidak sihat. Itu pandangan saya," kata Azmin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke Lima Dewan Negeri Selangor yang ke 13, di Bangunan Annexe, di sini, hari ini.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu, Abdul Hadi menegaskan PAS tidak bersama Pakatan Harapan kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya manakala di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka, bersembunyi atau oportunis.

Ini sekaligus mengulangi pendirian parti itu untuk tidak menyertai PH malah BN dalam menghadapi PRU14.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan menyertai BN laksana memikul biawak hidup walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN telahpun keluar dan menyertai PH.

"Bahkan menyertai PH biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah," kata Abdul Hadi.

Mengulas lanjut mengenai pemutusan hubungan PAS terhadap PKR di Selangor, Azmin menyifatkan ia sebahagian daripada proses demokrasi.

Jelasnya, PKR tidak pernah memutuskan hubungan dengan parti-parti politik yang dianggapnya sebagai 'sahabat'.

"Kita menghormati perbezaan tetapi tidak sampai memutuskan hubungan begitu rupa.

"Kita masih yakin dan percaya keperluan kepada satu muafakat yang utuh itu amat penting bagi menyelamatkan negara dan rakyat keseluruhannya, itu pendirian PKR," katanya.







Read More...

Monday 27 March 2017

Nak Tahu Kenapa Aku Benci Safiq Rahim?


Ok hari ni aku cerita.

Aku pernah ke Bangkok pada tahun 2014 untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF. Turun je kapal terbang aku dan dua rakan lagi terus ke hotel penginapan pasukan negara. Kenapa? Untuk berjumpa mereka dan memberikan sokongan moral. Setidak-tidaknya aku dapat tengok dan jumpa mereka secara berdepan bukan lagi dari jauh. Its a dream come true pada masa tu.

Semasa aku di hotel, pemain Malaysia turun ke cafe untuk minum petang. Aku dan beberapa orang yang ada di sana masa tu ambil peluang untuk bergambar dan berikan kata-kata semangat untuk mereka bermain.

Amri, Apek, Safee Sali, Badri Razi, Indra Putra, Dollah Salleh steady bersalaman, senyum, melayan peminat dan bergambar.

Tiba giliran Safiq Rahim. Aku hulur tangan, bersalaman. Kawan aku memegang kamera.

"Bro, boleh tangkap gambar?" Tanya aku.

Dia diam je sambil angguk. Senyum? Ada, sinis.

Mungkin sedang fokus.

Seusai bergambar, "Bro, semoga berjaya. Buat yang terbaik" kata aku. Dia senyum macam nak taknak. Mungkin ni style dia pada orang yang dia tak kenal. Lebih-lebih lagi fans, maklumlah dia pemain bola sepak profesional. Aku pun bersorak sorai untuk dia bermain demi lencana di dada.

Kawan aku yang memegang kamera tadi ke depan juga untuk bersalaman. Sambil bersalaman, kawan aku pun cakap,
"Bro, good luck. Buat yang terbaik, kami datang dari jauh untuk bro dan team"

Kau tahu apa dia jawab?

Aku boleh dengar satu-satu,

"Ek?" Nada sinis nak mampos.

"Saya pun datang jauh juga ni" dengan nada berlagak dia. Masa tu suasana jadi awkward. Sunyi seketika. Sebaris kata-kata yang pada aku tak patut diucapkan pada seorang penyokong. Kalau baca memang nampak tiada apa yang salah tapi bila dengar dengan telinga sendiri, berdesing.

Masa tu aku rasa nak sound je dengan kata-kata "eh, kau datang dibayar ditanggung semuanya sebab tu kerja kau, manakala kami datang keluar duit sendiri semata-mata untuk sorak demi kau" tapi aku simpan dalam hati. Taknak kacau emosi dia.

Dan malam tu kita semua tahu macam mana teruknya beliau bermain hinggakan kita kalah 2-0 di Bangkok. Berbakul maki hamun dihamburkan pada beliau dari tempat duduk penyokong Malaysia di Stadium Rajamangala, Bangkok. Tapi demi lencana di dada aku dan rakan-rakan serta 80,000 rakyat Malaysia yang lain tetap hadir ke Stadium Bukit Jalil diperlawanan timbal balik. Tapi kita tetap kalah walaupun ada ruang-ruang untuk buat comeback.

Mulai kes dekat Bangkok tu aku jatuh benci pada SR8, aku dan penyokong yang ada masa tu tak minta disujud dilayan seperti anak raja. Cukup berperlakuan profesional seperti pemain-pemain lain. Sambil steady layan peminat. Mungkin ada orang nampak benda ni perkara remeh, tapi bukan pada aku apabila dia bersikap kurang ajar sedemikian. Sebab tu juga sekarang aku dah takde rasa minat nak pergi meet and greet pemain skuad Kebangsaan.

Lebih-lebih lagi kawan aku sendiri yang berbangsa cina juga nyatakan perkara yang sama, dia berlagak pada masa itu dengan cara, gaya dan kata-kata dia.

Ok ketepikan hal luar padang. Itu hanya faktor pemangkin aku tak suka dia. Yang paling penting, apa lagi yang nak dibuktikan dia sekarang? Dulu dah bagi banyak peluang. Main macam celake juga. Sekali dua power tak cukup untuk menjadi power selamanya. Cukuplah tu. Bagi budak lain buktikan diri.

Terima kasih untuk sumbangan selama ni. Dah bersara kan? Cukuplah.

MyFootballLiga





Read More...

Harakah: Dr. Mahathir Trojan Horse?


Lidah rasmi PAS, Harakah Daily hari ini menyiarkan artikel bertajuk 'Mungkinkah Tun Mahathir satu Trojan Horse?' hasil nukilan Ahmad Amzad Hashim yang mempersoalkan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pakatan pembangkang.

Penulis artikel itu seolah-olah cuba untuk mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan muslihat perang Spartan yang cukup terkenal - 'Trojan Horse'.

"Trojan Horse dibina dari serpihan kapal Sparta, musuh Troy. Ia begitu hebat dan pemimpin Troy merasa kagum, lalu dibawa masuk ke dalam kota Troy dengan penuh keraian. Rupa-rupanya ia strategi penyusupan Sparta bagi memusnahkan Troy dari dalam.

"Kepada yang memerhati, Mahathir sedang jadi batu api melagakan penyokong pembangkang dengan PAS, meneruskan usaha memperlekehkan PAS yang telah dibuatnya sejak dalam Umno lagi. Misinya gagalkan PAS. Kerana hanya PAS ancaman sebenar Umno. Rebah Umno, rebahlah BN.

"Beliau sudah meneutralkan gelombang "reformasi Anwar" dengan meletakkan dirinya sendiri sebagai idola baru pakatan pembangkang. Beliau telah secara terbuka minta PH jadikan BN sebagai contoh ikutan," jelas penulis dalam artikel tersebut.

Dua hari yang lalu, Mahathir menyifatkan PAS sebagai keliru dengan pendiriannya untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kerana presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'kurang memiliki karisma'.

"Saya merasa PAS cukup banyak keliru, seperti yang saya katakan baru-baru ini.

"Kadang-kala ia seolah-olah mereka berminat menyertai kami (Pakatan Harapan) tetapi masa yang lain, tidak.

"Mereka (PAS) minta kami menganjurkan perjumpaan bersama tetapi apabila kita menetapkan tarikh, mereka kata mereka tidak minta untuk itu, sehingga tidak ada penyelarasan yang betul dalam PAS," lapor New Straits Times.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad dalam artikelnya itu berkata, Datuk Zaid Ibrahim yang disifatkan sebagai orang kepercayaan Mahathir menulis artikel mengenai PAS yang dikatakan bakal musnahkan BN tanpa sedar yang membayangkan keresahan dan seruan kepada pencinta BN supaya selamatkan BN.

"Beliau minta guna satu logo dalam pilihan raya untuk Pakatan Harapan. Sedangkan untuk membolehkan rakyat kenal dan biasa dengan satu satu logo memakan masa bertahun-tahun. Ia akan mengelirukan rakyat lebih jauh lagi sedangkan PRU14 boleh berlaku bila-bila masa dan tidak lewat setahun dari sekarang.

"Beliau minta tukar nama Pakatan Harapan kepada Barisan Rakyat. Sekali lagi pertukaran nama adalah beban baru penerimaan rakyat dan strategi halus. Seperti Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan disebut secara mudah sebagai "Pakatan". Kecenderungan orang menyebut secara mudah "Barisan" hanya menguntungkan BN," kata penulis lagi.

Terbaru, jelasnya, Mahathir menuntut partinya menjadi ketua Pakatan Harapan pula.

"Adalah munasabah untuk berjaga-jaga jika mereka sedang meraikan Trojan Horse yang punya agenda menghancurkan Troy.

"Jangan lupa Achilles pahlawan terbilang Sparta yang bersama dalam Trojan Horse itu juga bukan kepalang benci dan permusuhannya kepada Raja Sparta ketika itu. Tetapi tetap tindakannya memenangkan Sparta.

"PAS lebih kenal Mahathir dengan segala dramanya sejak dulu. Drama 'pergaduhannya' dengan Nazri Aziz, ini bukan benda baru. Mereka mesra sejak dulu," kata Ahmad Amzad lagi.








Read More...

Sunday 26 March 2017

Nazri Kepada Mahathir: Nak Tahu Bisu Atau Tidak Tunggu 7 April Nanti..


MOHAMED NAZRI: Itu kawasan pekan kecil takkanlah nak letak sampai 30 tingkat bangunan. Gilalah kalau macam itu, saya belum gila lagi... kalau saya gila mungkin saya buat. -Gambar fail

PADANG RENGAS: "Nak tahu saya bisu atau tidak, tunggulah 7 April nanti."

Itu kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika mengulas kenyataan berunsur sindiran daripada penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Nazri dalam pada itu menyangkal dakwaan Dr Mahathir yang mengatakan beliau tidak berbual dan hanya "diam seribu bahasa" di sepanjang pertemuan singkat mereka di Kuala Kangsar pada Sabtu.

"Di majlis makan cendol itu dia (Dr Mahathir) tak tanya apa-apa pun pada saya, jadi saya diamlah sebab itu majlis kendalian mereka. Bukannya saya membisu kerana takut atau sebagainya.

"Lagipun saya diberitahu bahawa tiada ucapan dan hanya santai sahaja. Jadi saya fahamlah ini majlis dia dan tak mahulah saya bercakap," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Serentak Masyuarat Agung UMNO Cawangan Bahagian Padang Rengas di Dewan Millenium Lubok Merbau pada Ahad.

Jelasnya, dia mengharapkan wacana yang dijadual berlangsung 7 April ini tidak dibatalkan kerana menurutnya wacana seumpama itu di bawah kelolaan Karangkraf sudah 46 kali dijalankan.

"Tidak ada alasan sebenarnya untuk pihak polis tidak memberi izin untuk adakan wacana nanti. Apa pun, nak tahu saya bisu atau tidak, tunggulah 7 haribulan nanti," katanya lagi.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut menolak tuduhan Mahathir tentang kemampuannya dalam membangunkan kawasan Parlimen Padang Rengas.

"Saya akan membawa pembangunan mengikut keperluan dan mengambil kira latar belakang di Parlimen Padang Rengas.

"Itu kawasan pekan kecil takkanlah nak letak sampai 30 tingkat bangunan. Gilalah kalau macam itu, saya belum gila lagi... kalau saya gila mungkin saya buat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata beliau dimaklumkan bahawa Naib Presiden PPBM Perak, Datuk Hamidah Osman berminat untuk bertanding di Parlimen Padang Rengas.

"Hamidah ada beritahu, Tun M pun sama jelaskan kepada saya yang dia (Hamidah) minat bertanding di sini. Saya kata tiada masalah. Lagi ramai lagi bagus, sebab ini demokrasi.

"Kalau sampai empat atau lima parti hendak menjatuhkan UMNO, sama sama kita lawanlah," katanya

- astroawani






Read More...

Tadi sungguh-sungguh nak jumpa, dah jumpa diam pula - Dr Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir tindakan Datuk Seri Nazri Aziz yang disifatkannya terlalu bersungguh-sungguh mahu bertemu dengannya di Kuala Kangsar pada petang Sabtu. -Bernama

PADANG RENGAS: Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz yang disifatkannya terlalu bersungguh-sungguh mahu bertemu dengannya di Kuala Kangsar pada petang Sabtu.

Mantan perdana menteri memberitahu dalam pertemuan singkat selama 30 minit itu, beliau tertanya-tanya mengapa Nazri langsung tidak berbual dengannya walaupun sebelum itu Ahli Parlimen Padang Rengas tersebut menunggu beliau berjam-jam lamanya.

“Hari ini dia (Nazri) bersungguh-sungguh nak jumpa dengan saya, saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila jumpa dekat tempat jual cendol, dia tak kata apa pun.

“Nak jumpa tapi tidak cakap kenapa?” katanya ketika menyampaikan ceramah di Kota Lama Kiri, di sini, pada malam Sabtu.

Tambah Dr Mahathir, Nazri langsung tidak memandang wajahnya dalam pertemuan berkenaan walaupun sebelum itu telah menunggu ketibaan beliau bersama isteri di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah selama empat jam.

"Entah kenapa dia diam seribu bahasa duduk tepi saya. Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja. Habis-habis sangat dia kata itu Sungai Perak... saya pun tahu itu Sungai Perak, tak perlu beritahu saya,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut meragui kebolehan Nazri memimpin negara kerana dakwanya Anggota Parlimen Padang Rengas itu tidak mampu menjaga serta membangunkan kawasannya sendiri.

“Saya datang ke Padang Rengas nak lihat kawasan menteri (tapi) tak nampak macam kawasan menteri, kawasan sendiri pun tak tahu jaga,” katanya lagi.

Pada petang Sabtu, Dr Mahathir dan Nazri telah meluangkan masa bersama hampir 30 minit di sebuah gerai cendol di Lembah Sungai Perak.

Kedua-dua ahli politik itu sebelum ini dijadualkan berdebat di MRSM Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu namun ditunda pada 7 April depan kerana gagal mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.

- astroawani






Read More...

Saturday 25 March 2017

Pemimpin PAS Sengih Sampai Tak Boleh Tutup Mulut


KUALA LUMPUR – “Dulu lawan (UMNO). Sekarang naik sekapal (bantuan umat Islam Rohingya). Sengih sampai tak boleh tutup mulut,” kata Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian bagi menyindir PAS kerana bersengkongkol dengan UMNO untuk menghantar bantuan kepada umat Islam Rohingya yang dizalimi rejim Myanmar melalui misi `food flotilla’ pada Februari lalu.

Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden PAS berkata, PAS perlu sedar diri parti itu tidak akan menang di Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum sebelum ini tanpa bantuan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau turut mengingatkan mantan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan dapat menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 90-an tanpa bantuan Semangat 46.

“Kejayaan PAS menguasai Terengganu juga hasil daripada gabungan antara parti pembangkang melalui Barisan Alternatif selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat,” katanya dalam satu ceramah seperti dilaporkan portal berita pro-Pakatan Harapan.

Justeru, Mohamad mengakui bahawa PAN, PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mampu berhadapan dengan UMNO secara bersendirian.

Kata beliau, atas sebab itu keempat-empat parti itu harus bergabung untuk menumbangkan UMNO tanpa memerlukan PAS.








Read More...

Nik Abduh 37 'Hantar Adik' Lawan Pengunaan Nama Ayah


PENGGUNAAN nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Parti Amanah Negara (Pan) dibantah ahli keluarga mantan Menteri Besar Kelantan itu.

Hal tersebut berhubung Seminar Tok Guru Nik Aziz yang akan dianjurkan Pan Batu pada 9 April depan di KLCAH, Kuala Lumpur.

Pihak terbabit juga dikatakan akan menjelajah bermula di Kuala Lumpur menjaja nama tokoh agama berkenaan bagi kepentingan Pan dan Pakatan Harapan.

Keluarga menganggap ia merupakan satu penghinaan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sepanjang hidupnya berjuang dalam wadah PAS.

Anak almarhum, Nik Mohamad Abduh berkata keluarganya menafikan kenyataan pemimpin Pan sekiranya Tok Guru masih hidup, turut menyokong parti serpihan itu.

"Kami sekeluarga menganggap ia merupakan satu penghinaan kepada Tuan Guru yang hidup istiqamah bersama perjuangan PAS sepanjang hayatnya.

"Tiba-tiba parti lain, parti serpihan mempermainkan nama Tuan Guru yang kekal istiqamah sepanjang hayatnya," katanya pada sidang media di Pulau Melaka, Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, atas tekanan keluarga dan penyokong PAS sendiri, beberapa tindakan termasuk laporan polis dilakukan dan berharap seminar itu dihentikan.

Sekiranya permintaan tersebut gagal dipatuhi pihak penganjur beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa pagi tadi oleh seorang lagi anak almarhum, Nik Adli.

Beliau mewakili ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, adik beradik, cucu dan adik beradik almarhum membantah sekeras-kerasnya program itu.

Adik kepada almarhum, Nik Din Nik Mat berkata, seminar anjuran Pan itu seolah-olah hendak mempermainkan kredibiliti serta ketokohan pemimpin berkenaan.

"Penggunaan nama Tuan Guru hanya sebagai alasan untuk menarik sokongan kepada parti itu sedangkan arwah tetap istiqamah dalam PAS sejak sekian lama.

"Semua ahli keluarga sememangnya tidak bersetuju terhadap penggunaan nama ini pada seminar 9 April ini di Kuala Lumpur," katanya.

Turut hadir pada sidang media di kediaman almarhum, Nik Muhammad Nasim Nik Mat dan ahli keluarga terdekat. -




Read More...

Debat: Nazri tunggu Tun M di MRSM Sultan Azlan Shah

Nazri tiba pada lebih kurang jam 1 tengah hari bersama kira-kira 50 orang penyokong dan kini masih berkumpul di pintu masuk MRSM tersebut.

KUALA KANGSAR: Seperti yang dijanjikan, Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tiba di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, di sini untuk menunggu kedatangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan tiba pada lebih kurang jam 1 tengah hari bersama kira-kira 50 orang penyokong dan kini masih berkumpul di pintu masuk MRSM tersebut.

Menurut Nazri, beliau tetap hadir ke MRSM tersebut walaupun debat di antara beliau dan bekas perdana menteri itu yang sepatutnya berlangsung hari ini, tidak dapat diadakan kerana tidak mendapat permit polis.

"Saya akan menunggu kedatangan Tun dan berharap beliau datang," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, anggota polis mengadakan kawalan lalu lintas di perkarangan MRSM.





Read More...

Video Seram Pembantu Rumah Kena Rasuk Lepas Keluar Bilik Air


Seorang pemilik sebuah rumah berkongsi satu rakaman CCTV seram yang memaparkan seorang pembantu rumah dirasuk dan melakukan aksi-aksi aneh di dalam rumahnya yang terletak di Singapura.

Pemilik rumah yang dikenali sebagai Nurul Baker, berkata keluarganya bernasib baik kerana tidak berada di rumah ketika itu.

Menurut Nurul, dia ketika itu sedang bekerja dan anak-anak dan ibunya tiada di rumah ketika itu.

Turut difahamkan, wanita itu berkelakuan pelik selepas keluar dari bilik air rumahnya.

Bagaimanapun, tidak diceritakan apa yang berlaku kepada pembantu rumah itu selepas kejadian tetapi di akhir klip video, pembantu rumah itu kelihatan terbaring seperti tidak sedarkan diri.

Video kejadian itu dimuat naik di media sosial sekaligus menjadi viral di media sosial itu.

Tonton video tersebut dibawah:









Read More...

Friday 24 March 2017

Shuhaimi: Nik Abduh Patut Minta Maaf

Azmin kini pakai 'lebai' di akaun media sosial


Di tengah-tengah kontroversi sindirannya terhadap “tok lebai”, yang dipercayai merujuk kepada pemimpin PAS Nik Abduh Nik Aziz, Menteri Besar Azmin Ali masih belum membuka mulut.

Bagaimanapun, beliau hari ini menukar gambar profil di kesemua akaun sosialnya – Facebook, Twitter dan Instagram – kepada gambar baru yang memakai kopiah putih, yang juga dikenali sebagai lebai.

Azmin sebelum ini memakai gambar profil sedang minum teh tarik sambil tersenyum bersama orang ramai, tanpa memakai pakaian penutup kepala.

Tanpa menamakan, Azmin Selasa lalu mempersendakan kekuatan seorang 'tok lebai' yang bercita-cita hendak menawan Selangor, walaupun “kalah tersungkur” di kawasan sendiri.

Tulisan itu dibuat kebetulan selepas Nik Aziz berkata, persetujuan untuk PKR menerajui Selangor tidak akan sentiasa kekal seperti sebelum ini.

Nik Abduh mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mereka menyasarkan mentadbir Selangor pada pilihan raya umum ke-14, selain Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak.

Tulisan Azmin itu mengundang kemarahan meluas akar umbi PAS.

Nik Abduh kalah teruk dengan 37 undi pada pemilihan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa.

Setakat ini, masih tiada tulisan baru menjelaskan kritikannya pada "tok lebai" itu.

Shuhaimi: Nik Abduh patut minta maaf

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Shuhaimi Shafie berkata Nik Abduh patut memohon maaf kepada Azmin susulan kenyataannya berkaitan persetujuan PAS untuk PKR meneraju Selangor.

Shuhaimi berkata kenyataan Nik Abduh itu tidak bertanggungjawab dan tidak peka dalam menjaga hubungan yang sekian lama terjalin antara PAS dan PKR.

"Pada saya, apa yang dibuat oleh Nik Abduh sama seperti 'terkentut di khayalak ramai'.

“Ia mungkin berbau busuk dan memalukan, namun boleh diselamatkan dengan ungkapan maaf yang sopan darinya,” katanya dalam kenyataan kepadaMalaysiakini.

Sambil memuji kepimpinan PAS Selangor, Shuhami membangkitkan apa maksud kenyataan Nik Abduh itu.

“Jadi, apakah maksud Nik Abduh jika kerajaan yang turut melibatkan pimpinan PAS ini juga ingin diambil alih untuk di perintah oleh PAS?

"Secara tidak langsung adakah ia bermaksud akan wujud kerjasama dengan Umno dalam mentadbir negeri?” soalnya.

- mkini






Read More...

Mentaliti Pemimpin UMNO Ini Ternyata Sudah Parah

Hadiah pertandingan 'Kit Siang rasis' naik ke RM50,000


Tan Sri Annuar Musa melipatgandakan hadiah untuk pertandingan menulis bertemakan dakwaan rasisme pemimpin DAP Lim Kit Siang kepada RM50,000.

Ketua penerangan Umno mengumumkan perkara itu dalam kenyataan terbaru hari ini, beberapa jam selepas DAP membuat laporan polis terhadapnya pagi tadi.

“Honorarium/hadiah untuk pihak yangmengemukakan bahan/fakta/penulisan berkaitan pegangan politik YB Lim Kit Siang dinaikkan kepada RM50,000 (hasil sumbangan Hamba Allah),” katanya.

Tajuk pertandingan juga diubah sedikit dengan memasukkan sekali bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengkritik utama kerajaan.

Annuar juga menambah empat kategori untuk pertandingan itu, iaitu tulisan di blog, artikel di media, video pendek dan infografik.

“Sila hantar kepada Jabatan Ketua Penerangan Umno, PWTC, KL. Hadiah hadiah berjumlah RN50,000 menanti anda,” katanya.

Bagaimanapun, katanya penyertaan tidak boleh memasukkan kandungan yang menyalahi undang-undang.





Read More...

Video: Rosmah Terkejut Icapan 'Dipotong' Pengacara Majlis


Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor terkejut seketika apabila seorang pengacara majlis memotong ucapannya ketika berucap.

Bagaimanapun, Rosmah dengan spontan meneruskan ucapan seperti biasa.

Rosmah berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Pelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) 2017 sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, malam tadi.

Insiden tersebut terjadi apabila pengacara majlis itu menyangka Rosmah sudah mengakhiri ucapannya namun dia kemudiannya memohon maaf.





Read More...

Thursday 23 March 2017

PANAS: Mukhriz Sambut Cabaran Debat Haris


ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyahut cabaran Naib Ketua Bahagian UMNO Bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat untuk berdebat mengenai dakwaan ke atas dirinya seorang ' billionaire' dan menetapkan tarikh perdebatan paling cepat ialah pada 29 Mac ini.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau sebenarnya ternanti-nanti peluang dicabar untuk berdebat terutamanya dengan Haris yang mengaku sebagai bekas Pegawai Khas Politiknya bagi mematahkan semua hujah yang dilontarkan kepadanya.

Katanya, beliau merasakan tarikh yang paling cepat adalah pada 29 Mac ini kerana perkara sebegini tidak perlu tunggu lama tetapi ia bergantung kesediaan Haris.

"Cabaran terbabit adalah peluang keemasan untuk saya kerana saya pun mahu tahu fakta mana yang dia yakin saya seorang 'billionaire'. Saya sendiri tak tahu dakwaan terbabit dan Haris dipersilakan dedahkan ia nanti.

"Buat saja di kawasan dia sendiri iaitu Pokok Sena, tidak perlu di Jerlun. Mungkin dia nak bertanding di situ maka buat di situ...jika semua kelulusan yang perlu termasuk permit ada maka 29 Mac ini paling sesuai. Tak perlulah tunggu sampai bulan puasa.

"Tuduhan terbabit membuat saya rasa bangga dengan Haris. Dedahlah sebab saya pun nak tahu maklumat mana dia dapat nanti masa hari perdebatan. Malah saya pun ada rahsia dia dan semua bos dia yang perlu didedahkan," katanya ketika ditemui di pejabat Pakatan Harapan di sini, sebentar tadi.

Hari ini, Haris mencabar Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam untuk berdebat mengenai kekayaan yang mencecah berbilion ringgit dimilikinya sehingga mampu menjadi jutawan.

Cabaran itu dilontarkan pada sidang media di rumahnya di Taman Bunga Sena, di sini dengan mencadangkan sesi debat itu diadakan sebelum bulan Ramadan iaitu bulan Mei ini yang dianjurkan di dalam Parlimen Jerlun.

Ketika ditanya sama ada debat terbabit dilakukan secara langsung, Mukhriz berkata, beliau menganggap cadangan terbabit amat bagus bagi membolehkan semua rakyat dapat mendengar dan melihat sesi pendedahan yang akan dilakukan dalam sesi perdebatan terbabit.

"Sesi perdebatan ini akan dilakukan tanpa syarat supaya semuanya berjalan lancar sekali gus banyak pendedahan boleh dilakukan," katanya.





Read More...

Dedak Cabar Mukhriz Debat

Mukhriz dicabar debat mengenai kekayaan




POKOK SENA: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kini dicabar berdebat mengenai punca kekayaan dimilikinya yang didakwa mencecah berbilion ringgit.

Cabaran terbabit dilontarkan bekas Pegawai Khas Politiknya, Haris Che Mat, yang sedia berdebat dengan bekas Menteri Besar Kedah itu. Haris yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO Bahagian Pokok Sena, berkata beliau mahu sesi debat itu diadakan sebelum Ramadan ini di Parlimen Jerlun.

"Saya mencabar Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam untuk berdebat bagaimana beliau mampu menjadi seorang 'multi billionaire' dalam tempoh yang singkat.

"Saya dan orang ramai, sangat ingin tahu sama ada beliau jadi kaya atas usaha sendiri atau sebaliknya, kerana Mukhriz bukan dari keturunan datuk nenek yang hartawan.

"Majlis debat ini juga perlu diadakan sebelum Ramadan ini di Jerlun. Mukhriz cuma perlu tentukan tarikh, masa dan tempat," katanya pada sidang media di kediamannya dekat Taman Bunga Sena di sini, hari ini.

Haris berkata, sudah tiba masanya Mukhriz mendedahkan punca kekayaannya, kerana selama ini pembangkang sering mempertikaikan kemewahan dimiliki pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Adalah tidak logik bagi Mukhriz memiliki kekayaan membabitkan aset dalam dan luar negara hanya melalui warisan daripada bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kekayaan Mukhriz juga wajar dipertikaikan kerana hanya memegang jawatan politik penting dalam BN tidak sampai tempoh 10 tahun," katanya.




Read More...

Rifizi Dadah Sebab Kerajaan Bentang RUU355


Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli hari ini mendakwa mengetahui sebab mengapa kerajaan mengambil keputusan membentangkan sendiri bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355.

Menurut Rafizi, sebabnya adalah BN yakin Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan.

"Disebabkan itu RUU355 merupakan satu "senjata sulit" atau "muslihat" daripada mereka. Sama ada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul itu atau tidak, adalah tidak relevan sekarang.

"Perpecahan di kalangan pembangkang telah berlaku dan tidak boleh dipulihkan serta Pas juga tidak akan menyertai Pakatan Harapan dengan apa cara sekali pun," katanya dalam sidang media di Invoke Malaysia di Sungai Besi, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, BN kini mengemudi untuk komited dengan Pas dan dalam masa yang sama menyeimbangkan kemarahan yang semakin meningkat dalam kalangan komponen parti dalam BN.

"Kesannya berbeza. Jika Pas yang membawakan usul, parti komponen dalam BN yang tidak Islam akan mengalami tekanan daripada pengundi mereka yang ini merupakan langkah pertama terhadap perlaksanaan hudud.

"Ini yang pelik. Kalau kerajaan BN yang bentangkan, dia tak jadi hudud pula, sedangkan selama-lamanya memang kerajaan BN yang bentang (usul). Tapi kalau BN yang bentang, parti-parti politik dalam BN bukan Melayu merasakan ini bukan hudud sebab BN yang bentangkan," katanya.

Menurut Rafizi, selagi RUU355 dibentangkan oleh ahli parlimen pembangkang, maka ia akan terus menjadi risiko digunapakai sebagai senjata politik oleh BN-Umno untuk terus memecah belahkan PH.

"Kerana keputusan sama ada nak membenarkan ia dibaca, dibahas, diundi itu adalah keputuan BN-Umno," katanya.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa BN akan membentangkan RUU355 pada sidang Parlimen kali ini sebagai usaha untuk memartabatkan agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan pihak lain.








Read More...

Ramas Kemaluan: Pesara Rebah Setelah Dengar Hukuman


Mahkamah Tinggi Melaka hari ini gempar apabila seorang orang kena tuduh (OKT) mengalami sesak nafas dan rebah di dalam kandang tertuduh dan dikejarkan ke hospital selepas mendengar keputusan hakim terhadap rayuan hukumannya atas kesalahan mencabul pekerja kafe lelaki tiga tahun lalu.

Pada 30 Mei tahun lalu, Deraman Abu Chek, 60 tahun sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Bagaimanapun, penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dibenarkan sehingga rayuan dikemukakan dan didengar oleh Mahkamah Tinggi sehingga Hakim Siti Khadijah S. Hassan Badjenid hari ini mengurangkan hukuman penjara  kepada dua minggu dan menaikkan jumlah denda menjadi RM10,000.

Setelah mendengar keputusan itu, Deraman yang juga seorang pesara kerajaan secara tiba-tiba rebah dan terpaksa dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.

Berdasarkan pertuduhan, Deraman didapati meramas kemaluan seorang lelaki berusia 26 tahun di dalam tandas lelaki aras bawah UTC Melaka sekitar jam 7.30 malam pada 19 Mac 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu mahkamah untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara kepada anak guamnya dan menggantikannya dengan menaikkan jumlah denda kepada tertuduh.

Bagaimanapun, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Shazril Ghazali bertegas memohon mahkamah untuk mengekalkan hukuman yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Majistret pada 30 Mei 2016 lalu.

Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Siti Khadijah memutuskan hukuman penjara dua minggu dan denda RM10,000, sebelum keadaan mahkamah menjadi kecoh.




Read More...

TERKINI: Parlimen UK Diserang Dan PM Terselamat

Seorang individu yang dikhuatiri cedera sedang dirawat oleh pihak polis. - Gambar Reuters

Polis Britain sedang menyiasat insiden tembakan dekat parlimen British di daerah Westminster, London.

“Kami sedia maklum berkaitan insiden di Westminster. Kami akan berikan lebih maklumat apabila diperoleh nanti,” menurut polis tempatan.

Laporan dpa dan BBC menyebut seorang pegawai polis diserang.

Sidang dewan berkaitan ditangguhkan selepas beberapa insiden keganasan dilaporkan, termasuk insiden pegawai polis ditikam.

Sementara itu, Reuters melaporkan Perdana Menteri British Theresa May selamat selepas insiden itu.

Jurucakap pejabatnya enggan mendedahkan kedudukan May ketika serangan berlaku.

Reuters juga melaporkan sekurang-kurangnya empat orang dirakam dalam kamera mereka terbaring berlumuran darah dan tidak sedar di kawasan tidak jauh dari parlimen.

- Dpa, Reuters

Tiada rakyat M'sia cedera serangan di luar Parlimen Britain

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dan terjejas dalam insiden serangan di luar bangunan Parlimen Britain yang mengakibatkan kira-kira 10 cedera termasuk anggota polis.

Jurucakap Wisma Putra memberitahu Bernama pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan dan memaklumkan segala perkembangan terkini jika ada.

Media asing melaporkan, seorang anggota polis ditikam, penyerang ditembak dan beberapa orang awam cedera dalam insiden yang dilabel sebagai serangan pengganas.

Perdana Menteri Britain Theresa May yang sedang bersidang di bangunan Parlimen tersebut, dilaporkan selamat.

- Bernama

Serangan Westminster: 'Masih terlalu awal untuk buatspekulasi motif serangan' - Majlis Muslim Britain




Serangan Westminster: 'Masih terlalu awal untuk buatspekulasi motif serangan' - Majlis Muslim Britain
LONDON: Majlis Muslim Britain hari ini menyatakan masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai motif serangan di luar bangunan Parlimen Britain yang berlaku pada petang Rabu.

"Kami sangat terkejut dan sedih dengan insiden di Westminster. Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan ini, menurutnya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

"Masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai motif serangan, ingatan dan doa kami sentiasa bersama mangsa serta mereka yang terlibat.

"Kami memberi penghormatan kepada pihak polis dan pasukan kecemasan yang mengendalikan kes ini dengan penuh berani. Istana Westminster adalah pusat kepada demokrasi dan kita perlu memastikan ia terus memberi khidmat kepada rakyat dengan selamat.'
Sementara itu, anggota polis yang dilaporkan ditikam oleh penyerang antara yang terbunuh dalam serangan yang berlaku di luar bangunan parlimen Britain pada Rabu, menurut laporan yang dikeluarkan BBC.

LAPOR LANGSUNG SERANGAN WESTMINSTER DI SINI

Perkara ini disahkan oleh seorang pegawai penguatkuasa yang memberikan bantuan kecemasan kepada anggota polis berkenaan.

Menurut BBC lagi, anggota polis itu mati di tempat kejadian. penyerang yang menikam anggota polis tersebut turut ditembak mati dalam insiden yang disifatkan pihak polis sebagai "serangan pengganas".

Asisten Komisioner Polis Britain, Mark Rowley dalam sidang medianya memaklumkan pihaknya percaya penyerang melakukan serangan secara sendirian.

Polis Britain juga meningkatkan operasi keselamatan besar-besaran tahap tertinggi.

Pada masa sama, Rowley tidak menolak kemungkinan meminta bantuan tentera sekiranya diperlukan.

Sementara itu, penyiasat UK sedang meneliti kemungkinan sama ada wujud kaitan serangan London dengan propaganda militan di Asia Barat.

Setakat ini, empat individu termasuk seorang anggota polis terkorban dalam serangan yang disifatkan sebagai serangan keganasan oleh UK.

Astro Awani





Read More...

Wednesday 22 March 2017

Video: Husam Dihalau Keluar Dari DUN Kelantan

Tanya kelayakan exco agama, saya dihalau dari dewan, kata Husam


Naib presiden parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa yang dikeluarkan dari persidangan dewan negeri Kelantan hari ini, berkata, beliau menerima nasib seperti ini semata-mata kerana bertanyakan kelayakan exco agama di dewan berkenaan.

Selepas beliau dilarang untuk berbahas katanya beliau cuba mengikuti sesi penggulungan walaupun beliau beranggapan persidangan sudah bertukar menjadi kuliah oleh seorang exco agama.

"Itulah rutin dewan 'Kuliah' Undangan Negeri Kelantan kebelakangan ini," katanya.

Menurut beliau tidak ada enakmen baru berkaitan Islam yang dibentangkan.

"Tidak ada program baru, penyelesaian permasalahan ummat atau pembentangan prestasi portfolio agama yang diketuainya," katanya.

Menurut Husam terdapat pelbagai masalah yang belum selesai mengenai pentadbiran agama Islam di Kelantan.

"Misalnya di negeri lain, tanpa slogan Membangun Bersama Islam, Enakmen Wasiat dan Enakmen Wakaf telah lama diluluskan.

"Juga belum diluluskan di negeri Kelantan ialah Enakmen berkaitan urusan mal atau kewangan ummat Islam, yang juga penting.

"Mahkamah Syariah Jajahan masih berkongsi pejabat dengan Pendakwa Syariah.

"Malah Enakmen Pentadbiran Syariah kali terakhir disemak ialah pada 1998," katanya.

Syarahannya kata beliau, mengalahkan mufti dan profesor.

"Kuliahnya pagi ini mengenai gugurnya talak orang yang berbai'ah talak ta'lik.

"Tetapi apakah beliau layak memberi fatwa?

"Apa kelayakan beliau berfatwa sesenang hati?

"Pertanyaan seperti itu paling wajar ditanyakan kepada MB yang melantik beliau.

"Rupanya, harga soalan mengenai kelayakan Exco Agama Kelantan sangat mahal." ujarnya.

Ketika Menteri Besar. Datuk Ahmad Yakob menggulung perbahasan tadi, Husam diiringi Bentara dengan cokmar diusung keluar dewan.

"Sensitif kepada speaker dewan menanyakan kelayakan kawan beliau, exco agama Kelantan? "Tanpa amaran saya 'digiring' keluar dewan atas arahan speaker Dun kerajaan Islam Kelantan, dua tiga minit sebelum sidang ditamatkan," katanya.

Bagi beliau sejarah tercipta oleh sebuah Kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob.

"Insya Allah ia akan kekal menjadi rekod sama ada kerajaan ini demokratik atau menghayati semangat 'syura' atau ketiadaan kelayakan menjadikan pimpinannya takut dengan bayang-bayang sendiri," katanya. -MD

_____________________________________________________

DEMOKRASI YANG MATI DI DALAM SIDANG DUN KELANTAN.
1. Sidang Dun Negeri Kelantan Sesi kali ini bagi Penggal ke-13 menyaksikan pertama kali seorang Adun iaitu YB Dato Paduka Haji Husam Musa dihalau keluar oleh Speaker YB Dato Abdullah Yakob dari Dewan Undangan Negeri Kelantan. Insiden ini belum lagi berlaku di dalam era Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) dan sehingga 27 tahun, inilah kali pertama Adun Kelantan dihalau keluar Dewan.

2. Kami terpanggil untuk mempersoalkan kenapakah insiden ini berlaku yang secara terang-terangan telah menafikan hak seorang Adun untuk bertanya di dalam Sidang Dun Kelantan iaitu sebuah Dewan yang Mulia untuk membincangkan isu-isu terkini dan perihal urusan rakyat Kelantan amnya.

3. Sejak bermula Sidang Dun 20 Mac 2017 yang lalu, YB Dato Haji Husam Musa selaku Adun tunggal Amanah itu juga telah dinafikan hak untuk bersuara mewakili rakyat Kelantan sekali gus mencerminkan sikap sebenar pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang mengelak untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Jelas keterbukaan yang dilakukan era Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dahulu tiada lagi di penggal ke-13 ini.

4. YB Dato Husam Musa Adun Salor dinafikan haknya untuk mengambil peluang membahas titah ucapan Pemangku Al Sultan Kelantan semalam dan pagi ini, dan sekali lagi cuba untuk mencelah ketika YAM Menteri Besar Dato Bentara Ahmad Yakob berucap tetapi tidak diendahkan.

5. Demokrasi telah mati di sini. Segala kesulitan rakyat Kelantan tidak lagi sampai kepada pimpinan Kerajaan Kelantan. Mereka hanya tahu menutup segala ruang untuk bertanya dan menjawab sekaligus cuba berdalih untuk menyampaikan jawapan yang jitu, konkrit dan adil.

6. Kami selaku Pemuda Amanah Negeri Kelantan mempertikaikan tindakan Speaker Dewan Dato' Abdullah Yakob yang seolah tidak demokratik, telus dan adil bagi Adun yang ingin bertanya kelayakan exco bagi menjawat jawatan tersebut di Dun Negeri Kelantan.

7. Kami melihat ianya bukan sahaja satu penafian hak bersuara seorang Adun di sini, tetapi ianya lebih dilihat sebagai menghalang isu rakyat Kelantan ke Dewan yang Mulia ini.

8. Jika hak seorang Adun dihalang, apa lagi yang hendak diharapkan oleh rakyat kebanyakan. Tidak lain dan tidak bukan, ke medan rakyat jua kami akan sampaikan. Rakyat Kelantan merintih lagi. Tetapi, demokrasi telah mati di sini.

MOHD RIDZUAN BIN MUHAMAD
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negara
Negeri Kelantan
Merangkap Timbalan Ketua Amanah
Kawasan Rantau Panjang, Kelantan.
22 Mac 2017








Read More...

Wanita Dakwa Dirogol Pegawsi Imigresen


Seorang wanita warga Thailand mendakwa kakaknya dirogol seorang anggota jabatan imigresen negeri ketika proses rakaman percakapan dilakukan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah di sini, dua minggu lalu.

Wanita berusia 29 tahun dan telah berkahwin dengan lelaki tempatan itu berkata, perkara itu diketahui apabila kakaknya memberitahu semasa mereka berada di dalam depoh tersebut.

“Saya yang tinggal di Seremban datang ke Melaka dengan seorang kawan pada 7 Mac lalu untuk berjumpa dengan kakak yang bekerja di sebuah pusat urut di Melaka Raya.

“Tapi lebih kurang 11 malam, pusat urut itu diserbu pihak berkuasa menyebabkan saya, kawan, kakak dan dua lagi pekerja di situ semuanya warga Thai ditahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, mereka semua dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo, Alor Gajah  kemudian dipanggil bagi sesi rakam percakapan keesokan harinya.

“Kakak saya orang pertama dipanggil masuk ke sebuah bilik oleh anggota lelaki dan keluar selepas 15 minit.

"Kemudian giliran kami berempat pula disoal tapi semasa di bilik tahanan kakak cerita kejadian yang berlaku kepadanya.

“Kakak juga beritahu anggota lelaki berkenaan menyuruh mengadakan hubungan seks dengannya termasuk seks oral,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia dibenarkan keluar dari depoh berkenaan Isnin lalu manakala kakaknya dan tiga lagi wanita lain masih ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, pihaknya mengesahkan laporan berkenaan dan siasatan masih dijalankan Bahagian Siasatan Seksual dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka.

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Fauzi Abdullah pula ketika dihubungi Sinar Harian berkata, akan menyiasat dakwaan itu dan enggan mengulas lanjut.







Read More...

Tuesday 21 March 2017

Azmin Sindir 'Tok Lebai 37' Yang Kalah Tersungkur


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini menyindir seorang 'tok lebai' misteri.

Tanpa menamakan secara langsung individu itu, Azmin turut mempersendakan kekuatannya yang bercita-cita hendak menawan Selangor.

“Ada tok lebai nak tawan Selangor.

“Kawasan sendiri pun kalah tersungkur,” tulis Azmin ringkas.

Tulisan itu dibuat kebetulan selepas Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz berkata, pihaknya bersetuju untuk PKR menerajui Selangor selepas pilihan raya umum ke-13 tetapi ia tidak akan sentiasa kekal.

Nik Abduh mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa mereka menyasarkan mentadbir Selangor pada pilihan raya umum ke-14, selain Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perak.

Nik Abduh sebelum ini kalah teruk pada pemilihan PAS peringkat kawasan di Pengkalan Chepa.

Anak ikon PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu hanya mendapat 37 undi berbanding lawannya Anggota Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin dengan 207 undi.

Dr Izani sekali gus mempertahankan jawatannya sebagai timbalan yang dipertua PAS Pengkalan Chepa.

Nik Abduh bagaimanapun menjelaskan beliau bertanding hanya 'sekadar suka-suka' kerana jawatan yang sedia ada (ketua Pemuda) pun sudah membebankan.

Malaysiakini sudah cuba mendapatkan penjelasan Azmin berkaitan identiti sebenar pihak yang dimaksudkannya itu.





Read More...

Nik Abduh 37: PAS Setuju PKR Teraju Selangor Pada PRU13 Tapi Kini Beza


Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya bersetuju untuk PKR menerajui kerajaan negeri Selangor selepas pilihan raya umum ke-13 tetapi ia tidak akan sentiasa kekal seperti itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mensasarkan untuk mentadbir Selangor pada pilihan raya umum ke-14, dan juga Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perak.

"Kita melihat lima negeri termasuk Selangor sebagai sasaran.

“Yang ada sekarang adalah hasil daripada PRU13 yang mana kita bersetuju PKR memimpin.

“Sekarang sudah berbeza dan tidak sama dengan PRU13, kita buat sasaran kita,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini.

Nik Abduh berkata, sasaran itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan telah diluluskan di setiap peringkat.

Nik Abduh juga mempertahankan kenyataan Abdul Hadi dalam video yang memaparkan presiden PAS itu berkata bahawa baki negeri-negeri lain diserahkan kepada Umno, yang kemudiannya dinafikannya.

“Yang Tok Guru (Abdul Hadi) sebut negeri Umno dah perintah, makna kekal, bukan bermakna ada satu pakatan, sekiranya Pakatan Harapan nak, dia kena usaha sendiri,” katanya lagi dipetik akhbar itu.

PAS enggan bekerjasama dengan HARAPAN dan mengugut akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru-baru ini menyertai gabungan itu.

Parti itu dikatakan masih kecewa dengan serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.


Read More...

Mahathir: PAS Tidak Ada Hak Untuk Letak Syarat


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada PAS bahawa parti itu tidak mempunyai hak untuk meletakkan syarat ke atas mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

"PAS tidak ada hak untuk meletakkan sebarang syarat (kepada ahli dalam Pakatan Harapan).

“Gabungan dah dibentuk siapa nak masuk boleh – tak ada syarat,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan PAS untuk membincangkan isu memutuskan hubungan dengan PKR pada mesyuarat agung atau muktamar parti itu pada bulan depan.

Sebelum ini, PAS Permatang Pauh, Bayan Baru di Pulau Pinang mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan secara rasmi menerima BERSATU sebagai ahli terbarunya, dan bersetuju dengan cadangan Mahathir bahawa gabungan itu perlu didaftarkan.




Read More...

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP