Monday, 25 September 2017

Pemakan Dedak Akan Kembali Kepada Umno..



Mahathir (tiga, kiri) bersama pemimpin Pakatan Harapan lain memegang sepanduk bertulis Pakatan Harapan pada Majlis Makan Malam Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, malam kelmarin.

BAYAN BARU - Rakyat diminta membuat pilihan bijak pada PRU14 dengan memilih pimpinan yang tidak dibelenggu dengan rasuah.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat tidak perlu membuat demonstrasi jalanan atau rusuhan seperti di negara luar bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada, sebaliknya membuat pilihan tepat dalam pilihan raya.

Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, semua bangsa dan agama sayang terhadap negara yang beri kehidupan baik, namun dengan adanya kerajaan kleptokrasi di bawah BN, negara alami kejatuhan jika tidak ditukar segera.

“Kita hidup dengan aman, walaupun ada perbezaan, kita tidak merusuh, tetapi bila duit kita dicuri, guna untuk beli sokongan dan berlaku salah guna kuasa, kita perlu bertindak.

"Saya tidak minta rakyat merusuh atau berperang, tetapi cukup dengan mengundi Pakatan Harapan dalam PRU14 nanti.

“Sekarang, main isu perkauman pula. Sebab apa, sebab dia tahu kaum Cina tak akan sokong dia. Tapi percaya lah, orang Melayu pun tak akan sokong dia dah. Saya tahu sebab saya turun padang. Semalam (kelmarin) saya turun Selama, Perak 8,000 orang turun dan kebanyakan mereka orang Umno dan Pas,” katanya.

Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Spice, malam kelmarin.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP; Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, amalan pemberian dedak oleh pemimpin tertentu untuk dapat sokongan termasuk menarik semula bekas pemimpin Umno sebagai persediaan menghadapi PRU14 nanti terus diperhebat.

“Dedak akan terus diberi untuk orang sokong dia, dia letak dalam mulut, boleh jadi bisu, letak dalam mata, boleh buta dan letak dalam telinga, boleh pekak. Lama-lama dia akan letak dalam hidung agar tidak boleh bernafas.

"Sebab itu, mereka yang makan rasuah akan kembali kepada Umno kerana mereka tak tahu nak cari duit, hanya bergantung rasuah saja.

“Inikah pemimpin yang kita mahu? Sebagai rakyat yang ada kuasa, kita harus berusaha singkirkan pemimpin begini demi sayangkan negara ini.

"Sekarang pun dia takut sebab dia tahu, Pakatan Harapan bersedia kalahkan BN. Dahulu saya jadi perdana menteri, Umno bukan kuat pun, tapi pembangkang tidak bersatu. Tapi sekarang kita lain, kita dah bersatu, sokong satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, 325 meja terjual bagi mendapat kutipan sumbangan dengan kehadiran lebih 3,000 penyokong Pakatan Harapan.

Majlis itu turut berjaya jual lima potret pemimpin tertinggi Pakatan Harapan iaitu Mahathir; Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kit Siang, Guan Eng, Mohamad Sabu dengan harga RM230,000.

Kelima-lima pemimpin itu turut menurunkan tandatangan mereka pada potret itu.






PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP