Saturday 14 October 2017

Rafizi Tidur...

ISKANDAR PUTERI: Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abd Samad, menyifatkan pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengenai isu pembelian Hotel Grand Plaza Kensington di London, bukan satu perkara baharu.

Shahrir berkata, malah semua pendedahan itu semestinya sudah berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini memasuki proses soal siasat individu berkaitan dengan pembelian hotel berkenaan.

Katanya, beliau menyifatkan Rafizi Ramli bukan bersengkang mata selama 48 jam, tetapi sudah tidur selama tiga bulan dan tidak mengambil maklum isu pembelian Hotel Grand Plaza Kensington di London.

"Saya tidak boleh banyak komen perkara ini kerana ia masih dalam siasatan SPRM sejak tiga bulan lalu. Saya tak faham kenapa Rafizi tidak tahu ini (isu pembelian hotel) sedang disiasat SPRM.

"Kalau ada sebarang perkara tidak sesuai (menyalahi undang-undang) tentunya sudah dalam maklumat SPRM dan kalau Rafizi tahu ada lebih (maklumat) yang lain, dia boleh kemukakan pada SPRM tidak perlu nak dicabar dan disebut seolah-olah kita tidak tahu.

"Kali ini keghairahannya seolah-olah hendak bagi tahu satu perkara baru, tetapi saudara Rafizi sudah ketinggalan tiga bulan, sudah tidur tiga bulan tidak tahu kes ini dan kedudukan aset hartanah Kensington dibeli Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) sebenarnya dalam siasatan SPRM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian penutup Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Shahrir berkata, pihaknya kini yang tiga bulan bersama (membantu) memaklumkan siasatan sudah sampai ke peringkat menyoal siasat beberapa pihak dan individu ada kena mengena dengan pembelian hotel termasuk peguam dan individu terbabit dalam pengurusan aset.

Semalam, Rafizi menerusi penulisan blog, mendakwa syarikat FIC London Hotel (Private) Ltd yang dinyatakan di dalam penyata kewangan FELDA, selain memegang aset hotel berharga RM330 juta di kawasan elit London itu, tidak wujud.

Rafizi turut mendakwa sebanyak RM90 juta (STG15 juta) sudah diselewengkan, selain dari hak milik yang tidak didaftarkan kepada FELDA.







PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP