Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa pesawat tidak dikenali yang dikesan menukar arah dan terbang ke arah barat pada pagi Sabtu lalu adalah pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dari radar awam sejurus sebelum itu.
Bagaimanapun, lokasi sebenar pesawat tersebut masih belum dapat disahkan, kata Najib yang menjelaskan pasukan penyiasat kini sedang meneruskan usaha menentukannya.
“Pasukan penyiasat sedang membuat pengiraan yang akan menentukan sejauh mana pesawat itu mungkin terbang selepas lokasi terakhir ini.
“Berdasarkan data baru, isyarat terakhir di antara pesawat dan satelit tersebut pada jam 8.11 pagi waktu Malaysia pada hari Sabtu 8 Mac," katanya.
Katanya ia adalah berdasarkan data yang diselidik oleh pihak berkuasa Malaysia dan juga tenaga pakar antarabangsa yang bekerjasama untuk tujuan tersebut.
"Namun kita masih menyiasat semua kemungkinan mengenai apa yang menyebabkan MH370 melencong dari laluan penerbangan asalnya," kata Najib.
Berdasarkan perkembangan ini juga, siasatan kini ditumpukan semula ke atas anak kapal dan penumpang, katanya dalam sidang media di bangunan hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Katanya, pencarian diteruskan di dua koridor. Pertama: Dari utara Thailand hingga ke Kazakhstan. Kedua: Dari Indonesia ke Lautan Hindi.
Operasi di Laut China Selatan dihentikan dan pihak berkuasa sedang menilai semula usaha untuk menugaskan semula aset yang digunakan untuk mencari dan menyelamat, katanya.
PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment